Pagi itu, temujanji saya dengan Puan Hasni, Pegawai Pengurusan Operasi yang baru sahaja ditukarkan ke bahagian Pemasaran. Beliau masuk ke pejabat agak lewat akhir-akhir ini. Situasi ini sudah berlanjutan hingga dua minggu.
Puan Hasni sedang mengandungkan anak ketiga. Kelihatan agak penat, pucat dan kurang bermaya. Ketua syarikat bahagian beliau bertugas, memberikan aduan tentang prestasi kerja dan tugasan yang lewat disiapkan.
“Puan sihat?”
“Baik. Cuma itulah….kali ini, saya agak lemah. Saya memang begitu dalam tempoh mengandung. Bulan Ramadhan ini, saya perlu tidur lebih. Itu sebabnya saya masuk lewat.”
“Begini, puan. Apakah kesihatan puan masih boleh membenarkan Puan bekerja seperti biasa?”
“Insyaallah, boleh. Cuma itulah, saya perlukan lebih rehat. Jadi, biasanya saya masuk sekitar jan 11 pagi hingga 4 petang.”
“Ok, saya ambil nota. Bagaimana dengan tugasan operasi syarikat? Sudahkah penyerahan tugas dibuat?”
“Itulah, belum lagi…”
“Memandangkan Puan perlu mengetuai bahagian pemasaran,penyerahan tugas operasi mesti dipercepatkan. Ini boleh mengurangkan komitmen Puan dalam tempoh sukar orang mengandung. Baik, bila Puan boleh selesaikan. Apa tarikhnya?”
“Betul, Puan. Kalau macam itu, minggu depan, Isnin saya selesaikan penyerahan tugas.”
“Baik. Puan kongsikan dengan bahagian HR maklumat bidang tugasnya. Hantar sahaja ke emal bahagian HR.”
“Satu lagi, Puan. Saya mahu mohon cuti tanpa gaji sebulan, bolehkah? Saya ada perkara yang mesti diselesaikan.”
“Boleh, asalkan 2 perkara ini selesai.”
“Apa dia Puan?”
“Pertama, bahagian pengurusan atas luluskan permohonan cuti Puan. Kedua, penyerahan tugas operasi kepada pegawai ganti diselesaikan.”
NOTA:
Apabila bercakap dengan individu dari bahagian pengurusan, fokus kepada objektif penyelesaian secara ringkas.
+ tidak perlu menyiasat dengan bertanya; kenapa, apa sebab,
+ tidak perlu komen atau membandingkan situasi diri sendiri atau orang lain dengan individu yang dibawa bercakap
+ tidak perlu ‘mencece’, membebel
Fokus terus kepada:
+ Bertanya untuk mengambilberat tentang situasi individu berkenaan.
+ memberikan saranan atau jalan ‘apa yang mesti dilakukan’
+ terangkan manfaat
+ berikan ‘tarikh akhir’
+ nyatakan sisi maklumbalas positif dengan perkataan seperti; Baik. OK. Boleh. Tiada masalah.