MENGENALI BISNES PENDIDIKAN KANAK-KANAK
Pengenalan.
Bisnes, bukanlah satu perkara yang biasa bagi saya yang dibesarkan dalam suasana yang sederhana. Secara jujur, saya tidak memilih bidang pendidikan kanak-kanak berdasarkan kecenderungan bisnes.
Saya memilih untuk mengajar kanak-kanak hanya kerana saya tahu yang saya boleh melakukannya dengan baik dengan pengalaman yang ada. Tanpa sedar, saya terperangkap dalam set minda ini.
Saya juga sedar bahawa kepuasan dalam mengajar adalah sangat berbeza. Ia memerlukan kerjasama dan pemahaman serta toleransi yang tinggi dalam tim di pusat pendidikan yang saya bekerja. Faktor kepuasan inilah yang menyebabkan saya masih berada dalam industri yang sama selama 10 tahun!
Saya dapati, ada banyak ruang yang saya boleh dan perlu baiki. Mengamalkan falsafah dan pegangan saya sebagai seorang guru dengan konsep fasilitator kepada anak-anak adalah menjadi cita-cita saya.
Pada masa yang sama, saya juga sangat percaya kepada kekuatan sistem pembangunan modal insan dalam menjayakan sebuah proses pembelajaran yang baik. Ia mesti berasaskan dengan pembangunan sistem pengurusan yang kukuh.
Saya juga sedia maklum bahawa ia hanya boleh dilakukan apabila saya mempunyai sebuah institusi pendidikan, yang saya uruskan sendiri.
Sebilangan ramai memanggil kepuasan dalam mengajar sebagai satu ‘panggilan’.
Membuka sebuah tadika atau sebarang jenis pusat pendidikan kanak-kanak memerlukan banyak persediaan. Saya pernah 3 kali gagal dalam percubaan membuka bisnes pendidikan kanak-kanak.
Sehinggalah pada penghujung tahun 2007, saya diberi peluang untuk menguruskan sebuah pusat pendidikan dengan menggunakan sistem perlesenan. Ia adalah peluang dimana saya belajar dan melalui banyak pengalaman hidup disekeliling dunia bisnes.
Perjalanan bisnes mengambil masa untuk berjaya. Ketabahan adalah GPSnya!
Latarbelakang pendidikan banyak membantu seseorang untuk berjaya menjalani hidup berbisnes. tetapi, pendidikan formal bukanlah satu faktor yang muktamad. Pembelajaran secara berterusan dapat memastikan kelangsungan ilmu dan pembangunan diri seseorang dalam bisnes.
Kelompongan antara kemahiran dan bakat mesti diisi dengan betul. Pengurusan masa untuk menghadiri kursus, program latihan dan sesi jaringan menjadi antara platform penting untuk membagunkan kemahiran dan mengasah bakat dalam bisnes dan juga kepakaran dalam industri.
Bangga dan sentiasa rasa hebat dengan profesion pilihan.
Pengalaman adalah guru yang terbaik. Sebelum menceburkan diri dalam pengurusan bisnes pendidikan kanak-kanak, saya sendiri menimba ilmu dengan bekerja dengan beberapa buah institusi pendidikan kanak-kanak yang menggunakan sistem yang berbeza.
Pengetahuan yang sedikit dikumpul menjadi satu buku pelajaran yang sangat membantu apabila situasi yang dihadapi perlu ditangani.
Pengalaman adalah guru yang terbaik. Ia hanya untuk mereka yang memerhati dan memikir.
Sistem sumber manusia memerlukan banyak kesabaran untuk dibangunkan dan diurus. Keperluan mempunyai karisma kepimpinan memainkan peranan dalam konteks penyusunan tim dan pembangunan profesionalisme. Ia adalah sesuatu yang boleh dipelajari.
Membina kepercayaan dan kesefahaman dalam bekerja menjadi nadi kepada keserasian dan kejayaan antara kumpulan pengurusan dan penggerak sesi pembelajaran.
Banyak inisiatif seperti program pembangunan berterusan yang dijalankan melalui sesi latihan dan kursus asuhan perlu dirancang secara berkala. Komunikasi dan maklumbalas yang dinilai dapat membantu perkembangan modul dan pengisian yang berimpak tinggi kepada pembelajaran di dalam kelas untuk anak-anak.
Keyakinan yang tinggi adalah faktor utama dalam kerja berkumpulan. Mazhab dan fahaman yang sama membentuk gerak kerja yang lebih tersusun.
BUKU BISNES ini adalah perkongsian pengalaman praktikal. Ia juga memuatkan langkah-langkah yang mudah difahami. Ia boleh diambil dan disusun semula berdasrkan situasi unik bagi setiap pengusaha mana-mana pusat pendidikan kanak-kanak dengan kepelbagaian sistem yang ada.
Ia tidak hanya mengandungi maklumat dan proses asas membuka atau menubuhkan sebuah pusat pendidikan kanak-kanak semata-mata. Ianya adalah pendekatan diri secara emosi dan falsafah kepercayaan dalam bisnes ini.
Buku ini adalah untuk mereka yang mahu pergi jauh dalam bisnes dan tidak hanya berhenti pada tahap nilaian angka. Perkembangan diri pengusaha bisnes tidak harus disekat dengan kewujudan satu sistem.
Sistem yang baik adalah sistem yang berubah mengikut keperluan semasa. Formulanya memenuhi keperluan terkini. Ia membolehkan mereka yang berada di dalamnya berkembang dengan sekata.
BUKU BISNES ini juga menjadi isnpirasi kepada mereka yang mahu membina modal sosial diri yang tinggi melalui bisnes berprestasi tinggi.
Tujuan dan objektif yang jelas, memudahkan keputusan bisnes dibuat dengan tepat.