Tarikh 31 Januari 2014, kelihatan anak-anak baru melangkah ke darjah satu mula menjejakkan kaki secara rasmi ke sekolah. Sesi suai kenal dan orientasi adalah antara program yang mesti dihadiri oleh murid yang pertama kali memasuki alam persekolahan.
Ibu bapa juga kelihatan sibuk. Saya yakin, ramai yang mengambil cuti khas untuk menguruskan perkara ini.
Saya masih ingat akan hari pertama persekolahan saya dahulu. Sekolah Kebangsaan Tanjong Bayan, Parit 21, Batu 13, Hutan Melintang. Darjah satu, hanya ada satu kelas. Seingat saya, muridnya sekitar 30 orang sahaja. Ayah menghantar saya pada hari pertama.
Memandangkan saya tidak pernah ke tadika, saya mempunyai kekurangan tertentu. Antaranya, saya tidak punya kawan yang sudah dikenali di dalam kelas. Antara yang paling mencabar ialah, saya hanya boleh faham tetapi tidak tahu bercakap dalam bahasa Melayu!
Namun, semenjak dari pagi, Cikgu di dalam kelas ada bercakap dalam bahasa yang saya faham, bahasa Jawa. Rupa-rupanya, ayah saya sudah memberitahu pihak sekolah tentang situasi saya.
Tanpa pengetahuan saya, Ayah rupanya menunggu sepanjang hari dan beliau mengintai saya di jendela. Maklumlah, pertama kali ke sekolah. Saya amat fokus untuk memahami apa yang cikgu ajar. Hanya Nampak ayah di jendela semasa waktu rehat.
Seingat saya, saya tidak pernah ada rasa takut atau mahu menangis semasa ke sekolah. Saya merupakan antara murid yang berkobar-kobar dan bersemangat tinggi untuk belajar, meskipun saya tidak punya kemahiran komunikasi yang baik.
Saya juga masih ingat situasi semasa rehat. Saya tidak tahu bercakap dalam basaha Melayu. Saya tidak tahu cara membeli makanan di kantin!
Maka, setiap kali membeli, saya dibantu oleh rakan saya. Yang saya ingat, setiap kali itu jugalah saya memberikan sekeping syiling 10 sen kepada rakan saya itu. Duit belanja saya? 30 sen sahaja.
Apabila saya mengimbau kembali kisah ini, saya menjadi bersyukur dan berterima kasih kepada semua orang. Pengalaman yang tidak ternilai inilah yang membolehkan saya ‘jadi orang’.
Apabila diimbau semula, saya kira saya diberikan banyak peluang oleh ibu bapa untuk mengutamakan ‘bermain’ sepanjang tempoh usia kanak-kanak. Alam kanak-kanak yang saya lalui tidaklah semewah mana. Seingat saya, buku cerita pun saya tidak ada.
Mainan?
Di kampung, dahulu kala, kami suka dapat bermain di laman dan kebun. Mengambil tanah di belakang rumah dan kami namakan ‘tanah liat’ . Kemusian, kami bermain membina pelbagai bentuk. Semasa kecil, saya banyak bermain dengan sepupu yang tinggal di rumah sebelah sahaja.
Kami bermain dengan lidi dan batu serta dedaun dari sekitar rumah untuk membina rumah permainan dengan anak patung. Anak patung kami ringkas sahaja. Ianya hasil saputangan Ayah yang kami lipat beberapa kali dengan bentuk anak patung. Kami bermain ‘Cikgu-cikgu’ di bawah rumah dengan bantuan ranting kayu dan tanah untuk menulis an melukis.
Apakah yang menyebabkan saya mengimbau kisah ini? Rupanya, ada beberapa perkara yang saya lihat telah menjadi sebahagian daripada kepercayaan yang dianut dalam diri saya:
[1] Kemahiran bersosial itu penting meskipun kita tidak mahir menggunakan bahasa tempatan.
[2] Seringkali bantuan tidak datang percuma. Ia ada harga.
[3] Bantuan orang sekeliling adalah mudah diperolehi dengan bantuan komunikasi oleh mereka yang lebih berpengalaman.
[4] Keyakinan diri mengatasi kekurangan diri yang jelas.
[5] Kemahiran baru boleh dipelajari dengan kesediaan mahu belajar.
[6] Mengetahui kelemahan diri membuatkan kita lebih banyak berfikir untuk mengatasinya dan membuat persediaan.
Kemahiran itu dipelajari.
Bakat itu yang ada secara semulajadi.
Hanya dengan keyakinan diri, bakat akan lebih terserlah meskipun dengan kekurangan kemahiran.