Ada ibu bapa yang ‘takut’ menampilkan diri untuk memberikan komen dan teguran. Mereka bimbang anaknya tidak dilayani dengan baik di sekolah.
Tetapi, dengan perjumpaan dan mengenali guru atau pengetua di sekolah, kecenderungan ini berlaku adalah kecil.
Kali ini, kisahnya begini.
Seorang pengurus sekolah (Pengetua Tadika), menerima panggilan dari majikannya. Berikut adalah catatan laporan dari seorang bapa:
– beberapa orang murid tidak mahu ke sekolah/fobia mahu ke sekolah hanya kerana seorang cikgu.
– cikgu menggunakan rotan, mencubit dan menarik telinga murid
– cikgu meninggikan suara yang tinggi kepada murid
– pembantu dan guru tidak ada bertugas semasa kedatangan murid.
– cikgu garang.
Pengetua itu, mahu mendapatkan maklumat lanjut tentang apa yang dilaporkan. Tetapi, majikannya tidak mahu memberikan maklumat bapa berkenaan. Beliau diminta menulis laporan dan menyatakan sebab atas laporan itu.
Pelajaran untuk majikan, bapa dan pengetua. Pelajarn untuk semua.
Baik. Langkah yang saya kira wajar ialah:
1. Lihat faktor anak-anak dan pembelajaran.
Apabila dimaklumkan beberapa orang murid, ia menunjukkan sekumpulan murid tidak mahu datang ke sekolah, bukan semua.
a) Rekod anak
Faktor hari persekolahan dan kedatangan perlu diambil kira. Semak semula jadual pembelajaran, isi kandungan aktiviti, dan maklumat, profil murid serta rekod perkembangan anak tersebut. Lalu dengan ini akan ada cara yang lebih ‘customised’ untuk membantu anak-anak berkenaan.b) Emosi anak
(Lihat post sebelum ini mengenai ‘love language’)
Sekiranya terdapat keperluan yang tidak dipenuhi di rumah, perlulah guru memberikannya. Selepas itu dikongsikan bersama ibu bapa agar ianya dapat diteruskan di rumah.c) Faktor luaran
NOTA: Ini hanya akan berkesan jika guru dapat mengenalpasti siapa anak itu. Komunikasi ibu bapa dan guru adalh sangat penting.
2. Rotan, cubit dan tarik telinga.
Apabila bapa ini memberikan laporan begitu, ia ada beberapa kemungkinan:
a) Kejadian itu dilihat sendiri.
b) Kejadian itu berlaku beberapa kali.
c) Kejadian itu hanya didengar dari orang lain.
Walau bagaimanapun, bagi para guru perhatikan beberapa tingkah laku yang boleh membawa salah faham. Ia seperti berikut:
a) Elakkan mencubit manja pipi anak-anak.
b) Elakkan menyentuh bahagian badan anak dengan gaya yang mengelirukan. Menyentuh cuping telinga anak dilihat seperti menarik telinga.
c) Elakkan memegang pembaris panjang atau pendek semasa mengajar. Gulungan kertas surat khabar atau sebarang bentuk objek yang menyerupai rotan mesti dibuang!
Penggunaannya menyebabkan anda dilihat memukul anak-anak walaupun jika ianya tidak berlaku.
NOTA: Apa yang baik adalah bagi ibu bapa berjumpa terus kepada pengetua untuk memastikan keadaan ini dapat dicegah dengan segera.
Kepada guru yang sudah melakukan kesilapan, minta maaf apada anak berkenaan dan usah diulangi lagi.
3. Suara yang tinggi.
Tulisan saya yang sebelum ini ada menyentuh tentang istilah ‘tengking’ yang berbeza dari perspektif guru dan ibu bapa.
Bagi guru yang bersuara ‘besar’ dan ‘tinggi’ nadanya, lakukanlah aktiviti-aktiviti yang berkaitan.
Ini termasuk, nyanyian dan permainan bisikan. Guru yang mempunyai suara dan nada tinggi digalakkan banyak menyanyi untuk membiasakan murid dengan ‘tone’ suara guru.
Permainan ‘berbisik’ memberikan kefahaman pada anak, bahawa mereka perlu senyap untuk memahami apa yang guru sebutkan.
Lakukan aktiviti ‘senam otak’ yang pernah saya kongsikan sebelum ini.
Pesan saya, bimbing guru ini. Usah dikecam!
4. Pembantu dan guru tidak menyambut murid ketika datang.
Bergantung kepada jadual dan pengurusan sekolah. Sekiranya sudah tamat waktu menerima kedatangan murid, guru perlu berada di dalam kelas.
Hal yang begitu memerlukan ibu bapa jelas dengan selok belok dan peraturan tadika.
Cadangan saya, terangkan semula kepada ibu bapa.
5. Cikgu garang adalah subjektif.
Saya kira, dengan mempunyai suara yang tinggi, tidak dapat memahami bahasa kasih sayang anak, akan menyebabkan guru boleh dikategorikan garang.
Saya pernah bertemu dengan ‘Cikgu garang’ yang sangat disayangi oleh murid. 🙂
Insyaallah.
Apa yang saya pasti, berilah masa yang cukup buat anak, guru dan ibu bapa saling memahami. Lebih banyak anda berkomunikasi dengan baik, lebih cepat anak-anak akan menyesuaikan diri dan selesa di sekolah. Elakkan bercakap dengan orang yang ketiga.
Sekiranya masalah masih tidak selesai setelah semua langkah diambil, cuba cara lain.
Berilah sekurang-kurangnya 90 hari bersekolah untuk menilai semula. Ingat, sebulan 30 hari, bersekolah hanya 20 hari sahaja!
Terakhir sekali, jika tidak berhasil juga ambil jalan untuk cuba suasana persekolahan yang lain.
Berdoalah yang terbaik buat semua.
Paling mudah.
Hadiahkan Surah Al-Fatihah setiap hari kepada anak, guru dan diri sendiri.
Jika masih sukar, hanya baca sekali dan niatkan buat semua.
-Niat yang baik akan sampai juga.- MIN