Bismillahirrahmanirrahim.
Pada bulan Mei yang lalu saya sempat berkenalan dengan beberapa orang pensyarah universiti yang sama-sama menyertai program keushawanan.
Antara yang menarik ialah cerita seorang pensyarah tentang kumpulan pelajar sarjana yang diberikan bukan sahaja projek atas kertas, malah mereka terus perlu aplikasi prinsip bisnes secara praktikal.
Saya diberitahu bahawa sekumpulan pelajar itu perlu merancang satu model bisnes untuk menjana satu amaun kutipan dan keuntungan. Ia kemudiannya akan digunakan untuk rombongan dagangan ke sebuah negara terpilih.
Mengingati semula inisiatif profesor itu, saya juga teringat tentang bagaimana satu ketika dahulu saya disibukkan dengan keperluan menyediakan kertas kerja cadangan bisnes. Kemudiannya, setelah bisnes berjalan ia tidak lagi digunakan dan dirujuk. Walhal, itulah salah satu dokumen yang penting dalam bisnes untuk kelangsungannya.
Berbalik kepada kisah profesor tadi, saya mula berfikir untuk mencari sebuah institusi pendidikan bisnes yang boleh saya hadiri untuk belajar dan terus menggunakan ilmunya dalam bisnes secara praktikal.
Sejujurnya, saya juga pernah mengambil kursus program Master untuk menambah ilmu pengetahuan bisnes di salah sebuah universiti te,patan. Namun, selepas tamat semester pertama dan masuk ke semester kedua, saya dapati saya tidak lagi sesuai untuk duduk belajar dan berteleku seperti dulu kala.
Faktor masa dan keluarga juga menjadi antara faktor yang menguatkan lagi keputusan untuk berhenti belajar bisnes di atas kertas.
Alhamdulillah, kini saya dapati ada banyak cara untuk belajar bisnes dalam era teknologi hari ini.
Cabaran bisnes juga melangkaui perkara berkaitan wang, untung dan rugi. Ia meliputi kemahiran menyusun strategi dengan menggunakan prinsip-prinsip yang betul. Teknik serta cara pengurusan korporat yang patuh syariah adalah antara yang banyak saya pelajari.
Undang-undang ciptaan manusia serta terma-terma dalam kertas perjanjian tiak harus dijadikan penghalang kepada proses pembangunan dalam bisnes. Ia seharusnya menjadi pendorong kepada pembanguan yang lebih jauh.
Sempat bercakap dengan seorang usahawan berpengalaman dan profesional, berkongsi tentang bagaimana syarikat bisnes besar seperti Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan Chee Yioun berjaya membina empayar bisnesnya melalui formula bisnes yang dicipta.
Ya. Bisnes itu bukan semata-mata di atas kertas. Ia memerlukan falsafah jelas yang dianuti serta strategi bisnes yang disusun. Tidak dilakukan berseorangan.
Mentor, Coach dan Konsultan memainkan peranan yang berbeza. Pemilihan yang betul membantu orang bisnes berkembang.
Taktik bisnes orang lain usah ditiru membuta-tuli. Kita tidak tahu apa falsafah dan strateginya. Yang rugi itu, yang meniru buta-buta. Lain industri lain formulanya. Sistem kelihatan sama. Tetapi, ramuan utama setiap bisnes adalah berbeza.
Jadi, usah takut jika ada yang meniru. Usah bimbang tentang bagaimana mahu bersaing. Yang pasti, kita berlumba dalam trek sendiri.
Selebihnya, ia terjadi dengan bantuan dari langit!
Astaghfirullah.