Semalam, saya berpeluang menemui rakan bisnes yang baru berkecimpung dalam bidang penulisan buku. Beliau sudah menjalankan pelbagai jenis perniagaan sebelum ini.
Pengalaman beliau mengembara di Eropah dan beberapa negara Asia sangat menarik. Perbincangan kami banyak berkisar tentang perkongsian pengalaman beliau yang juga pernah mengikut suami berbisnes di luar negara.
Beberapa kisah yang saya dengar dari beliau mengingatkan saya tentang bagaimana kata-kata ramai manusia mahu yang mahu hidup kekal lama. Saya mahu kongsikan, sebuah kisah yang pernah saya baca, tentang pokok kehidupan yang buahnya memberi khasiat ajaib!
Ini kisahnya…
Diceritakan pada suatu masa terdapat seorang sultan yang sangat mementingkan kesihatan. Baginda pasti memastikan adanya makanan berkhasiat dan snek ynag dihidangkan adalah buah-buahan yang baik.
Pada suatu malam, semasa baginda sedang berbincang bersama para menteri sambil menikmati snek buah-buahan segar, baginda meminta semua orang berkongsi satu cerita.
Tibalah giliran seorang pendita juga selaku penasihat istana yang bijak untuk bercerita.
Sambil mengurut-urut janggutnya yang kelabu, beliau berkata, “Tahukah tuanku adanya sebuah yang dikenali sebagai pokok kehidupan?”
Sultan nampak sangat berminat mahu tahu.
“Tidak, beta tidak tahu tentang itu.”
Lalu sang pendita berkata lagi, “Diberitakan, pokok itu ada di negeri India. Barangsiapa yang memakan buahnya, maka beliau akan hidup selama-lamanya.”
“Benarkah begitu, tuan?”
Belum sempat sang pendita menjawab soalan baginda, Sultan sudah pun memerintahkan pembantu terbaiknya pergi mencari pokok tersebut.
Diringkaskan cerita, setelah berganti bulan, pembantu Sultan itu masih belum pulang.
Akhirnya pada suatu petang, mengadaplah pembantu Sultan itu ke istana.
Maka baginda Sultan bertanya.
“Di manakah buah kehidupan yang beta minta kamu carikan itu?”
Pembantu sultan itu dengan tenang menjawab.
“Tuanku. Patik sudah mengembara keseluruh negeri India. Banyaklah sudah hamba mencari dan meneroka negeri India itu. Rupa-rupanya, pokok kehidupan itu ada di mana-mana Tuanku!”
“Apa? Ada di mana-mana? Jangan berani kamu permainkan beta!”
“Benar Tuanku. Pokok kehidupan itu ialah ilmu dan pengetahuan. Buahnya adalah hasil memanfaatkan ilmu itu. Selagi mana buah itu dimakan, sesiapa pun akan disebut namanya sepanjang zaman. ”
Termenunglah Sultan memikirkan akan jawapan pembantunya itu.
Diadaptasi dari: Hikayat Masnavi.