Situasi politik dan ekonomi semasa, banyak mempengaruhi bagaimana sesuatu bisnes itu berkembang. Mana-mana jenis bisnes yang memerikan apa yang dimahukan pelanggan dan menyelesaikan banyak masalah hidup mereka, itulah yang dapat menerima sokongan yang bertahan.
Bagi anak-anak muda, tidak kurang hebatnya mereka berimpian mahu berbisnes. Impian yang banyak mereka mahu jadikan kenyataan. Sama ada mendapat pekerjaan selepas bergelar graduan, bagi mereka itu bukan perkara utama.
Yang penting, perbelanjaan dan keperluan hidup dapat disediakan dan mencukupi. Bagi anak-anak muda pula, mereka ada gaya hidup yang mahu dikekalkan.
“Apakah bisnes yang bagus untuk saya mulakan sekarang?”
Itulah antara soalan yang dikemukakan oleh seorang pelajar yang bakal menamatkan pelajarannya dalam satu sesi perkongsian kerjaya yang pernah saya kendalikan.
Lalu, saya bertaya semula. “Apakah kepakaran yang Cikpuan ada sekarang?”
Soalan ini mengambil masa yang lama untuk dijawab oleh semua 30 orang peserta dalam program itu. Lalu, saya mengubah soalan saya.
“Apakah kebolehan yang Tuan dan Cikpuan ada yang dapat menyelesaikan masalah harian orang sekeliling. Boleh jadi rakan sebaya, pensyarah, pekedai, masyarakat setempat atau pelajar di universiti ini sendiri.”
Anak-anak muda yang ada dihadapan saya memandang tepat pada wajah saya.
Seolah-olah berkata, “Aku tak pernah fikir pun pasal masalah orang lain. Masalah Aku pun dah cukup banyak.”
Saya teringat tentang sebuah pusat pendidikan untuk kanak-kanak yang memberikan penekanan kepada anak-anak kecil tentang persoalan masa depan.
Mereka ditanya, “Apa yang kamu mahu jadi bila besar nanti?”
Kemudian, mereka dilatih pula untuk berfikir, “Apakah masalah yang dapat kamu selesaikan sekiranya kamu seorang ……. ?”
Adakalanya, mengingatkan situasi ini membuat kan saya sendiri senyum. Anak-anak sekecil 4,5 dan 6 tahun sudah dilatih berfikir untuk menyelesaikan masalah orang lain.
Sedar atau tidak, ini sebenarnya merupakan salah satu intipati dan cara untuk membina anak-anak yang boleh berfikir untuk memberikan nilai-nilai tambahan, nilai-nilai baru kepada segmen pelanggan mereka. Kemahiran ini bertambah penting apabila mereka bekerja dan juga apabila mereka mahu menceburi bisnes.
Bisnes bukan hanya sekdar menjual produk.
Ia tidak hanya bermula dengan produk apa yang aku mahu jual?
Aku tidak ada barang, macam mana nak bisnes?
Hah, kalau tak ada duit, macam mana nak beli barang untuk modalkan bisnes?
Bagaimana menyelesaikan masalah pelanggan, merupakan antara soalan yang akan mencetus idea nilai tawaran yang boleh dicipta. Ini membolehkan seseorang itu memilih idea bisnes dan jenis bisnes yang sesuai.
Dalam sesi bersama 30 orang pelajar itu, agak mudah menerangkannya dengan tahap mentaliti mereka sebagai seorang graduan dan bakal graduan. Dalam tempoh 15 minit sahaja, mereka sudah dapat melihat apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan memikirkan masalah orang lain iaitu bakal pelanggan.
Pendidikan keusahawanan dan bisnes ini BUKAN satu TREND. Ia merupakan keperluan.
Tidak bermakna sebuah tadika menjalankan aktivit jualan, mengadakan hari kantin, itu sudah cukup dikatakan adanya program keusahawanan di pusat pendidikan mereka.
Keusahawanan melibatkan falsafah, fahaman dan persediaan pemikiran anak-anak untuk menjadi orang bisnes yang mempunyai ciri-ciri penting.
Antaranya:
+ Pendiri bisnes faham yang mana keperluan dan yang mana kehendak atau kemahuan.
+ Mereka tahu yang mana ‘saya punya’ dan ‘orang lain punya’. Ini membantu anak-anak memahami hak individu yang berbeza dengan hak entity (syarikat).
+ Mereka pandai bekerjasama, menyusunkan tugas bukan hanya ‘multi-task’, tetapi boleh menjalankan fungsi yang sama di bawah kumpulan yang berbeza.
+ Mereka faham konsep margin dan volume, dalam bahasa mudahnya untung sedikit tetapi banyak dan berterusan.
… dan banyak lagi.
Bagi anak-anak seawal umur 4,5 dan 6 tahun, konsep pembelajaran ini memerlukan satu modul dan konten pembelajaran yang kuat asasnya. Ia juga memerlukan satu sistem sokongan yang membolehkan anak-anak ini terus dikembangkan bakat dan pemikiran bisnesnya.
Ia bukan sahaja dipaparkan pada poster, tagline atau apa-apa sahaja gimik pemsaran yang kita boleh lihat.
Malah, pengendali dan pembangun modul itu mesti mempunyai kredibiliti dalam menguruskan bisnes.
Sekiranya, mereka yang mengendalikan dan membangunkan modul itu TIDAK mempunyai FALSAFAH bisnes yang betul, mampukah satu generasi bisnes yang betul dibangunkan?
Benarlah. Apa yang biasa kita lakukan, tidak semestinya betul.
Sekiranya yang biasa ialah menyediakan ‘bekas’ dahulu, buatkan desain yang hebat dengan warna yang cantik, berikan label yang kelihatan cerdik, kemudian baru fikirkan ‘kandungan’nya, ia tidak semestinya betul.
Zaman sudah berubah. Kini, sudah tiba masanya untuk memikirkan kelangsungan bisnes yang boleh melalui pelbagai fasa serta situasi politik dan ekonomi sejagat.
Nilai asalkan buat, asalkan nampak lain, asalkan ada nampak kita buat perkara baru , BUKAN lagi satu budaya yang perlu dikekalkan.
Jika dulu ‘packaging’ memainkan peranan. Kini, konten dan kandungan perlu selari dengan ‘packaging’nya.
Jika dulu konten menjadi pilihan, kini nilai tambahan menjadi buruan.
Jika dulu nilai yang berbaloi dengan harga menjadi tarikan, kini harga yang memberikan hasil optimum menjadi sasaran.
- Pelanggan tidak hanya membeli berdasarkan jenama tanpa ada nilai yang menyelesaikan masalah dalam hidup.
- Rakan kongsi bisnes tidak hanya mahu meneruskan bisnes untuk memastikan mereka mampu membayar hutang pinjaman perniagaan.
- Pemegang saham tidak hanya mahu melihat dan menerima dividen dalam bentuk kewangan yang sama seperti yang mereka boleh perolehi daripada mana-mana bank.
Kumpulan manusia dalam aliran perjalanan bisnes menjadi semakin bijak.
Mereka sanggup meninggalkan sesuatu dengan nilai ringgit yang besar, demi satu perkara lain yang baginya lebih bernilai.
Meskipun kita melihatnya sebagai satu perkara yang tidak bernilai.
Sudah tiba masanya, orang bisnes menyantuni semua orang yang terlibat dalam kitaran bisnesnya, dengan cara yang lebih bijak.
Orang bisnes yang bijak berbisnes, tidak boleh lagi mem’perbodoh’kan mereka yang pandai!
.
Noraminah Omar
6.30 pagi, Oktober
Kajang.