Memulakan bisnes, menjalankan, menguruskan dan mengembangkannya merupakan satu perkara yang biasa diceritakan kepada kita.
Ada yang berkongsi kesukaran sebelum kejayaan dan ada yang bercakap sekitar perkara-perkara yang berbentuk ‘unfair advantage’ dari pengalaman masing-masing.
Begitulah. Orang bisnes ini ada banyak cerita juga. Sama seperti orang lain. Mereka juga manusia. Maka, apa-apa saja sifat manusia itu, akan kekal ada pada mereka.
Gosip juga satu bentuk cerita. Cerita yang biasanya belum tentu betul dan selalunya ada kena-mengena dengan orang yang kita tahu. Tahu, tidak semestinya kenal. Itu gosip.
Sifat manusia yang perlukan kawan, saling mahu bercerita kisah masing-masing, mahu gembira bersama rakan merupakan perkara biasa yang juga da pada orang bisnes. Benar. Hakikatnya, kita ini manusia yang tidak lari daripada sifat semulajadi manusia.
Malah, bukan sahaja orang bisnes. Surirumah, suami, isteri, pekerja syarikat kecil, guru, kerani, pengurus syarikat korporat dan siapa sahaja yang bernama manusia suka bercerita, mahu orang mendengar kisah dan situasinya serta mahu gembira dalam hidup.
Seorang Cikgu Bisnes yang jarang-jarang saya temui pernah bercerita. Katanya, dalam bisnes ada macam-macam orang. Ya, bisnes sudah tentu kerana wang. Mahu buat lebih banyak wang. Kemudian, ada satu lagi tujuan. Iaitu mahu tolong menyelesaikan masalah orang.
Saya masih teringat akan kata-katanya. Pengelaman beliau menjalankan bisnes, sudah menemukan beliau dengan banyak perkara. Katanya, “Saya bermula dengan produk yang saya ada. Oleh kerana waktu itu, produk saya adalah kemahiran yang saya ada, maka saya mulakan bisnes servis dengan kemahiran saya itu.”
Wah, saya makin teruja!
Bukankah itu falsafah yang sama yang saya sedang pelajari sekarang dalam dunis bisnes? Tentu ada banyak lagi yang akan dikongsikan.
Maka, saya pun meluangkan lebih banyak masa. Rancangnya, hanya mahu berbual barang dua puluh minit. Ia bertukar menjadi dua jam.
Benarlah juga apa yang disangka. Bisnes ini tidak mengenal usia. Cabarannya datang dari segenap rasa. Yang tua, dugaannya berbeza. Yang muda, dugaannya tidak kurang hebatnya.
“Saya tengok, kalau orang itu baru bermula, kemudian semakin berkembang, yang dapat membenamkan kaki otaknya kepada tunjang tujuan, akan kekal berjaya dalam bisnes.”
Waktu itu, saya mula berkerut. Cuba memahamkan apa yang mahu diceritakannya.
“Orang bisnes ini memang mahu buat duit. Tapi, dalam pada itu memang semua akan ada satu niat dan tujuan lain. Yang ini, kita kira, macam ‘perjuangan’ dialah.
Macam saya, memang saya buka syarikat ini, nak buat duit. Tapi, pada masa yang sama, saya nak bagi peluang pada orang lain yang baru nak berbisnes ni, berurusan dengan menerima servis professional dengan caj minima.
Kalau syarikat besar juta-juta tu, tidaklah. Saya memang caj yang standard saja.”
Saya angguk-angguk. Memandangkan Cikgu Bisnes ini adalah orang yang jauh lebih berpengalaman dan seorang lelaki, saya sudah membiasakan diri dengan gaya dan cara percakapannya.
Yang penting, setiap ayat yang kedengaran seperti rock dan ‘serak-serak basah’ itu ada intipatinya.
“Cuma awak ingat. Masa mula-mula awak datang, saya ajarkan semua, kan? Mudah saja, tak tahu tanya. Dalam telefon pun saya terangkan.”
“Ya, betul.” Kata saya perlahan sambil terus mengangguk-anggukkan kepala.
“Saya dah agak dah keputusan yang awak buat. Saya tengok laporan akaun pun saya tahu. Cuma, saya tak mahu beri nasihat yang orang tak minta.
Tapi, saya pernah cerita pada awakkan? Cerita tentang akaun inilah! Sampai boleh bergaduh berputus hubungan. Dengan kawan baik sekalipun boleh bergaduh.”
“Er…saya tak ingatlah. Tuan ceritakanlah.” Kata saya sungguh-sungguh.
Ya, saya memang lupa. Ada banyak cerita rupanya yang telah dikongsikan oleh Cikgu Bisnes ini, yang saya tidak ‘rekod’ dalam kotak memori dengan betul.
“Ha…ingat tidak saya pernah ada kedai kek?”
“Ha, yang itu saya ingat!”
“Sekarang kan dah tutup? Saya buat keputusan suruh tutup bisnes tu dengan sahabat saya. Itu Encik Abu itulah. Dari awal lagi saya sudah beritahu. Tapi, dia degil!”
Wajah rakan saya itu kelihatan serius. Tetapi, tiada pula riak wajah kecewa, malah senyumnya kelihatan seolah disembunyikan.
“Sebenarnya, kedai kek itu, saya dan Encik Abu, itu yang tadi itu. Itulah dia.” katanya sambil merujuk kepada seorang lelaki yang sedikit gempal yang baru saja lewat diruang kami duduk waktu itu.
Ya, seingat saya Cikgu Bisnes saya ini memang ada menceritakan tentang rakan kongsinya. Ada 3 orang, tetapi beliau dan Encik Abu itu saja yang bekerja sepenuh masa di pejabat.
