Mudahkan memuji.
Memuji itu memberikan perhatian.
Perhatian itu menunjukkan minat.
Menunjukkan minat bererti memberi penghargaan.
Dihargai itu, disayangi.
Anak-anak sukakan perhatian. Mereka mahu dipuji. Bagi mereka penghargaan itu begitu. Dipuji bermakna dihargai.
Walaubagaimanapun, pujian itu pula perlulah dihalakan kepada bahagian yang betul. Memuji itu ada caranya. Seperti yang banyak dikongsikan dalam kelas-kelas mendorong anak gaya nabi, kita diberikan beberapa panduan untuk memuji.
- Puji hasil daripada tingkahlaku atau kerjanya yang baik itu.
Hasil daripada kerajinan anak membantu di rumah, meringankan kerja ibu dan menggembirakan hati ibu.
Hasil daripada menyiapkan tugasan sekolah dengan teliti, guru akan mudah menyemak dan kita gembira dengan hasil kerja yang kemas.
- Pujian diberikan serta merta. Apabila kejadian itu berlaku, terus memuji. Usah tunggu hingga balik rumah atau sebelum tidur atau keesokan harinya.
- Pujian diberikan di hadapan orang penting bagi anak-anak. Sekiranya anak-anak itu dipuji dihadapan ibu, bapa atau ahli keluarganya, ia memberikan kesan yang lebih.
Adakalanya, kita dapati agak sukar mencari perkara baik yang memberi impak. Nampak seperti anak-anak kita belum mencapai apa-apa kemajuan.
Sekecil tingkah laku rajin menyusun kasut dan tersenyum apabila balik dari tadika, itu juga sudah memadai untuk dipuji. Ia adalah satu kejayaan kecil yang kita boleh raikan.
Puji senyumannya yang menggembirakan kita. Puji kerajinan yang menjadikan ruang susunan kasut kemas dan selesa mata memandang.
Antara yang lain, kita juga boleh meraikan kejayaan perubahan postifi yang anak-anak kita tunjukkan. Kecil bagi kita, besar bagi anak-anak.
.