Barangkali, ramai yang menyangka saya bakal menukar kerjaya. Daripada menjadi seorang Naib Presiden HR, bekerja biasa dan makan gaji, menjadi seorang penulis mahu nama disanjung tinggi.
Sesungguhnya, ia umpama jauh panggang dari api. Menulis merupakan antara kemahiran yang mula-mula dipelajari oleh hampir seluruh anak-anak di Malaysia yang dihantar belajar.
Tidak kira sama ada tadika, pusat perkembangan, pusat tuisyen atau ‘menara gading’ mana sekalipun, menulis itu merupakan salah satu pelajaran wajibnya.
Memanglah, pada waktu itu, definasi menulis ialah membentuk huruf-huruf atas kertas. Kemudian dijalinkan bersama agar ada bunyi yang dihasilkan. Daripada bunyi-bunyi itu, disambungkan menjadi perkataan. Seterusnya, dianyam lagi menjadi perenggan-perenggan.
Nah! Selepas itu, semua orang mempunyai kemahiran menulis.
Pun begitu, menulis dalam konteks kerangka nerurusan dengan orang bisnes ini ada beberapa cara. Ada yang perlu menulis atas dasar sebab keperluan dan kehendak bisnes itu sendiri. Ini termasuklah surat, memo, perjanjian dan dokumen lain yang berkaitan.
Manakala, ada juga menulis yang diperlukan dalam kerangka bisnes yang bersifar menjaga hubungan pelanggan. Ini termasuklah skrip, SOP, prosedur dan proses serta dokumen-dokumen lain yang berbentuk operasi.
Menulis juga kini menjadi aktiviti yang semakin ‘mahal’ harganya. Pemasaran dengan gaya ‘online’ masa kini, memerlukan perkataan besar seperti ‘content, authenticity, story, curator’ dan banyak lagi.
Malah, perkataan ‘share’ seumpama ajinomoto yang sedap menambah perisa. ‘Plagiat’ pula menjadi entiti yang semakin terbantut dengan cepatnya tulisan tersebar di media sosial.
Apakah jatuh maruah seorang yang menulis? Daripada orang bisnes yang dilihat hebat, apakah menulis boleh menaikkan maruah mereka? Hinggakan, semua orang umpama ‘menulis’ tanpa ada landasan yang jelas.
Treknya bersimpang siur dan adakalanya, lopak-lopak besar jelas kelihatan. Sungguh benarkah menulis itu akan meningkatkan kepakaran dan kredibiliti? Hingga ada yang sanggup menjadikan plagiat dan tulis tanpa isi bertebaran di sana-sini.
Orang dalam bidang penulisan, ada kelompoknya sendiri. Orang dalam bisnes, ada kelompok mereka juga. Namun, setiap satunya mempunyai perjuangan dan jati diri.
Lalu, kita sebagai individu yang bernama manusia ini, haruskah terus masuk dan ‘blend in’ tanpa kenal maruah diri yang mesti dikekalkan? Apakah bisa hidup bermaruah dengan mempertaruhkannya untuk memenuhi keperluan?
Maruah dikatkan dengan kehormatan, harga diri dan nama baik. Lupakan sahaja terma ‘goodwill’ apabila kita berbicara waktu ini. Maruah yang dibicarakan ini, melangkaui apa yang kita boleh IPkan di myIPO. Ia bukan sekadar jenama.
Maruah melibatkan etika, akhlak, reputasi dan rasa hormat. Ia bukan sekadar tentang ‘menulis’ dan ‘menerbitkan hasil tulisan’.
Hari ini, sesiapa sahaja boleh menjadi penerbit yang dikenali sebagai ‘publisher’. Buka sahaja satu laman blog tanpa bayaran hosting, tekan saja butang ‘publish’.
Nah, bukankah kita sudah menjadi ‘publisher’!
Lalu, apabila orang bisnes mendahulukan ‘keperluan’, apakah maruah mereka diletakkan di barisan belakang?
Pengurusan bisnes melibatkan banyak situasi hitam dan putih, pahit dan manis, gembira dan sedih serta untung dan rugi. Maka, ada banyak senarai keperluan yang termasuk dalam setiap satu situasi malah, banyak situasi yang tidak mampu ditulis.
Apabila seorang bisnes mempunyai ‘keperluan’ untuk mempunyai bisnes sendiri, secara langsung, dengan adanya nama dalam syarikat menjadi sebagai nilai diri dan dilihat sebagai satu ‘maruah’ yang mesti dikekalkan.
Maka, menutup syarikat yang rugi, dilihat umpama menjatuhkan maruahnya. Walhal, angka-angka dan objektif bisnes merupakan perkara utama yang menjadi ‘keperluan bisnes’.
Konflik antara maruah diri dan keperluan bisnes menjadi ‘significant’ dan semakin jelas apabila orang bisnes tidak dapat mengasingkan dirinya daripada bisnesnya.
Apabila bisnes rugi, disamakan dengan kejatuhan mruah peribadi.
Apabila bisnes untung, dinilaikan dengan maruah diri.
Apakah begitu murah sebuah ‘maruah’ yang hanya dinilaikan dengan nilai bisnes?
Maka, kita dengar kisah-kisah sedih orang bisnes membunuh diri. Ada juga yang berakhir dengan situasi kesihatan mental yang tidak baik. Rumah tangga terjejas, kehidupan umpama sebuah bangunan runtuh yang tidak boleh dibina lagi.
Bukankah setiap kejadian itu dijadikan berpasangan?
Kalah – memang.
Gembira – sedih.
Siang – malam.
Untukng – rugi.
Kaya – miskin.
Meskipun rugi dalam perniagaan, maruah tidak terjejas. Lainlah sekiranya kerugian itu melibatkan skandal, salah laku serta perkara-perkara yang melanggar susila, etika serta budaya kita.
Pernah seorang rakan yang ditipu oleh rakan bisnesnya sendiri, merasakan dirinya sudah tidak ber’maruah’. Lantas beliau menghilangkan diri, mahu lari daripada pandangan mata manusia sekeliling.
Bagi orang bisnes, tidak perlu menunggu bisnesnya ‘rugi’ untuk jatuhnya sebuah maruah.
Bagi orang bisnes, tidak perlu menunggu syarikat tutup untuk jatuhnya sebuah maruah.
Bagi orang bisnes, tidak perlu tunggu disaman untuk jatuhnya sebuah maruah.
Cukup dengan melanggar masa temujanji.
Cukup dengan melanggar terma yang dipersetujui.
Cukup dengan kata-kata yang tidak menepati.
Cukup ia untuk menjatuhkan sebuah harga diri dan maruah!
“Bisnes boleh menjadikan kita seorang yang dihormati. Ia juga boleh menjadikan kita orang yang hina. Malah, apa sahaja situasi kita, meskipun bukan dalam bisnes, ia boleh memberikan kita penghormatan juga penghinaan.”
Noraminah Omar
1.28 petang
September
Gombak.