“Selepas setahun buka kedai kek, saya tengok akaun pun dah lain macam. Saya tengok ‘operator’ tu yang tak boleh ‘handle’ pengurusan bisnes tu. Kami berdua, memang tak boleh jaga kedai. Kerja sedia ada pun banyak.
Memang masa buka bisnes ni, modelnya, orang yang jagakan. Jadi, saya pun cakap pada Encik Abu. Kita tutuplah. Rugi dah banyak ni. Tapi, dia degil. Tau apa dia kata?”
“Apa dia?” tanya saya semula.
“Katanya, dia kesian dengan kawan dia yang jalankan kedai tu!
Jadi saya kata, yang saya tak akan masuk campur hal pengurusan bisnes itu lagi. Selepas 6 bulan, barulah Emcik Abu bersetuju tutup kedai. Semua stok dan barang yang ada, operator itu ambil. Kedai tutup!”
“Oh….!” Saya sedikit keliru.
“Saya bukan apa, masa itu saya memang nak marah. Tahu berapa jumlah kerugian 6 bulan itu? RM60K!”
“Banyaknya…!” saya melopong mendengarnya.
“Yalah, jika tutup awal, kami dapat balik duit kami RM40K. Tapi, saya cakap pada Encik Abu. Nilai persahabatan kita LEBIH MAHAL daripada RM60K yang kita hilang. Sudah, kita lupakan saja. Kita teruskan bisnes sedia ada. Sampai masa kita buat bisnes lain.”
Saya masih angguk-angguk. Cikgu Bisnes saya ini menekankan ayat yang kekal dalam ingatan saya.
“Nilai persahabatan kita LEBIH MAHAL daripada RM60K yang kita hilang. Sudah, kita lupakan saja. Kita teruskan bisnes sedia ada. Sampai masa kita buat bisnes lain.”
Tidak sempat saya mahu bertanya, dia mengambung lagi.
“Awak jangan risau. Yang sudah itu sudah. Yang berlalu biarkan. Buat dan teruskan dengan bisnes lain.
Kadang-kadang, kita belum jumpa ‘produk’ yang betul-betul sesuai untuk kita ‘bisnes’kan.”
“Tapi, saya tetap sedih. Masih ada kecewa dan ralat dalam hati. Kawan yang berbisnes, yang sudah lama kenal, lebih percaya kepada kata-kata peguam yang baru dia kenal.”
Saya tidak dapat menahan apa yang saya simpan dalam kepala. Terpacul saya ayat itu dengan pantas.
“Tak apa.” Katanya sambil senyum.
“Tetapi, Ok juga. Sekurang-kurangnya, tujuan saya untuk tidak mahu berhutang tercapai.
Tapi hutang masih ada. Liabiliti dengan bank masih ada. Agaknya, rakan saya itu ingat, saya kaya-raya selepas jual bisnes saya itu.” saya menyambung.
Saya tahu. Ramai yang tidak faham bahawa bisnes bukan sekadar revenue. Expenses bukan sekadar cost of sales. Meskipun saya masih sedih saya terus berusaha memujuk diri sendiri.
“Oh, itu saya tahu! Kan awak dah cakap banyak kali. Masa jumpa saya sebelum buat keputusan mahu jual bisnes pun awak dah cakap.”
Sekali lagi saya angguk-angguk.
“Itulah. Macam-macam dalam bisnes. Kita boleh tengok. Yang bermula dengan kecil, bila dah membesar, kalau lari daripada trek perjuangan dia, memang susah. Kena ingat balik.
Bisnes memang buat duit. Jika asyik besarkan rumah, besarkan kereta, perbelanjan ahli keluarga juga ditanggung syarikat, kita boleh agak.”
Cikgu Bisnes saya itu berkata perlahan dan jelas gaya wajahnya menunjukkan riak kecewa.
“Teruskanlah. Allah akan bukakan rezeki lain.
Ada seorang klien saya dulu. Berhutang dengan saya lepas bisnes tak jalan. Banyak juga. Tak pernah telefon, tak pernah cakap apa-apa. Lepas lima tahun, dia datang balik.
‘Hah…Man. Aku hutang engkau dulu ingat tak?’
Selamba saja klien saya tu datang. Terus bayar semua hutang lama sekali dengan caj servis yang tertunggak sepanjang 5 tahun itu.
Macam itu pun ada.”
Sambungnya dengan senyuman sambil menggeleng-gelengkan kepala. Jauh dalam hati, saya kira Guru Bisnes saya ini, tahu yang saya juga tidak mampu membayar yuran perkhidmatannya. Tetapi, mahu mengingatkan saja, untuk melunaskannya apabila saya mampu.
Saya senyum saja. Saya senyum sebab dia pun asyik senyum-senyum.
Guru Bisnes saya mahu menyambung cerita. Tetapi belum sempat bab seterusnya dibuka, saya terpaksa meminta diri.
Maklumlah. Saya belum boleh selesa sangat seperti Guru Bisnes ini.
Namun, saya juga masih ada perjuangan yang belum selesai.
Perjuangan ini, bukan tugas seorang diri.
Ia tugas berkumpulan. Jalan, gerak dan usahanya dalam satu kumpulan. Kumpulan besar yang saya sendiri tidak pernah kendalikan sebelum ini.
Petang ini, saya melabuhkan tirai pemikiran dengan satu azam baru.
“Nilai persahabatan kita LEBIH MAHAL daripada duit yang kita sudah rugi. Kita teruskan bisnes sedia ada. Sampai masa kita buat kembangkan lagi bisnes.”
Noraminah Omar
2.14 petang
Oktober
Shah Alam.