Berniaga dan menjadi usahawan, bukan budaya semua orang.
Juga bukan budaya banyak keluarga.
Saya meletakkan diri saya dalam kategori usahawan kecil-kecilan yang amat berminat untuk berniaga tetapi tidak mempunyai kemampuan yang tinggi untuk mencipta perniagaan baru. Lebih tepat, saya suka berniaga kerana saya suka menelusuri hidup bersama dengan sekelompok manusia yang lain. Saya suka meluangkan masa bersama orang lain.
Setelah selepas beberapa tahun bergelar ‘cikgu’, saya mula memikirkan tentang keperluan berkongsi pengalaman dengan guru lain berdasarkan pengalaman saya.

Semenjak itu, saya mula mendapati bahawa ada ruang untuk berkembang dalam bidang yang saya ceburi untuk menambahkan kualiti hidup dengan menjadi usahawan muslim. Bukankah perniagaan dan berniaga secara jujur sudah dijanjikan balasan dan darjat yang tinggi dalam agama? Sangat jelas bukan?
Saya masih ingat dengan jelas beberapa soalan yang saya tanyakan pada diri sendiri.
“Niat nak buka sekolah ni, nak kaya ke apa?”
“Tak, buka sekolah sebab saya suka nak buat. Saya rasa dah tiba masa saya tingkatkan diri dengan memiliki satu. Ada rezeki, insyaallah. Kalau nak betul nak kaya, saya kena buka bisnes lain. Tapi, saya rasa ini yang saya suka nak buat dan saya nak buat!”
“Boleh berjaya?”
“Asalkan saya tak jatuh miskin dan dapat hidup sederhana macam biasa, dah memadai.”
“Kalau gagal?”
“Tak pernah terlintas perkataan tu. Saya yakin berjaya. Tapi saya akan bersedia untuk itu. Mana ada kejayaan datang bergolek. Kalau nak senang saja…bukan makhluk Allah namanya. Beriman, pasti diuji!”
“Pandai ke nak uruskan duit? Sanggup ambik risiko?”
“Yakin, usaha dan tawakkal”
Kebelakangan ini, ramai yang bertanya tentang bagaimana mahu memulakan perniagaan yang melibatkan anak-anak. Ini termasuklah tadika, pusat asuhan (taska) dan tidak kurang pusat pekermbangan kanak-kanak.
Kebanyakan yang mempunyai minat dalam bidang ini adalah wanita. Namun, bidang ini adalah terbuka untuk semua. Dua perkara utama ialah minat dan bakat. Ia mesti ada dan seiring dalam diri seseorang untuk menceburi mana-mana bidang perusahaan.
Meskipun betapa bersih niat kita dalam menjalankan perusahaan, kemahiran berniaga mesti didalami. Menyusun strategi perniagaan juga mesti dihalusi. Ia bukanlah perkara yang kita boleh lakukan secara bersendirian.
Berniaga bukan boleh dilakukan secara berseorangan. Maka keperluan membina kumpulan rakan niaga adalah penting.

Jadi, apakah sebenarnya tujuan kita berniaga? Berniaga untuk apa? Berniaga untuk siapa? Berniaga yang bagaimana?
Niat dan tujuan yang jelas amat penting untuk memastikan perniagaan akan berterusan dan kejayaan berpanjangan.
Apabila kita berniaga untuk wang, wanglah akhirnya.
Apabila kita berniaga demi membantu keluarga, bantuan kepada keluargalah hasilnya.
Apabila kita berniaga kerana nama, ‘glamour’lah jadinya.
Apabila kita berniaga agar terbukti anda berjaya, berjayalah adanya.
Apabila kita berniaga sekadar kepuasan diri, akan puaslah jua.
Apabila berniaga kerana ALLAH dan ISLAM, berjayalah anda dunia dan akhirat.
Amin!!