Wah, kisah orang bisnes ini untuk satu spesies manusia sajakah?
Ya dan tidak!
Ya, kerana ianya memang ditulis dan dicatatkan untuk mereka yang sedia dengan mind set orang bisnes.
Tidak, kerana semua orang memang dalam kerangka bisnesnya sendiri.
Hatta, seorang ibu, bisnesnya ialah menjadi CEO kepada sebuah syarikat pengurusan anak-anak. (ambil maklum akan beratnya tugas seorang Ibu).
Maka, risiko ada di mana-mana dan datang kepada semua orang.
Bayi dalam kandungan ibunya juga punya risiko.
Malah, berkahwin juga ada risikonya.
Hidup sebagai seorang yang bekerja dalam sebuah keluarga , ada risikonya.
Maka, dalam situasi ini, ia bergantung kepada bagaimana orang itu melihat dan menilai risiko.
Kebanyakannya, menilai risiko dengan melihat hasil atau ouputnya. Kata mereka, ‘high risk, high return’. Hakikatnya, ia tidak begitu.
Risiko diambil berdasarkan kemampuan setiap individu atau entiti itu mengurusnya.Cara dan mekanismenya berbeza antara satu dengan yang lain. Sukar untuk kita mendapat satu formula khusus untuk mengurus risiko melainkan satu panduan am sahaja.
Lalu, apa kisahnya orang bisnes dengan risiko?
Mari kita lihat. Seorang pengusaha bisnes tadika mengambil risiko apabila beliau setuju mengambil gaji sebanyak RM3000 sebulan.
Antaranya termasuklah, keperluan membayar cukai, adanya orang akan meminta diskaun dan meminjam wang, adanya bank menawarkan pinjaman-pinjaman yang menarik walaupun tidak diperlukan dan seumpamanya.
Semua ini risiko. Ada juga satu kategori risiko yang melibatkan nama baik, gaya hidup dan melibatkan situasi yang lebih berbentuk peribadi.
Seorang pengusaha butik pakaian mengambil risiko apabila dia menjadi duta dan model produknya sendiri.
Antaranya termasuklah, keperluan menjaga diri (personal care) yang lebih daripada keperluan biasa, adanya rasa tidak puas hati dikalangan keluarga atau antara pasangan, timbulnya pihak-pihak yang mengambil kesempatan atas gambar yang disebarkan, adanya pihak yang akan mengambil kesempatan atas nama yang popular dan seumpamanya.
Ya, semua ini merupakan risiko. Risiko hadir dengan tindakan atau keputusan yang diambil. Malah, setiap tindakan dan keputusan itu, sentiasa ada yang kita panggil ‘the ugly side of the story’.
Pun begitu, tidaklah bernama manusia jika tidak membuat keputusan dan mengambil risikonya sekali. Keputusan, tindakan dan risiko ini 3 serangkai. Sahabat yang akrab, tetapi tidak semestinya hadir dalam majlis yang sama, pada setiap masa, pada masa yang sama.
Juga, tiga serangkai ini adakalanya menjadi ‘pahlawan’ dan adakalanya menjadi ‘musuh’ yang perlu dibunuh. Hadir dalam medan perang. Tidak kira perang besar atau kecil, harian atau sekali sekala, berulang atau tidak.
Ia akan ada, sama ada kita mahu atau tidak. Sama ada sahabat 3 serangkai ini menjadi musuh atau pahlawan, manusia dengan akal kurniaan , kejadian terbaik inilah yang menentukannya sendiri.
Sesungguhnya, keputusan, tindakan dan risiko, sentiasa ada cara yang baik untuk menguruskannya.
Letakkan pada posisi yang betul, dalam medan yang tepat, maka ia akan menjadi satu kekuatan dengan hasil dan impak yang baik. Begitulah sebaliknya.
Lantas, membuat keputusan, tindakan dan mengambil risiko yang salah, merupakan satu perkara yang boleh berlaku. Masih boleh dielakkan.
Benarlah. Hanya jauhari yang mengenal manikam.
Hanya yang bijak yang akan membuat keputusan, mengambil tindakan dengan risiko yang boleh diuruskan dengan apa yang ada ditangan.
Noraminah Omar
Oktober
Kajang.