Saya masih ingat semasa saya kecil. Apabila ada orang tua yang marah anak kecil mereka suka menyebut, “Anak bertuah!” Adakalanya ibu saya sendiri apabila marah akan berkata,”Bagus betul kamu ya!”
Meskipun yang diucapkan itu kedengarannya baik, namun sebagai anak kecil, kita masih boleh faham bahawa mereka sedang memarahi kita.
Mengucapkan yang baik-baik sudah menjadi sebahagian daripada doa kita. Sama ada ianya diucapkan kepada orang lain atau kepad diri sendiri. Ada ramai yang berbincang tentang peri pentingnya doa dan perkara baik yang kita sebut kepada orang lain terutama anak-anak kita sendiri.
Hakikatnya, memahatkan dalam hati kata-kata yang baik buat diri sendiri itu adkalanya tidak diperkatakan. Kita setuju bahawa apa yang kita kerap fikir dan bayang mempunyai satu daya yang membolehkannya menjadi kenyataan.
Apa yang kita fikir dan bayangkan inilah yang biasa disebut sebagai ‘vision board’. Ramai yang me’visual’kan ‘vision board’ supaya ianya lebih jelas dan menguatkan daya percaya kepada diri.
Secara amnya, visual yang kita buat ialah dengan menampal ‘vison board’ kita di dalam bilik dan dilihat berkali-kali sebelum tidur dan sebaik sahaja bangun tidur.
Kita mahu agar apa yang kita lihat dengan jelas itu menjadi apa yang selalu kita cakap dan sebut pada diri sendiri.
Ada ramai juga yang tidak menzahirkan ‘vision board’ mereka, tetapai banyak memfokuskan kepada satu bentuk ‘senarai’. Senarai ini memuatkan semua perkara atau cakap-cakap kepada diri sendiri yang mahu dicapai.
Apa juga caranya, menyebut dan bercakap perkara yang baik kepada diri sendiri sering berbentuk ‘bercakap dalam hati’. Apabila kita sering bercakap kepada diri dengan ayat tertentu, ia sudah menjadi satu ‘kepercayaan’ dalam diri. Percaya ini mempunyai kuasa.
Contohnya, seorang ibu yang memandau ke tempat kerja di awal pagi menyebut dalam hatinya atau berkata kepada dirinya.
• Alah, anak-anak aku mesti boleh bergaul baik dengan kawan di sekolah
baru.
• Aku tahu, hari ini mesti ada perkara baik yang akan berlaku.
• Esok, aku akan siap basuh semua 5 bakul baju dan kemas rumah sekali!
Bayangkan apa yang boleh berlaku kepada ibu itu sepanjang hari?
Apabila ayat yang disebut itu berbentuk positif dan meyakinkan, hasil yang pertama ialah kestabilan emosi. Maka, fikiran juga menjadi lapang dan semua cabaran mendatang dilihat sebagai perkara biasa.
Sedar atau tidak, kita sering terperangkap dalam pemikiran kita sendiri. Apabila adanya kebimbangan dan kegusaran, kita memerangkap diri kita dalam sangkar ketakutan akan satu perkara yang tidak pasti.
Contohnya, apakah yang akan berlaku apabila seorang majikan sering menyebut ayat yang berikut?
o Kerja macam ini, kalau tinggal staf tak boleh harap.
o Pekerja baru zaman sekarang, gaji saja mahu minta yang besar, kerjaa belum tentu boleh buat!
o Kalau ambil staf baru, jangan beria-ia training dia. Tak sampai seminggu berhenti kerja juga.
Jelasnya, apa yang kita percaya, sebut dan cakapkan kepad diri kita kan menjadi sebahagian daripada kenyataan. Ia menjadi salah satu perkara yang kita percaya akan berlaku, meskipun belum berlaku dan tidak semestinya berlaku.
Perkara ini disebutkan sebagai ‘self fulfilling prophecy’ yang banyak dibincangkan dalam buku-buku motivasi karangan penulis tempatan atau luar negara.
Jelasnya, kita mesti mempunyai tabiat bercakap dan menyebut kepada orang lain dan diri sendiri akan perkara yang baik-baik. Meskipun kita maklum bahawa pengalaman menunjukkan adanya perkara buruk yang berlaku, kepercayaan diri kita mesti dikekalkan.
Kekuatan emosi dan ketajaman akal fikiran kita mesti dijaga. Ia mestilah kuat agar tidak terpengaruh dengan hanya satu atau beberapa pengalaman buruk. Pengalaman atau situasi yang buruk ini bersifat sementara dan tidak kekal. Ia mempunyai banyak jalan dan ruang serta peluang untuk menjadikan kita lebih cemerlang.
Pencapaian kita bermula dengan apa yang kita percaya!