KISAH ORANG BISNES : WAKTU UNTUK MENILAI
Apabila berada dalam waktu sukar dan sulit, ramai yang menganggap bahawa itulah waktu yang terbaik melihat siapa rakan dan siapa musuh. Pada masa yang sama, ramai juga yang melihatnya sebagai ‘hukuman’ dari Tuhan.
Tidak ketinggalan, sering saya diberitahu agar mengambil waktu sukar dan susah itu sebagai satu titik tolak, membuat perubahan. Perubahan kepada perkara yang baru dan lebih baik daripada yang sebelumnya.
Waktu sukar dan sulit ini subjektif sifatnya. Namun, pada kebanyakan masa, ia menjadi satu perkara yang agak umum dan lebih kurang sahaja.
Mudahnya, apabila tidak cukup wang itulah yang dimaksudkan dengan sukar.
Apabila dibuang dari sesuatu pekerjaan atau jawatan itulah waktu sukar.
Apabila gaji dipotong atau lewat dibayar itulah kesukaran.
Apabila tiada yang menjaga anak untuk kita pergi bekerja itulah waktu sukar.
Apabila tidak cukup wang belanja itulah satu kesukaran.
Senario kekacauan ekonomi dan keadaan yang berkait rapat dengannya, menjadi bualan. Bagi orang bisnes, segala-galanya ada kos yang mesti ditanggung. Maka, penjanaan pendapatan syarikat merupakan satu kemestian untuk dioptimakan daripada sumber yang ada.
Barangkali ada yang tidak sedar. Mahu atau tidak, pelanggan juga mengalami situasi yang sama. Cuma, keadaan yang masih terkawal kini, merupakan keadaan yang membolehkan semua jenis bisnes terus bergerak, meskipun ada yang sudah pincang.
Kepincangan ini pula bergantung kepada jenis dan saiz pasaran bisnes yang diusahakan. Tidak pula manis sekiranya dibanding perniagaan sebuah gerai dengan restoran makanan berjenama luar negara.
Bisnes model dan segmen pelanggan yang berbeza, tidak membolehkan kita pukul rata sahaja. Objektif bisnes mereka juga berbeza-beza meskipun menjana pendapatan dan ‘buat duit’ adalah yang utama.
Buat sementara ini, sukar dan sulit bagi seorang pekerja di sebuah syarikat korporat tidak sama dengan sukar dan sulitnya seorang penjual buah potong.
Sukarnya seorang pegawai sumber manusia (HR) disebuah syarikat yang mempunyai hampir 30 buah anak syarikat aktif, tidak sama dengan kesukaran dan kesulitan seorang Pegawai Pemasaran di sebuah syarikat perkhidmatan memcuci bangunan.
Ya, sudah tentu masing-masing punya kesukaran dan kesulitan yang mengkhusus dalam bidang. Pun begitu, satu perkara yang sama, dan tetap kelak akan begitu, hampir tidak akan berubah, ialah situasi “memastikan wang yang masuk ke dalam syarikat cukup seperti yang disasarkan”.
Ia bukan lagi tentang KPI jabatan, anak syarikat ataupun individu. Ia lebih kepada memberikan keutamaan dan fokus kepada keperluan syarikat secara keseluruhan.
Maka itu kita lihat ada syarikat yang membuat keputusan. Keputusan besar dan penting. Sama ada menutup syarikat, menjual bisnes sdia ada, menutup pemis bisnes atau mengurangkan pekerja (dengan memberi tawaran berhenti kerja), ia semua merupakan antara pil-pil pahit yang dilihat sebagai ubat segera (‘quick fix’) kepada suasana dan situasi kini.
Mahu tidak mahu, kita sebagai salah seorang dalam syarikat ataupun pengguna kepada produk atau servis berkenaan, terkena tempiasnya.
Jika sebelum ini tugas dijalankan oleh 3 orang dalam kumpulan, kini hanya seorang sahaja yang melakukan semua tugas yang sama.
Seandainya sebelum ini 3 bekas makanan berharga RM20, kini 2 bekas makanan sudah menjadi RM25.
Adakah ini masih menjadi waktu sukar bagi segelintir orang?
TIDAK!
Ianya sudah menjadi situasi yang perlu dihadapi oleh semua orang!
Ia bukan lagi cerita siapa kawan yang terbaik buat ‘Aku’.
Ia bukan lagi isu, siapa sahabat sejati yang menolong semasa susah.
Ia juga bukan lagi masa mempersoal siapa yang lebih suka kepada ‘Aku’.
Dunis pengurusan organisasi dan syarikat bisnes menyaksikan perbalahan dan kerjasama pada masa yang sama. Pengurus syarikat melalui rentetan reaksi tamak dan bertimbangrasa silih berganti. Ahli yang bekerja dalam kumpulan sentiasa melalui proses menghukum dan memaafkan pada masa yang sama.
Malah, kita boleh melihat bagaimana bertelingkah dan saling bermafaan umpama satu rutin biasa yang berlaku dalam situasi persekitaran yang menekan.
Manakan tidak. Apabila berada didalam situasi ekonomi yang tidak begitu menggalakkan, semua pelanggan (dari pelbagai segmen) akan lebih berhati-hati dan memilih untuk berbelanja. Ya, mereka berbelanja. Pelanggan akan sentiasa membeli. Sama sahaja seperti kita.
Namun, belian yang 5 sudah menjadi 1. Jumlah tempahan yang 80 sudah menjadi 50 sahaja. Nombor dan angka menunjukkan perubahan mendadak. Yang dijangka masuk, mungkin tiada bayangnya.
Kalau 20 tahun dahulu, saya tidak mengambil endah akan pergelutan seumpama ini. Namun, apabila diri dalam usia mencecah nombor keramat, berbohonglah saya pada diri sendiri, seandainya hanya mahu makan seorang, minum sendirian.
Kesukaran dan kesulitan merupakan jalan paling baik kepada mereka yang sentiasa saling kasih mengasihani, ingat memperingati antara satu dengan yang lain.
Tiada lagi istilah siapa kroni, siapa kawan baik atau siapa yang lebih mulia.
Tiada lagi banyak masa untuk mendengar gossip dan berbalah dalam dunia yang tidak kita tahu siapa penghuninya.
Tidak lagi bergantung kepada cerita pihak ketiga, yang maklumatnya tidak pasti kejelasannya.
Semuanya, tetap untuk seguni beras yang mampu dibeli untuk mengenyangkan perut ahli keluarga dan diri sendiri.
Semuanya, tetap berbalik kepada apa yang menjadikan diri kita manusia.
Semuanya, memerlukan kita memberikan masa, meluangkan masa.
Semuanya, memerlukan kita membuat keputusan.
Semuanya tetap menagih tindakan.
Ia adalah waktu untuk menilai.
Sekarang ialah masanya!
Noraminah Omar
8.31 malam
6.10.2015
Kajang.