Banyak benar perkara yang berlaku dalam tempoh yang sekejap. Sehari, seminggu, sebulan dan setahun dirasakan tidak selama dahulu. Cepat sungguh masa berlalu.
Masa juga memberikan peluang kepada manusia untuk meneruskan perjalan hidup dan saat-saat penting dalam hidup. Sebagi ibu, pasti ramai yang sedang bergelumang dengan pelbagai urusan dan perkara rutin yang harus disiapkan.
Pernah juga terlintas difikiran, adakah saya sebagai seorang ibu telah menjaga etika yang betul sebagai ibu. Maklumlah, di rumah keadaannya berbeza. Apabila berada di luar dalam suasana yang berbeza, berbeza pula tanggungjawaab dan peranan seorang ibu.
Apabila berada di kawasan kejiranan ada etika yang perlu dijaga. Manakala, apabila bertemu guru dan rakan anak-anak yang lain ada juga etika yang peru dijaga.
Mari lihat semula beberapa keadaan yang memerlukan kita sebagai ibu (dan bapa) untuk memastikan bahawa etika yang betul dikekalkan terutama apabila terdapat perhubungan secara tidak langsung dalam suasana pembelajaran anak-anak.
1. Ketika menghantar anak ke sekolah.
Etika pakaian sering dilupakan oleh ramai ibu (dan bapa). Adalah lebih manis sekiranya ibu (dan bapa) berpakaian sopan. Sememangnya, sesekali memang agak sukar untuk mengejar masa dan menguruskan anak terutamanya pada waktu pagi.
Namun, berpakaian kemas tidak bermaksud perlu cantik dan nampak gah atau bergaya korporat. Cukuplah dengan tidak memakai baju tidur kelawar, seluar pendek, baju-T yang nipis atau baju tidur tanpa lengan.
Saya kira, dengan memastikan kita sebagai ibu beretika, ia akan meransang anak dan juga memberikan motivasi kepada guru yang mengajar anak kita juga.
2. Ketika menunggu anak untuk diambil pulang ke rumah.
Salah satu etika pada situasi ini adalah berkait langsung dengan tatacara bercakap dan gaya komunikasi kita sebagai ibu bersama ibu yang lain.
Selain daripada mengelakkan diri dari bercakap tentang perkara yang kurang sihat, kesopanan kita sebagai ibu juga dilihat dari cara kita memakir kereta selain bagaimana kita menegur ibu yang lain. Pada masa yang sama sikap timbang rasa dan toleransi yang tinggi perlu diamalkan.
Ucapan terima kasih yang ringkas bukan sahaja kepada guru bahkan pegawai keselamatan juga melambangkan etika anda sebagai ibu (atau bapa).
Sebenarnya, apa juga dan apa jua yang dilakukan dan dimulakan oleh ibu dan bapa, secara langsung atau tidak, memberikan sumbangan terhadap proses perkembangan anak-anak. Ia bakal mencorakkan hidup anak itu. Oleh itu, tatacara dan bagaimana kita sebagai ibu (dan bapa) berhadapan dengan guru, dan rakan sekolah memberikan ruang pembelajaran secara tidak langsung.
Pernah dilihat bagaimana seorang guru dimarahi oleh seorang ibu di hadapan anaknya. Tanpa mengambil tahu perasaan dan emosi anak-anak, sesetengah ibu bapa mengambil langkah memarahi dan secara tidak langsung merendahkan kredibiliti seorang guru sebagai satu cara untuk memberi bukti bahawa mereka sayang serta mengambil berat tentang anak masing-masig.
Hakikatnya, si anak hanyalah menyimpulkan bahawa ianya munasabah dan tidak salah untuk memarahi guru. Mereka juga mendapat maklumat bahawa untuk menunjukkan sayang, perlulah menunjukkan ego dan kuasa.
Mendengar komen dan tutur kata ibu bapanya, anak-anak membuat andaian sendiri. Sebenarnyanya, guru itupun bukan orang yang bagus. Mereka hanyalah menerima gaji yang dibayar oleh ibu bapanya. Jadi, yang lebih penting ialah siapa yang membayar dan mempunyai duit.
Bukankah is satu kesimpulan yang tidak bijak? Wajarkah ianya dijadikan landasan hidup oleh si anak?
Sejauh mana kita menjaga etika sebagai ibu di persekitaran akademik anak kita menjadi kayu ukur tentang sehebat mana kita mampu mengekalkan etika keibubapaan.