KISAH ORANG BISNES : Budaya bermula melalui bicara.
Baru-baru ini ada yang bertanya, tentang situasi si polan dan si polan yang masih terus mengekalkan hubungan baik sesama rakan kongsi bisnes meskipun mereka tidak menjana pendapatan yang mencapai sasaran.
Barangkali, waktu itu saya tidak begitu memahami apakah yang dipersoalkan. Lantaran itu saya hanya memandang dan senyum, sambil menyatakan bahawa setiap individu ada penyelia yang mengatur urusan kerja dan tugas. Mereka lebih maklum.
Sesekali mengenangkan semula pertayaan itu, membuatkan saya terfikir tentang anehnya manusia. Manusia yang adakalanya memang sukar ditafsirkan. Sudah lumrah manusia itu unik dan sebaik-baik kejadian. Mana mungkin ianya sesuatu yang mudah dan mahu dibaca-baca.
Lalu, ia memungkinkan kepelbagaian wajah, sikap dan karakter seseorang yang hanya boleh didorong dengan keadaan. Dalam banyak situasi, manusia mudah terdorong. Sama ada ke arah yang baik atau tidak, ia perkara kedua.
Sewajarnyalah menjadi tugas kita, sebagai sebahagian daripada kumpulan dan ahli masyarakat untuk sama-sama menyediakan suasana yang mendorong itu. Antara salah satunya, ialah meraikan budaya, budi dan bicara.
Hakikat insan itu berubah. Dari bentuk fizikal dan juga kerohaniannya, secara amnya berubah. Hampir setiap saat ada perubahan. Lantaran itu, bagi kita, kita pula melihat sifat manusia yang berubah-ubah ini adakalanya umpama berlakon sahaja. Adakalanya, seolah bermuka-muka pula.
Sendainya kita masuk ke dalam satu suasana atau environment yang memerlukan kita berbahasa Inggeris, biasanya secara semulajadi, bahasa itu akan terpacul keluar. Atau paling tidak, kita akan tergamam dan terdiam sehinggalah bahagian otak dapat memproses pertukaran bahasa itu.
Namun, seandainya kita bertemu semula dengan individu lain yang boleh berbahasa Melayu, kita akan terus menukar bahasa dan lenggok kata. Sekelip mata seperti sedia kala.
Dunia bisnes sering memerlukan individu yang mampu beradaptasi. Adakalanya, mereka perlu menjadi pendiam, mendengar sahaja. Adakalanya mereka perlu petah dan lantang bersuara. Inilah yang saya kira antara perkara yang disifatkan sebagai berubah-ubah dan bermuka-muka.
Meskipun begitu, ia masih tidak mengenepikan peri pentingnya berbicara meskipun diam itu lebih utama. Malah, bicara yang petah dan lantang juga masih perlu tanpa adanya halangan untuk terus mengekalkan budaya.
Orang asia terkenal dengan budaya asianya. Secara khusus, orang Melayu juga ada budayanya sendiri. Budaya bukanlah sekadar apa yang dilihat pada pakaian semata-mata, ia bermula dengan apa yang keluar dari bicara.
Mengubah mana-mana persepsi dan situasi, memerlukan bicara yang berbudaya dengan penuh susila. Situasi yang dihidangkan oleh orang bisnes dan ketua syarikat, merupakan satu garis panduan asas kepada kelahiran bakat-bakat baru yang sedang lapar menagih ilmu dan panduan.
Maka sewajarnyalah, bicara berbudaya dikalangan orang yang menjalankan bisnes itu, perlu jadi cukup ampuh. Ia bukan sekadar cakap-cakap kosong. Ia penuh dengan actionable plan.
Bicara orang bisnes seringkali mampu mempengaruhi, bukan hanya menghasilkan pendengar yang tangkas membuat keputusan dengan kuasa emosi.
Ia adalah bait-bait kata secara jelas, padat dan difahami. Fokusnya bicara itu adalah kepada proses dan hasil. Tidak sekadar menceritakan tentang hasil, tetapi tentang cara bagaimana boleh mencapainya.
Ia mampu mengubah dan memberi kesan kepada pembelian idea baru. Bicara yang jelas dan terang dapat membangunkan keyakinan diri kepada organisasi dan gaya fikir berstrategi.
Antara nilai dan budaya yang biasa diajarkan semasa saya bekerja dalam sebuah syarikat bisnes ialah saling menghormati. Lalu kami sentiasa diingatkan agar menghormati orang lain atas sebab tiga perkara utama.
Apabila orang itu lebih tua, hormati dia.
Apabila orang itu lebih berilmu, hormati dia.
Apabila orang itu lebih tinggi pangkatnya, hormati dia.
Suasana kekeluargaan dan kemasyarakatan tempat saya dibesarkan, menggalakkan saya dan ahli keluarga memanggil dan menghormati yang lain dengan panggilan pangkat dalam keluarga.
Bahkan, saya ada ‘nenek saudara’ yang berumur 10 tahun lebih muda daripada umur saya.
Oleh sebab ini banyak dipengaruhi oleh budaya dan cara kita dibesarkan, ia tidak sama caranya antara satu indivdu dengan yang lain apabila mereka masuk ke dalam masayarakat. Perkara ini terbawa-bawa dan terus menjadi biasa apabila mereka masuk ke alam pekerjaan atau bisnes.
Pun begitu, hormat dan sayang itu bukanlah pula satu perkara yang perlu didebatkan dan dipanjangkan. Pokoknya, budaya itu jelas terlihat daripada apa yang kita bicara.
Mereka yang serius dan tegas, punya ruang bicara dengan gaya begitu.
Mereka yang santai dan tugas membimbing, perlu punya cara dan gaya bicara yang boleh membuatkan orang sekelilingnya rasa selesa.
Mereka yang bersungguh dan tepat masa, bicaranya tepat dan jarang panjang berjela.
Mereka yang punya kuasa menjual berganda, mampu berjam-jam bicara tanpa sela masa.
Hari ini, kita memerlukan satu generasi bisnes yang mencipta nama dengan cara berbudaya. Yang berbicara dan berinteraksi bukan sekadar menumpukan kepada tatabahasa, tetapi tatasusila.
Kita tidak mahu membuang masa menekankan hukum letak duduknya setiap suku kata dalam ayat yang dituturkan atau ditulis. Kita terus menunjukkan apa yang betul tanpa perlu berbahas, komen atau kritik secara sinis.
Sejujurnya, apabila bicara salah ditutur, terutama apabila di khalayak yang berbudi luhur, sukar untuk dibetulkan akan suasana yang sudah terlanjur.
Bicara itu perlu. Bicara menjadi alat pemasaran utama kepada orang bisnes. Bicara jugalah yang menunjukkan budaya kita.
Memohon maaf sebagai satu cara, melalui bicara. Tidak mengulanginya menjadi satu budaya.
Bak kata pepatah, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.”
“Maafkan saya.”
Noraminah Omar
9.06 malam, Selasa
6.10.2015
Kajang