Saya pernah berkongsi mengenai satu ‘business tool’ yang disebut sebagai Bisnes Model Kanvas atau lebih dikenali sebagai BMC dalam beberapa posting saya sebelum ini.
Asasnya, BMC mempunyai 9 blok yang perlu diteliti.
Antara yang paling banyak menyebabkan ramai pengusaha yang akan, baru dan sedang berada dalam bisnes berada dalam keraguan adalah kerana bahagian utama dalam BMC ini yang perlu dilihat.
‘Customer’ dan ‘Channel’.
Dalam kelas bisnes yang saya hadiri tentang BMC ini, saya telah mendapat gambaran yang jelas tentang apa yang perlu dilakukan dan bagaimana boleh saya melakukan sesuatu keputusan bisnes melaui BMC ini.
1. ‘Customer’ – pelanggan
Saya sendiri pernah mengalami kesukaan apabila memulakan satu projek tanpa mengenali dan mengetahui siapa sebenarnya ‘customer’ yang saya mahu unjurkan produk tersebut. Akibatnya, tentulah perusahaan itu tidak bertahan lama.
2. ‘Channel’
Ini banyak merujuk kepada dimana dan bagaimana produk atau servis yang ditawarkan itu akan disampaikan kepada ‘customer’ yang kita pastikan itu.
Sekiranya pelanggan itu adalah pekedai, bagaimanakah mahu disampaikan produk itu kepada mereka?
Saya mahu kongsikan sebuah kisah tentang seorang graduan yang memulakan tanaman cili menggunakan sistem fertigasi secara kecil-kecilan di kampung.
Ini kisahnya…
Seorang graduan memulakan perusahaan tanaman cili secara kecil-kecilan. Namun, projek kecil yang menggunakan hanya suku ekar tanah kepunyaan keluarga itu menelan belanja modal RM12 ribu yang dilaburkan oleh seorang ahli keluarganya yang lain.
Ia tidak lagi menjadi bisnes tanaman kecil-kecilan. Peralatan dan set-up untuk sistem tanaman fertigasi, tidaklah semudah dan semurah yang dikira.
Dengan mengira dan menganggap cili adalah keperluan semua orang, setiap kedai makan dan setiap rumah, kiraan yang dibuat sangat tidak tepat. Ini adalah satu kesilapan besar!
Rupa-rupanya:
– pekedai runcit biasa tidak akan mengambil cili dengan kuantiti yang banyak.
– towkay kedai makan juga tidak akan mengambil stok cili yang banyak. Kebanyakannya menggunakan cili yang dikisar dan disimpan.
– setiap isi rumah hanya menggunakan 3-5 batang cili sehari dalam masakan.
– pasaraya besar pula mempunyai syarat yang ketat apabila mahu mengambil kontrak pembekalan cili ke pasaraya mereka.
Tahukah tuan-tuan bahawa cili yang dibeli secara pukal adalah dengan harga tertentu pada setiap kilogram?
Dapatkah tuan bayangkan apa yang berlaku kepada projek yang menelan belanja RM12 ribu itu?
Kemudian, didapati pula bahawa apabila sudah selesai 3 kali tuaian tanah perlu direhatkan. Jika mahu meneruskan, perlulah mengambil beberapa set beg tanaman yang baru untuk mendapat hasil cili dengan kualiti yang sama seperti tuaian yang pertama. Ini juga bermakna pembelian vitamin dan baja tambahan diperlukan.
Hasil dan kualiti cili bergantung kepada vitamin dan kesihatan tanah serta persekitaran kawasan tanaman. Penyakit dan cara penjagaan cili dengan tanaman bersistem seperti itu, memakan belanja tambahan.
Dapatkah tuan bayangkan apa yang berlaku kepada projek yang menelan belanja RM12 ribu itu?
Mempelajari sesuatu dengan harga yang mahal tidak mengapa untuk mereka yang berduit. Dalam kes ini, saya kira beliau dan ahli keluarga yang melabur itu membayar harga yang mahal untuk satu pelajaran bisnes.
.