Setiap tahun bulan RAMADHAN adalah bulan yang dinanti-nanti. Bukan sahaja untuk kanak-kanak, mereka yang dewasa juga.
Bagi ramai usahawan dan peniaga, Bulan RAMADHAN adalah bulan rezeki yang melimpah-ruah. Sudah pasti ramai diantara kita yang masih teringat dan terbayang betapa banyaknya barang atau produk yang dibeli untuk menyambut Ramadhan dan Syawal.

Bagi para ‘blogger’ dan ‘facebooker’ pasti mereka masih teringat bagaimana penuhnya ‘wall’ mereka dan ‘group’ mereka dengan pelbagai iklan dari makanan, pakaian hinggalah ke barang perhiasan.
Pun begitu, bagi ramai peniaga ‘online’ atau ‘offline’ bahangnya sentiasa sama. Cuma intensitinya sahaja yang berbeza. Kemunculan Syawal selepas Ramadhan menjadi lubuk rezeki saban tahun bagi ramai peniaga. Ini termasuklah peniaga makanan, pakaian barang perhiasan, salon, spa dan banyak lagi.
Keinginan dan keperluan pelanggan yang juga berbeza dan bermusim merupakan antara cabaran yang besar bagi para peniaga untuk meneruskan ‘perlumbaan’ dan ‘marathon’ untuk terus mendapat bisnes.
Bisnes yang dilihat dari segi berapa banyak transaksi jualan tunai kini menjadi salah satu cara menilai keaktifan dan kekuatan banyak bisnes.
Perlumbaan ini saya lihat sebagai satu aktiviti yang positif dan sangat sihat. Dunia perniagaan bertambah meriah dan rancak. Perkembangan industri jualan runcit mahupun borong pasti akan bercambah dengan baik.
Kelihatan seolah semua peniaga berjaya menunjukan kegigihan dan kesungguhan berniaga dengan adanya perlumbaan yang positif.
Walaubagaimanapun, pada masa yang sama sebagai peniaga seharusnya setiap individu itu mengambil sedikit masa dan bertanya pada diri.
“Dalam perlumbaan ini dimanakah saya berada? Adakah saya berlari sendirian, di trek, atau saya sebenarnya sedang ber’jogging’ di sebuah taman permainan.”

Apabila pertanyaan sedemikian dilontarkan, sebenarnya ia dapat membawa setiap individu menilai semula tentang dunia perniagaan.
Apakah yang bakal diletakkan sebagai tujuan dan hala tuju dalam perlumbaan sebegini? Perlukan is hanya bersifat bermusim? Sudahkah tiba masanya untuk mempunyai sesuatu yang harus bersifat semasa dan sentiasa?
Tujuan berlumba adalah untuk menuju ke garisan penamat. Jadi, dalam perlumbaan ini, ada dimana?
Atau adakah anda sebenarnya tidak berlari dan tidak berada dimana-mana ‘trek’ pun.
Ramai yang menyangkakan bahawa tiada perlumbaan. Sebenarnya, perlumbaan itu sentiasa ada dan perlu ada. Ia akan menjadikan perjalanan perniagaan itu lebih menarik. Ia seumpama sekumpulan orang bermain di padang bola. Permainan haruslah berkumpulan. Meskipun ada musimnya, pemain bola akan bermain dan berlatih sepanjang tahun.
Jadi, jika ada pemain yang bermain kasar, suka mencederakan orang lain, pasti mereka tidak disukai oleh pemain yang lain. Malah, hanya pemain bola sahaja yang diterima untuk bermain. Pemain hoki, mesti pergi ke padang hoki dan bermain bersama pemain hoki, bukan pemain bola sepak.
Sekali lagi, trek dan padang perlumbaan manakah yang dipilih?