Saya masih ingat semasa saya kecil. Saya paling benci apabila diminta makan ubat dalam bentuk pil. Sukarnya mahu ditelan, meskipun besar pil itu umpama sebiji kacang dal sahaja.
Saya masih ingat. Ibu saya menyediakan air manis yang sedap agar saya dapat menelan ubat itu. Ibu juga menyediakan buah buahan agar saya mahu makan pil itu. Buah pisang adalah antara yang biasa.
Pernah satu ketika, saya terpaksa membuang pil ubat akibat muntah apabila cuba menelannya.
Suatu hari saya terfikir. Sekiranya saya tidak makan pil itu, bagaimana saya mahu sihat cepat? Sekiranya saya tidak makan pil itu, saya akan jatuh sakit sekali lagi.
Saya mula memikirkan.
- Pil ini ubat.
- Ia memberikan kebaikan.
- Pahit, tetapi saya perlu untuk sihatkan badan.
- Baik. Makan saja pil ini, seperti saya tertelan gula-gula.
Lupakan pahit. Ingat yang manis.
Maka, saya mula menelan pil dengan menutup hidung.
Rupa-rupanya, tanpa mengambl kira dan melupakan tentang bau pil, saya dapat membuangkan persepsi ‘pahit’ ubat itu.
Apabila melihat kepada tugasan yang ada pada hari ini, termasuklah menyediakan laporan dan memantau penggunaan SOP, perlu juga tutupkan telinga. Usah ambil kira ‘kata-kata’ dan ‘komen’ yang tidak membawa manfaat.
Ya, buangkan persepsi ‘orang tidak suka’’, ‘susah’, ‘leceh’ dan ‘membuang masa’.
Buat. Sediakan. Kumpulkan input. Follow-up. Baiki. Ikut sahaja tatacara seperti yang dinasihatkan oleh pakar.
Ia leceh. Seperti ubat, yang datang dengan pelbagai bentuk dan cara makan.
Ia memenatkan. Seperti ubat juga, pahit.
Ia tidak seronok. Seperti ubat juga, tidak sedap.
Ia memerlukan komitmen. Seperti ubat, makan mesti mengikut waktu dan amaun atas nasihat doktor.
Yang pasti, manfaatnya membawakan kebaikan. Untuk melakukan sesuatu perkara baik yang kita tidak suka:
+ Dengar dan ikut kata pakar.
+ Wujudkan persepsi positif dengan menyenaraikan manfaatnya.
+ Fikir dan bayangkan hasil daripada manfaat itu
+ Buat dengan konsisten
.