Ramai yang mengakui bahawa bekerja dalam kumpulan memerlukan banyak kemahiran. Antara kemahiran yang penting ialah kebolehan bergaul dengan baik.
Bergaul dengan baik pula memerlukan kemaihan berkomunikasi. Cara komunikasi sering dilihat sebagai cara kita berbual-bual dan bercakap-cakap. Ini pula melibatkan bahasa dan kesan penampilan diri seseorang.
Saya pernah diberitahu oleh seorang rakan sekerja. Beliau merupakan seorang yang ceria dan suka meggembirakan orang lain. Suatu hari beliau berkata, “Puan, pekerja saya yang baru masuk itu, susah betul mahu faham!”
“Apa yang susah difahami?” tanya saya semula.
“ Pekerja baru ini. Apabila saya bercakap mukanya macam itu juga. Saya tanya faham. Faham katanya. Muka dia tidak ada emosi langsung!” sambungnya lagi.
Saya teringat juga beberapa orang rakan saya semasa bekerja dahulu. Mereka juga pernah bercerita perkara yang sama. Apabila kita bekerja dalam kumpulan, sudah tentu kita mempunyai ahli kumpulan yang mempunyai keunikan masing-masing.
Namun, sesekali kita akan bertemu dengan rakan sekerja yang kurang atau tidak langsung menunjukkan emosi. Adakalanya, mereka kelihatan serius sepanjang masa. Ada pula yang kelihatan gembira dan santai sepanjang masa.
Seorang rakan sekerja saya yang agak muda juga mempunyai ciri sebegitu. Beliau masih muda dan mempunyai banyak pengalaman menguruskan pasukan. Walaupun begitu, ada satu karakter beliau yang tidak semua orang boleh terima.
Beliau jarang menunjukkan sebarang emosi pada wajahnya. Pada kebanyakan masa beliau hanya kelihatan serius. Sesekali beliau ketawa apabila memang ada bahan jenaka yang melucukan.
Pernah saya lihat dalam satu meyuarat, beliau kelihatan sepeti tidak ambil endah akan topik perbincangan. Namun, apabila tiba giliran beliau memberikan input, semuanya bernas dan bagus sekali.
Rakan sekerja beliau juga memberikan komen yang sama. Ada masalah untuk bekerja dengan beliau atas alasan tidak faham yang menjadikan salah faham dan tidak puas hati antara satu sama lain.
Adakalanya, apabila berhadapan dengan individu dengan karakter sebegini, kita juga perlu mengenepikan kebiasaan. Kita juga perlu menyelaras semula jangkaan kita kepada individu berkenaan.
Untuk mengawal emosi sendiri dan berurusan dengan individu seperti ini, antara yang boleh dilakukan ialah:
[1] Fokus kepada hasil perbincangan.
[2] Penekanan lebih diberikan kepada partisipasi dan pergerakan tugas.
[3] Tidak mengambil hati akan sebarang reaksi muka dan gaya bahasa badan yang ditunjukkan.
[4] Berikan sepenuh kepercayaan atas kredibiliti dan kebolehan beliau melebihi daripada apa emosi yang beliau tunjukkan.
[5] Berikan sokongan dengan memuji hasil kerja yang memberikan kesan positif meskipun ia kelihatan ringkas dan kecil.
Dalam kehidupan seharian juga, adakalanya kita banyak menghabiskan masa memikirkan emosi dan cuba mendapatkan jawapan kepada ‘apa agaknya yang dia fikirkan’. Ini juga kita selalu sebut sebagai aktiviti ‘membaca fikiran’ orang lain.
Bekerja dalam kumpulan biasanya sering menyebabkan kita mengambil masa untuk ‘membaca fikiran’ orang. Belum dapat maklumat, kita sudah fikirkan macam-macam. Baru lihat rakan sekerja masuk dengan mata merah, kita sudah memikirkan segala macam kemungkinan tentang rakan kita itu.
Dalam organisasi kerja yang mementingkan hasil, fokus kepada pencapaian dan sasaran membolehkan kita menjaga emosi diri sendiri tanpa mengganggu prestasi kerja. Ini juga perlu diseimbangkan dengan keperluan manusia untuk bercerita, bercakap-cakap dan didengari akan percakapannya itu.
Kemahiran bercakap-cakap dan berbual-bual memboleh seseorang itu mengatasi situasi bekerja dengan mereka yang sukar menunjukkan emosi atau menunjukkan gaya bahasa badan yang bertentangan dengan apa yang mereka katakan.
Memenuhi keperluan emosi tidak seharusnya mengorbankan tujuan dan hasil kerja asal kita dalam organisasi.