Beberapa emel menerobos masuk dalam kotak inbox saya beberapa hari yang lalu. Ada emel yang berbentuk urusan bisnes harian dan ada beberapa emel yang merupakan cerita bisnes.
Saya ditanya lagi. Tentang apa yang saya sedang lakukan dan rancangan saya pada masa hadapan.
Beginilah…
Semasa saya berumur 6 tahun, saya adalah seorang budak perempuan yang tidak pernah masuk ke kelas tadika. Saya adalah seorang budak perempuan yang berbaju kurung setiap hari. Jika berseluar sekalipun, hanyalah seluar sukan yang dipakai dengan baju kurung.
Saya suka berbasikal dan bermain bersama seoran sepupu perempuan yang tinggal bersebelahan dengan rumah keluarga saya. Waktu itu, berbasikal dalam cuaca cerah dan berangin, merupakan satu kepuasan. Ia bertambah seronok apabila saya berlumba bersama sepupu.

Kebiasaannya, hampir setiap hari saya akan bangun pagi dan menemani emak saya memasak didapur. Waktu itu, emak menggunakan dapur kayu.
Saya tidak buat sebarang kerja.
Saya hanya duduk memerhatikan emak memasak di bawah sinaran lampu minyak tanah. Saya measih ingat bau sambal udang kering yang emak masak. Kemudian dimakan bersama nasi panas untuk sarapan pagi. Ya, kami makan nasi untuk sarapan. Sesekali, emak masak ubi yang ditumis dengan sambal juga.
Oleh kerana emak adalah seorang surirumah yang bekerja, saya akan mengikut emak ke kebun. Waktu itu, saya belum mempunyai adik. Saya akan berbasikal di belakang emak ke kebun koko yang terletak hampir 500 meter dari rumah. Saya akan berbasikal di belakang emak dengan akur menurut kelajuan emak mengayuh basikal.
Tugas saya mudah. Mengikut sahaja emak bergerak dari satu pokok koko ke pokok koko yang seterusnya. Sesekali saya akan membawa beg guni kecil untuk mengutip biji koko yang bertaburan di atas tanah dek dimakan tupai.
Saya masih ingat bagaimana rasa melekitnya pada jari-jemari comel saya pada masa itu. Melihat saya begitu, emak berkata dengan keras. “Kutip. Itulah duit untuk kita beli makanan!”

Apabila selesai mengerjakan hampir 50-60 batang pokok koko, saya dan emak akan pulang berbasikal. Emak akan mengikat guni yang kecil dibelakang basikal saya, manakala guni yang lebih besar dibelakang basikalnya. Kali ini, saya akan mendahului emak. Saya mahu cepat pulang. Saya mahu segara bermain.
Sampai di rumah, emak akan membiarkan saya bermain lagi sementalah saya memang sudah kotor dan comot. Kebiasaannya, kami akan pulang ke rumah pada jam 11 pagi. Saya akan meneruskan aktiviti main di kebun atau mengejar kucing keliling rumah.
Jika emak ada mengeringkan koko, maka saya pula menghalau ayam jauh-jauh agar biji koko emak selamat. Adakalanya, saya akan bermain tanah di tepi rumah. Bina cerucuk lidi untuk buat rumah mainan.
Sementara itu, emak akan ke belakang rumah untuk mengutip sayur atau memetik pucuk ubi untuk dimasak untuk makan tengahari. Masakan emak ringkas sahaja.
Pucuk ubi masak lemak. Sambal belacan dan ikan masin goreng. Bau ikan masin goreng adalah tanda makan tengah hari sudah siap.
Pengalaman saya bangun seawal 5.30 pagi, berbasikal sejauh 500 meter, mengutip biji koko kering yang melekit-lekit serta bau ikan masin dan rasa sambal belacan bersama masak lemak pucuk ubi itu menjadikan saya seorang yang sangat positif.
‘Boleh’ adalah satu proses yang pasti dalam hidup saya.
Apabila emak berkata:
‘Bangun, pagi-pagi’.
’Ikut emak ke kebun.’
‘Kutip biji koko.’
‘Kayuh basikal.’
‘Makan sekarang.’
‘Pergi mandi.’
Semuanya adalah dengan jawapan yang pasti, iaitu BOLEH.
Kadangkala, saya tidak menyahut apabila emak menyuruh saya melakukan sesuatu. Tetapi, saya akan siapkan tugasan itu. Adakalanya, saya merungut juga. Tetapi, kerja itu saya buat juga.
Saya tahu. Emak tidak menyuruh saya melakukan perkara tidak baik.
Saya tahu. Emak tidak berniat jahat pada saya.
Saya tahu. Emak sayangkan saya!
Kini, saya sentiasa katakan BOLEH pada apa yang saya mahu, sedang dan akan lakukan.
Adakalanya, saya juga ragu, tetapi saya tahu apa yang saya akan buat. Sesekali saya buntu, tetapi saya akan terus menjalankannya.
Jadi, andai kira ditanya pada saya, tentang apa yang saya lakukan sekarang.
Sudah tentu jawapan saya, BOLEH.
Jika ditanya apa inspirasi saya, saya kira, aroma biji koko, masak lemak pucuk ubi, sambal belacan dan ikan masin goreng adalah jawapannya.
