Semasa saya berada di sekolah rendah, saya terpilih untuk bermain bola jaring untuk sekolah. Ya, saya cukup bagus dalam permainan dan dipilih menjadi pemain simpanan.
Pada peringkat awal, saya hairan. Mengapakah saya tidak dipilih untuk jadi pemain tetap pada mana-mana posisi?
Pada tempoh latihan bermain, saya banyak diberikan tugas tambahan. Ini termasuklah memastikan bola ada, semua orang berkumpul, sesi memanaskan badan berjalan dan seumpamanya.
Pada kebanyakan masa saya akan diminta bermain dalam semua posisi. Antara bahagian pertahanan dan bahagian serangan, bahagian pertahanan sering diberikan kepada saya.
Waktu itu, saya tidak banyak bertanya. Namun, saya masih terfikir hingga ke hari ini. Apakah yang membuatkan jurulatih pada masa itu meletakkan saya dalam kedudukan sedemikian?
Semasa latihan, apabila jurulatih tidak berpuas hati dengan mana-mana babak latihan permainan, beliau akan memasukkan saya dalam permainan.
Saya lihat, beliau biasanya akan memasukkan saya pada bahagian yang beliau tidak puas hati akan pencapaiannya. Kemudian, beliau akan minta pemain tetap itu, tiru macam saya.
Saya masih ingat lagi betapa penat dan adakalanya bosan, apabila menjadi pemain simpanan.
Saya tidak dapat melakukan satu-satu perkara yang saya suka, tetapi saya perlu lakukan semuanya. Saya tidak dapat menunjukkan kebolehan yang membolehkan saya menjadi ‘jaguh’ dalam mana-mana permainan.
Tetapi, saya masih terus bersama kumpulan pemain dan terus bermain meskipun dalam situasi yang sebenarnya saya sendiri tidak faham.
Saya ikut sahaja apa yang jurulatih saya arahkan. Meskipun saya tidak menjadi pemain kebangsaan dan terkenal dalam sukan bola jaring, saya belajar banyak perkara:
[1] Apabila asyik memikirkan kenapa, saya lupa meraikan kejayaan dan sumbangan saya.
[2] Saya diajar banyak posisi bermain. Mempercayai apa yang jurulatih arahkan merupakan asas kepada pembelajaran. Tetapi, apa gunanya seandainya saya masih ragu dan tidak yakin?
[3] Saya lupa untuk berbincang dan bercakap-cakap dengan pemain lain, malah dengan jurulatih saya itu. Mungkin, saya boleh mencapai sesuatu, sekiranya saya berkongsi tentang apa yang saya fikir dan mahu tahu.
Jadi, mengapakah saya menceritakan semua ini?
Ini adalah atas dasar yang sama, kita semua melakukan banyak perkara dan berubah-ubah dalam satu tempoh yang singkat dalam satu organisasi.
Kita sudah faham akan apa yang kita percaya dalam menjalankan bisnes . Kita belajar dengan praktikal dan mempunyai ketua yang baik dalam tim.
Sekarang, kita perlu sama-sama menggerakkan bisnes yang kita ada untuk melalui fasa survival bisnes dan juga situasi gawat yang dijangkakan berlanjutan hingga 2017.
Jadi, kita teruskanlah dengan kerjasama dalam kumpulan. Perbincangan, lontaran idea, pertukaran serta perkongsian tugas dan kerja bakal menjadi sebahagian daripada rutin kita.
Kongsikan apa yang baik dan cara mengubahnya menjadi lebih baik. SOP dan sistem yang ada, kita gunakan. Baiki mana yang perlu. Tambah mana yang belum ada.
Kita jadikan perubahan mengikut keperluan ini, sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Ia sentiasa memberikan kita cabaran baru, gaya baru.
Saya yakin, sebagai orang bisnes, kita akan berjaya melepasi banyak lagi fasa bisnes bersama sehingga mencapai tujuan dan sasaran bisnes kita.
Selamat menempuh tahun 2015!