Apabila menjalankan sesuatu tugas, adakalanya ia menjadi beban. Namun, pada kebanyakan masa, tidak mempunyai tugas atau tidak ada kerja lebih membebankan.
Sama ada ianya perkara yang berbentuk tugas rutin atau tugas berbentuk ad-hoc, penerimaannya berbeza-beza antara satu staf dengan yang lain.
Semasa satu sesi khidmat nasihat, pernah seorang staf bertanya.
“Puan, kalau ada punishment, mesti ada reward kan?”
“Ya, betul.” Saya angguk-angguk. Memang sudah menjadi lumrah untuk saya mengangguk dan senyum.
“Boss tempat saya kerja, mahu saya design kan satu punishment system. Jadi, mestilah ada reward system yang datang sama. Bukan kami tak buat kerja Puan…”
“Oh, begitu. Sebenarnya, punishment yang beliau maksudkan itu hanya untuk perkara non compliance dalam SOP sahaja.
Jadi, cadangan saya, kita sediakan satu tajuk tambahan dalam buku panduan staf di bawah bahagian ‘disiplin’ untuk perkara kritikal. Berikan perincian di situ.
Dalam SOP syarikat, ada beberapa yang kritikal yang kita perlu ketatkan pematuhannya untuk mengelakkan kecelakaan yang besar dalam operasi syarikat.
Kedua, jika mahukan adanya reward system, apa kata Tuan sebagai pegawai HR syarikat, berikan satu cadangan cara penilaian menyeluruh dan serahkan kepada Boss.”
“Macam itu ya Puan?”
Saya senyum. Adakalanya, penjelasan yang datang dari pihak ketiga, akan memudahkan komunikasi antara pekerja dan majikan. Dalam konteks ini Boss.
Sebagai orang tengah, pengalaman dan pemahaman tentang keperluan syarikat, gaya majikan mengurus dan kehendak pekerja membolehkan kita memberikan input yang harmoni kepada semua pihak.
Sebagai Boss, banyak keputusan tidak hanya melibatkan dirinya sahaja untuk membuat keputusan. Apabila ianya melibatkan perkara-perkara yang berbentuk risiko baru dan pelaburan baru, sudah tentu ada keperluan untuk menjalankan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.
Berbeza pula sekiranya pekerjaan yang kita lakukan itu berbentuk servis khusus yang membolehkan keputusan mahu buat atau tidak, boleh dibuat sendiri.
Pernah saya berjumpa dengan seorang akauntan bertauliah yang mempunyai firmanya sendiri. Beliau bukanlah orang baru dalam bisnes.
Malah, beliau pernah mengurus dan memberikan khidmat nasihat kepada banyak syarikat yang hanya bermula dengan RM2 sehingga naik menjadi sebuah syarikat holding dengan pendapatan berjuta.
Satu ketika, semasa berjumpa, beliau pernah menceritakan akan perihal beliau memilih klien.
“Saya bukan apa. Jika ada yang datang, tanya, minta tolong buat akaun, buat laporan, nak buat pinjaman, semua itu saya bantu.
Tapi, itulah…”
“Kenapa Tuan?” saya galak pula mahu tahu.
“Masa syarikat kecil, bolehlah saya sediakan khidmat perakaunan. Transaksi tak banyak. Kita buatkan akaun 6 bulan sekali. Bolehlah.
Bila pendapatan syarikat mencecah sejuta, dua juta, kenalah syarikat mula ada internal accountant. Ada staf sendiri uruskan dokumen perakauan.
Ni, firm macam saya ni, mana ada cukup kakitangan dan masa nak service semua syarikat. Ada pula tu, syarikat yang kecil nak bayar retainer fee RM60 sebulan pun terkial-kial.
Saya ni, bukan nak buat duit banyak. Kalau nak buat duit banyak, saya tak ambik semua syarikat kecik-kecik ni. Lebih baik layan syarikat besar saja!”
Saya angguk-angguk lagi. Tuan yang saya kenal ini, memang antara tuan punya firma perakauan yang mengenakan caj yang minima. Saya sendiri berpindah dari firma lain kepada firma beliau atas sebab yang sama.
Malah, beliau adalah antara orang yang tidak lokek ilmu perakaunan. DIajarkan sahaja secara percuma. Syaratnya mudah. Dengar, guna.
“Kalau syarikat sampai buat duit 50 juta setahun, firma saya tak dapat nak sediakan khidmat tu. Dah banyak kali saya beritahu klien, gajikan akauntan dalaman. Kita bantulah dengan khidmat external.
Syarikat yang dah besar macam itu, laporan kewangan kena accurate dan on time. Documentaion di syarikat mesti betul. Tak payah buang masa ding dong ding dong hantar ke firma luar. Lambat.”
Maklumat yang ini memang betul. Saya juga setuju. Tentulah seorang ketua syarikat perlu melihat status dan laporan kewangan secara lebih kerap dan tepat pada masanya.
Maklumlah, orang tua kata, “besar periuk, besarlah keraknya.”
“Hah, baru-baru ni. Ada klien datang. Mintak saya tengokkan akaun dia. Saya cakap terus-terang. Saya tak mahu buat.
Dah, heboh dengan kawan-kawan kata saya tak buat kerja. Biasalah, dalam bisnes ni, gosip cepat saja tersebar. Saya betulkan balik. Saya cakap, bukan saya tak buat kerja, saya tak nak buat kerja tu!”
Senyuman saya berubah jadi ketawa apabila melihat gaya beliau bersungguh-sungguh menerangkan bagaimana beliau memilih klien.
Kadang-kadang, cara melawakkan perkara yang membuat kita tertekan ada baiknya juga. Saya yang sedikit tertekan dan gundah terhibur sama.
“Saya ini orang yang ringkas. I am a simple man. Kalau nak saya buat kerja, ambil nasihat saya. Buat dulu. Kalau salah betulkan.”
“Ini… kalau nak jugak buat cara sendiri, mintak maaflah. Cari orang lain. Standard tak nak ikut. Compliance tak nak buat. Macam mana?”
Mengingatkan semula bait-bait perbualan itu, saya kira, dalam banyak perkara saya sendiri lupa. Kita ada pilihan. Ya, kita boleh memilih.
Daripada hanya mengeluh dan memendam rasa, bukankah membuat pilihan dan mengambil tindakan itu lebih bermakna?
Memang memikirkan dan mencari jalan penyelesaian itu memenatkan. Adakalanya, jalan yang terbentang di depan mata, jalan yang paling luas, bukanlah jalan terbaik yang harus dipilih.
Barangkali saya sendiri perlu melihat semula.
Apakah pilihan yang sudah dibuat, perlu dipilih semula?
Apakah masalah dan cabaran yang ada, membuatkan pilihan baru mesti dibuat?
Apakah sebenarnya kita ini, “ Bukannya tidak ada pilihan, tetapi tidak mahu memilih!”
Ya hidup ini memang nyata berbeza. Antara mata melihat dan bahu yang memikul beban. Hingga ada pepatah mengatakan, “Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.”
Noraminah Omar
3.16 pagi
Oktober
Kajang.