Orang kata, belajar itu sepanjang hayat. Belajar itu satu proses.
Pembelajaran yang bersifat formal biasanya sudah diperkenalkan seawal umur 4 tahun. Kepada ibu bapa yang memang bersedia, mereka sudah mula mencari tadika atau program pendidikan untuk anak-anak mereka seawal umur anak 3 tahun lagi.
Selepas tadika yang dihabiskan masanya sekitar 3 tahun (4-6 tahun), fasa pembelajaran sterusnya ialah di sekoleh rendah. Program pembelajaran formal yang mengambil masa 6 tahun lagi.
Kemudian barulah disambung dengan pembelajaran menengah untuk kemasukan anak-anak berumur 13 tahun ke tingkatan 1. Fasa ini pula akan mengambil sekurang-kurangnya 5 tahun lagi.
Setiap fasa pembelajaran formal ini mempunyai kos khusus. Kos pembelajaran secara langusung, kos bahan pembelajaran dan kos lain yang melibatkan peralatan tambahan adalah termasuk dalam perbelanjaan.
Sebahagian besar kandungan pembelajaran formal ini juga melibatkan kemahiran. Ada kemahiran yang khusus diajarkan melalui subjek dan ada kemahiran yang dipelajari melalui pengalaman pembelajaran itu sendiri. Ini memang betul-betul satu proses yang panjang. Hasilnya juga berbeza antara seorang individu dengan yang lain.
Peperiksaan?
Ia hanyalah antara salah satu cara menilai dan melihat sejauh mana sesuatu subjek dan kemahiran itu dikuasai.
Hasilnya?
Ia bergantung kepada setiap situasi. Seandainya hasil yang dimahukan ialah kelayakan untuk maju dalam bidang pendidikan yang seterusnya, ada petunjuk khusus serta nombor atau angka yang perlu dicapai.
Seandainya hasil yang dimahukan ialah kelayakan untuk menyelesaikan sesuatu tugas atau menggalas satu-satu tanggungjawab dalam organisasi, ia memerlukan lebih daripada hanya sekadar nombor dan angka sahaja.
Hakikatnya, ibu bapa mempunyai harapan yang tersediri apabila memilih insitusi pendidikan untuk anak-anak mereka. Apabila masuk alam sekolah menengah, mereka mula memberikan sedikit kelonggaran untuk anak-anak menyuarakan pilihan mereka sendiri berdasarkan bakat, minat dan kebolehan masing-masing.
Secara amnya, ibu bapa mahukan anak-anak ‘berjaya’.
Dengan ayat mudah, mempunyai kelulusan dan mampu menjana wang dan menyara diri sendiri dagar mereka dapat membina keluarga mereka sendiri.
Bekerja atau berbisnes?
Apabila mencapai tahap ini, ramai antara kita juga tidak mempunyai apa-apa penerapan khusus kepada anak-anak. Secara amnya, anak-anak dibentuk untuk membina cita-cita berdasarkan kerjaya.
Soalan yang biasa ditanya ialah, “Bila besar nanti mahu jadi apa? Doktor, Cikgu, Peguam atau apa?
Perubahan gaya pemikiran dan kematangan masyarakat sudah banyak ditunjukkan dengan cara bagaimana ibu bapa mula merancang pemikiran anak-anak. Hari ini, ia kelihatan berbeza.
Ibu bapa (dan guru) sudah mula banyak memerhati dan tidak memberikan idea jawapan kepada soalan yang mereka tanya.
Apakah yang diperhatikan?
Ibu bapa dan guru mula memerhatikan kecenderuangan anak masing-masing dalam konteks ‘intelligence’ dan kecenderungan minat anak mereka.
Ada anak yang dilihat sangat cenderung dengan seni. Ini termasuklah seni bahasa, pertuturan, penulisan, muzik dan banyak lagi. Ada juga anak yang cenderung dilihat dari segi kebolehan fizikal yang biasnaya dilihat dalam bentuk sukan.
Ada pula beberapa kecenderungan yang dilihat bermula dengan hobi seperti memasak, bercucuk tanam, membina koleksi simpanan dan pelbagai aktiviti yang kelihatan biasa-biasa.
Hari ini, kita melihat bagaimana ibu bapa mula berbelanja untuk membiayai banyak aktiviti lain yang tidak bersifat pendidikan formal berstruktur yang biasa.
Apa pun keputusan yang dibuat, pembelajaran bagi seorang individu banyak melibatkan:
[1] Budaya yang diterapkan oleh ibu bapa, keluarga dan masayarakat.
[2] Kesediaan orang dewasa memberikan peluang kepada anak-anak untuk menyingkap potensi diri.
[3] Pemahaman semua pihak tentang pembelajaran yang merupakan satu proses dan tidak hanya fokus kepada satu hasil tetap.
[4] Ruang untuk membina pemikiran anak-anak dengan kreativiti yang berasaskan penyelesaian mendapatkan banyak jawapan kepada satu soalan.
[5] Kos perbelanjaan tambahan.
Ibu bapa hari ini mula bercakap tentang ‘homeschool’, ‘unschooling’, ‘talent school’ dan banyak lagi idea baru dalam pendidikan anak-anak.
Apa pun pilihan ibu bapa, kita yakin semua mahukan satu hasil yang sama. ‘Kejayaan.’
Apakah pula definasi ‘kejayaan’ kita?