Semasa saya mengajar di tadika bermula pada tahun 2000, saya belajar banyak perkara daripada anak-anak kecil. Mereka tidak pernah pun mengajar saya sebagai murid pada waktu itu. Namun hari ini, perjalanan hidup saya banyak mengingatkan tentang beberapa perkara yang saya pelajari daripada anak-anak.
Suasana di tadika dan alam pendidikan awal kanak-kanak jauh berbeza dengan suasana pembelajaran dalam kelas darjah 1. Ya, saya akui. Hingga ke hari ini, memang jauh perbezaannya.
Walaubagaimanapun, terdapat banyak perkembangan positif yang saya lihat berlaku dalam pembelajaran darjah 1 sekarang, berbanding daripada 5 tahun dahulu semasa anak saya yang sulung masuk ke alam sekolah rendah.
Baik.
Apa istimewanya anak-anak kecil?
Apa yang saya belajar dari mereka?
1. BERTANGGUNGJAWAB ATAS PERILAKU SENDIRI.
Saya sepahkan, saya kemas.
Selepas makan, letakkan semula pinggan dan gelas di tempatnya. Basuh tangan. Lap. Baru boleh main.
Semasa berada di dalam kelas bersama anak-anak sekecil 4 tahun, mereka sudah meletakkan kepercayaan kepada guru. Guru pula sentiasa mengingatkan agar kita mengikut aturan dalam kelas.
2. USAH MALU BERTANYA.
Tanya apabila tidak faham.
Salah bertanya pun tidak mengapa. Tiada soalan yang bodoh. Semua pandai.
Guru-guru yang mempunyai latihan yang cukup akan mendorong anak-anak untuk mengenali dan mengetahu banyak perkara baru.
Salah ditunjukkan.
3. MARAH, DITEGUR ITU PERKARA BIASA.
Kena marah? Buat salah? Menangis dan kemudian OK.
Hidup ini sangat indah untuk terus merana melayan perasaan. Meskipun ada anak-anak yang menangis dan bersedih untuk jangka masa yang panjang, mereka tidaklah berterusan begitu.
4. RAGU DAN BIMBANG ITU SATU PROSES PEMBELAJARAN.
Takut? Perkara biasa. Nanti hilanglah.
Bak kata pepatah orang tua, ‘Alah bisa, tegal biasa.”
Perasaan yang pelbagai inilah yang menjadikan anak-anak banyak bertanya. Mereka membina identiti dan karakter untuk menjadi orang dewasa yang lebih baik.
6. BERSOSIAL DAN BERGAUL DENGAN BAIK
Bergaduh dengan kawan, sekejap sahaja. Esok sudah OK.
Tiada dendam dalam hati.
7. BERMAIN ITU ADALAH KEHIDUPAN
Hidup ini seronok!
Pengalaman kita berbeza. Adakalanya, budaya kita itu juga yang membezakannya.
Perbezaan itu, kita raikan. Biar harmoni, hidup bahagia berpanjangan.
.