Kebelakangan ini, saya sempat bertemu beberapa nama baru di dunia maya. Ramai yang telah berkongsi, malah mendedahkan rahsia-rahsia kejayaan mereka untuk ditiru.
Ramai yang dapat membantu orang lain menjadi lebih berjaya dalam bisnes. Meskipun saya tidak dapat bertemu kebanyakan mereka, saya berterima kasih atas perkongsian penulisan mereka di dalam blog dan juga sosial media. Ia sememangnya menjadi inspirasi dan peransang kepada perjalanan bisnes yang ada turun naiknya.
Apabila berada dalam situasi yang tidak menyenangkan, kebanyakan orang mula mencari penyelesaian dan mahu mengurangkan tekanan dengan pelbagai aktiviti. Aktiviti yang dipilih pula, berbeza mengikut pilihan individu.
Ya, saya juga tidak terkecuali. Pun begitu, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang berada disekeliling saya. Tidak terkecuali ahli keluarga saya, para pembantu dalam institusi, rakan niaga dan setiap nama yang disentuh dalam dunia profesional. Setiap satu telah memberi sumbangan yang sangat bermakna untuk saya menggali pengalaman bisnes.
Saya pernah diberitahu oleh rakan niaga. “Buatlah salah. Selepas itu, jangan ulang. Buat langkah sterusnya dengan lebih baik.”
Kata-kata beliau menyebabkan saya sangat berkeyakinan membuat keputusan-keputusan bisnes meskipun jalannya sukar. Melibatkan banyak masa dan kos. Tetapi, bisnes adalah bisnes. Ia memang begitu.
Apabila silap. Sudah. Apabila rugi. Sudah. Teruskan dengan betul. Teruskan dengan yang membuat lebih untung. Itu pesan mentor saya.
Masih segar dalam ingatan saya tentang jatuh bangunnya seorang rakan dalam industri pendidikan. Selepas 5 tahun, beliau bertekad untuk melakukan apa yang terbaik untuk diri sendiri. Kini, beliau memilih cara untuk menjalanai kehidupan dengan bisnes berejensi. Ia juga adalah satu keputusan bisnes yang sukar buat beliau.
Seorang rakan yang lain pula, meninggalkan dunia korporat. Lalu memulakan bisnes di Puchong 6 tahun lalu, selepas mengambil kursus dalam bidang pendidikan. Hingga kini, beliau masih menjadi rakan baik saya.
Saya melihat sendiri bagaimana beliau menjaga premis bisnesnya hingga ke hari terakhir beliau menutup bisnes. Selepas 6 bulan menaggung kos operasi yang tinggi tanpa pendapatan, beliau tekad dengan keputusan bisnes, untuk tutup saja.
Ramai yang menyangka itu adalah risiko bisnes. Tetapi, hakikatnya risiko kegagalan seperti itu boleh diurus!
Melalui serta melihat kehebatan individu-individu ini melalui hidup, menjadikan saya jauh lebih bersyukur. Ya, apalah kiranya dengan hanya sedikit kesusahan dalam membuat keputusan bisnes. Adakalanya sedikit itu, akan memberikan sesuatu yang sangat banyak.
Saya sedang terus belajar dan bakal akan terus mempelajari cabanng bisnes baru. Ia bukanlah hanya melibatkan apa yang dipanggil perjanjian di atas kertas.
Mentor saya juga berpesan, uruskan emosi, baru boleh uruskan bisnes.
Selamat maju jaya.
Selamat membuat keputusan-keputusan bisnes!
.