Hidup ini penuh dengan pelbagai situasi. Ada yang kita sedia menerimanya, ada juga yang tidak pasti. Jangkaan kita, jauh sekali daripada kesempurnaan yang hakiki.
Ada masanya, kita menyangka, kita hanya boleh melakukan sesuatu dengan kecukupan tertentu. Selagi masih belum cukup, kita tidak akan melakukannya.
Saya masih ingat semasa saya berumur 6 tahun. Saya banyak menghabiskan masa di rumah. Mak saya bukanlah seorang tukang masak yang handal. Namun, tida pernah kami 5 beradik kelaparan atau ditinggalkan tanpa makanan.
Pernah suatu hari, saya beritahu kepada Mak.
“Mak, nak masak apa? Apa pun tak ada!” saya masih ingat dengan jelas ayat yang saya bebelkan kepada Mak.
Waktu itu, peti sejuk, adalah satu barang mewah. Kami tidak ada. Sudah tentulah maknanya, di rumah tiada stok ayam atau ikan dan sayuran. Di keliling rumah memang ada macam-macam tumbuhan, yang hampir 70% saya nampak seperti pokok hutan yang biasa.
Mak menjawab dengan ringkas, “Ada. Nanti kita cari.” Jawabnya ringkas sahaja sambil sibuk mengayuh kaki pada mesin jahit berwarna hitan dengan lukisan corak emas.
Saya duduk dan menunggu. Maklumlah, saya tidak dihantar ke tadika. Tugas saya, memang duduk di rumah bersama Mak. Sudah menjadi rutin, sekiranya tidak ke kebun, Mak akan menjahit.
Tepat jamnya, Mak berhenti mengayuh mesin jahitannya itu. Saya bergegas mengikut Mak turun. Rumah kayu pada waktu itu, tangganya tinggi. Ada pintu hadapan dan belakang. Pintu belakang, tangganya agak ringkas berbanding pintu hadapan.
Mak terus berjalan ke belakang rumah. Dijoloknya beberapa biji mangga muda.
“Mak, nak masak apa dengan mangga ni?” Mak senyum saja tanpa membalas. Saya akur dan mengutip mangga yang 3 biji itu. Saya masukkan ke dalam besen plastik sederhana besar yang saya kelek.
Kemudian Mak ambil pula sebiji kelapa. Wah, hebat betul! Mak kopek sabut kelapa dengan selamba. Kemudian, Mak belah kelapa kepada 2 bahagian dengan parang. Mak ambil isi kepala daripada tempurung dengan mudah. Saya masukkan juga ke dalam besen.
Saya masih ingat. Waktu itu, memarut kelapa hanya menggunakan sekeping besi zink yang tajam, menjadi satu kepakaran yang menakjubkan. Mak melakukannya dengan selamba juga.
Kemudian, Mak masuk kedalam parit yang agak lembap. Ada barisan keladi sedang tumbuh menghijau. Mak cungkil beberapa rumpun keladi yang masih kecil buahnya.
“Mak nak masak keladi?” tanya saya. Mak diam saja. Penat agaknya mahu menjawab saya yang banyak soal. Saya kutip batang keladi yang Mak sudah bersihkan ke dalam besen yang sama.
Mak berhenti di tepi sebatang pokok cili yang renek, tetapi berbuah lebat. Segenggam cili api dipetiknya. Saya hanya menyua besen untuk Mak masukkan cili ke dalamnya.
Tengahari itu, kami makan nasi dengan sayur asam batang keladi, dan ikan masin (cencaru) masak lemak cili (yang ada mangga muda di dalamnya).
Mak dengan tenang berkata, “Perempuan yang pandai masak, ialah mereka yang boleh menyediakan hidangan dengan apa yang ada.”
Hingga kini, saya masih ingat akan kata-kata Mak saya. Apabila kita ini menjadi seorang pakar (pandai) dalam sesuatu perkara, kita boleh mencapai objektif kita dengan apa yang ada.
Dalam situasi Mak saya, objektifnya jelas. Menastikan anak-anak dan keluarga ada hidangan makan tengahari. Menunya, cara hidangannya, cara penyediaannya, bahannya, hiasannya bukan menjadi keutamaan.
Menguruskan apa yang sedang kita lakukan juga sama. Sama ada bisnes atau pengurusan projek, ia mempunyai parallelism.
Status, cara penyediaan dan presentasi itu banyak bergantung kepada keperluan. Pada masa kita memerlukan hasilnya sebagai keutamaan dalam situasi dengan sumber yang terhad, itu semua menjadi nombor dua.
Saya kira, ayat Mak, saya mahu tukarkan begini:
“Orang yang pandai berbisnes, ialah mereka yang boleh menjana pendapatan (wang) dengan apa yang ada.”
1 thought on “KISAH PEREMPUAN YANG TIDAK PANDAI MASAK”
Artikel yang ringkas & menarik !
** Apabila kita ini menjadi seorang pakar (pandai) dalam sesuatu perkara, kita boleh mencapai objektif kita dengan apa yang ada.
Dalam situasi Mak saya, objektifnya jelas. Menastikan anak-anak dan keluarga ada hidangan makan tengahari. Menunya, cara hidangannya, cara penyediaannya, bahannya, hiasannya bukan menjadi keutamaan.
Menguruskan apa yang sedang kita lakukan juga sama. Sama ada bisnes atau pengurusan projek, ia mempunyai parallelism **
Tidak ramai yang ada kemahiran untuk memanfaatkan ‘apa yang ada’. Tapi bila ada objektif yang jelas inshaWllah kemahiran boleh dibina 🙂
Terima kasih .