Semasa sedang mengemaskan ruang simpanan buku-buku dan koleksi nota simpanan saya di rumah, anak-anak saya juga turut sama.
Mereka duduk sambil bertanya tentang setiap satu bahan yang saya susun dengan kemas.
Tiba-tiba, salah seorang anak saya bertanya. “Mak, kenapa beli semua buku ini? Bukannya dibaca setiap hari pun!”
Saya terdiam. Ya. Memang benar. Adakalanya ada buku yang dibeli, hanya dibaca sekali dan kemudiannya disimpan semula.
“Emmm…ada buku yang dibeli untuk bacaan. Kemudian, ianya disimpan untuk rujukan.” jawab saya.
Kemudian, satu hari semasa mengemas ruang belajar anak-anak, saya mengumpulkan beberapa kertas dan bahan yang saya lihat tidak lagi boleh digunakan.
Kemudian, anak saya datang dan berkata.
“Mak, kertas- kertas ini semua saya nak simpan untuk rujukan. Usah dibuang.”
Saya tersenyum. Ya, meskipun ada perkara yang dilihat tidak berguna dan tidak perlu pada pandangan kita, ia mungkin diperlukan dan membawa makna bagi orang lain.

Sama juga dengan cara kita menguruskan susunan bahan dan buku rujukan di ruang kita bekerja.
Apabila bekerja dalam kumpulan, ada perkara dan bahan yang mungkin tidak kita perlukan tetapi memberi manfaat dan menjadi keperluan kepada orang lain.
Kuncinya, cara penyusunan dan pengemaskinian yang berkala serta cara kita berkomunikasi antara satu sama lain.
Ini adalah pilihan kita.
Apa pula yang kita pilih hari ini?
.