Sabtu, adalah antara hari yang sering memberikan banyak ruang bicara. Bicara bersama anak-anak. Tidak perlu banyak. Biar ianya terus terpasak.
Anak sulung saya yang saya ceritakan tempoh hari, masih lagi terus fikir dan memikir. Semalam, semasa berbual-bual, saya mula berkata.
“Kita ini orang bersekolah. Apabila bercakap mesti ada adab. Berbudaya. Di rumah, biar saling hormat-menghormati antara abang dan kakak. Dalam keluarga, biar mesra dan hormat.”
Anak-anak diam. Si kecil yang berumur 6 dan 4 tahun masih sibuk dengan buku cerita dan mewarna gambar.
Saya menyambung.
“Biarlah bersusah-susah di dunia. Rumah kecil, sempit, makan apa yang ada. Tempat untuk kita rehat, dan kaya kelak, ada di syurga.”
Anak-anak senyum.
Saya sambung. “ Boleh tanya Ustazah di sekolah.”
Saya tahu. Anak-anak saya pada kebanyakan masa, ‘lebih percaya’ dan ‘lebih dengar’ kata Ustazah.
Tiba-tiba, anak yang sulung saya berkata.
“Betul-betul. Hidup ini macam ‘game’?”
“Game?” saya spontan menyahut.
“Ya. Macam ‘game’ tu. Ada halangan, lepas tu selesaikan, sampai kita dapat apa yang kita mahu. Macam yang Abang Ilyas main.” Sambungnya lagi.
Wah, ini ‘teachable moment’!, kata saya dalam hati.
“Hidup ini sebenarnya satu perjuangan. Kita berjuang untuk membuat kebaikan. Kebaikan yang membawa kita ke syurga.”
Saya berhenti sebentar.
“Ohhhh…”, panjang pula sahutan anak saya yang sulung itu. Yang lain senyum-senyum saja. Saya tahu, mereka akan faham nanti.
Saya tidak mahu bercakap dan mengulas panjang tentang ‘game’ yang disebutkan. Bagi saya, biarlah mereka fokus dengan ayat yang saya sampaikan, “hidup ini satu perjuangan”.
Namun, secara peribadi, apabila anak-anak sudah didedahkan dengan ‘kosa kata’ yang betul, mereka akan ‘menjinjing’nya sepanjang perjalanan. Apabila tiba waktunya, mereka akan mula memasukkan ke dalam kotak simpanan dan menggunakan apa yang dijinjing itu satu persatu.
Ya. Adakalanya, agak keterlaluan untuk bercakap dengan anak-anak bawah umur 12 tahun tentang ‘hidup ini adalah perjuangan’.
Persoalan bagi diri saya sendiri : Apakah yang anak-anak ini boleh ‘perjuangkan’ seawal usia 8 tahun?
Saya masih melalui dan meniti hari-hari yang memberi pengajaran dan erti.
Allah sahaja yang lebih mengetahui.
.