“Komunikasi, Facebook dan Budaya Copy-paste”

Tugas dan tugasan yang disusunkan dalam sesebuah organisasi banyak mempengaruhi bagaimana dan cara budaya kerjanya. Ada yang disusunkan mengikut lokasi, ada yang disusunkan mengikut segmen pelanggan da nada juga yang disusunkan mengikut fungsi.

 

Apa juga cara penyusunan yang dipilih dan dibuat, ia tetap memerlukan satu perkara yang sama. Komunikasi.

 

Komunikasi membolehkan maklumat disampaikan. Idea direalisasikan. Pada masa yang sama, komunikasi yang tidak lengkap dan tidak tepat mengakibatkan kekacauan. Chaos yang tidak diundang.

 

Dalam kisah-kisah cinta dan drama-drama dapat dilihat dengan jelas. Adakalanya, penonton berteriak, “Cakap sajalah.” Ya. Apabila ada adegan hero dan heroin salah faham akibat hadirnya orang ketiga, puncanya komunikasi juga.

 

Apabila ada adegan mertua dan menantu yang sama-sama mahu memenangi hati anak dan suaminya, komunikasi juga puncanya. Biasanya orang selalu menyebut, “Depan cakap lain, belakang cakap lain.”

 

Adanya fikir-fikir, duga-duga dan baca-baca yang menyebabkan proses komunikasi tergendala. Wujudnya media sosial juga menjadi satu platform yang memecahkan proses komunikasi yang penjang menjadi pendek. Chunking.

 

Jika dulu, facebook terutamanya, dikatakan sebagai salah satu medium yang menyebabkan penulis ‘terencat menulis’. Katanya, ia menyebabkan idea-idea penulisan pendek dan tidak berhubung. Umpama sel-sel otak anak kecil yang tidak berhubung dan terbantut akibat tidak minum susu. Ada juga betulnya.

 

Namun, selepas itu, gaya baru diperkenalkan. Daripada melihat facebook sebagai ancaman, ia menjadi pemangkin kepada penulisan. Setiap status dilihat umpama batu-bata.

 

Disusunkan baik-baik untuk dijadikan sebuah dinding. Kemudian, gabungan beberapa dinding menjadi sebuah bilik kecil. Bilik inilah yang menjadi sebahagian daripada asas membesarkannya kepada sebuah bangunan.

 

Nah, begitu sekali penangan media sosial!

 

Selang selepas itu, ada pula yang bertanya, “Aku heran. Kenapa suami isteri tag-tag di FB. Kat rumah tak bercakap ke?”

 

Dalam banyak perkara, penggunaan satu benda oleh satu individu, tidak sama dengan yang lain. Ada yang melihatnya sebagai sisi A dan ada yang melihatnya sebagai sisi B. Ada yang memakai kacamata biasa, ada yang memakai kacamata hitam semasa memandangnya.

 

Sekali lagi, hal komunikasi menjadi perbualan di facebook. Hinggakan, ada gosip yang menyebut. “Berhati-hati dengan suami atau lelaki yang mula berkata “sayang dan cinta” secara terbuka di FB. Lelaki sejati tidak begitu.”

 

Media soaial juga menjadi platform pilihan untuk membangunkan jenama. Bermula dari jenama peribadi, hinggalah jenama produk-produk ternama. Kini, facebook tidak lagi dilihat sebagai ‘media untuk bersosial’ sahaja.

 

Ia sudah diterima pakai hampir di segenap pelusuk sebagai ‘platform berbisnes’. Malah, khabarnya algorithma facebook juga sudah dinaiktarafkan. Bagaimanalah agaknya pekerja di facebook memecahkan idea untuk ‘memaksa’ pengguna facebook membayar yuran penggunaan dengan rela tanpa sedar?

 

Bagi orang bisnes khususnya, perubahan algorithma ini ada kesan dan mereka terkesan. Namun, bagi mereka yang memang mahu bersosial dan sekadar mahu ‘syok-syok online’, ia tidak menjadi isu besar.

 

Paling tidak, mereka hanya mengeluh, “Friends ada 5000, like 5 aje!”

 

Bagi orang bisnes, facebook merupakan satu platform dengan pelbagai keperluan. Bergantung kepada situasi dan perjalanan bisnes masing-masing.

 

Antaranya termasuklah membina jenama diri (personal branding), menjadi platform jualan dan pemasaran, tempat untuk validate produk atau servis baru, platform untuk mencari pekerja dan pelanggan dan banyak lagi.

 

Ramai orang bisnes yang dilihat tidak memilih friends, tetapi mengawal aktiviti friends di wallnya. Ada juga yang sengaja membuka 2 atau lebih akaun untuk tujuan khas. Membuka group perbincangan sudah biasa. Group perbincangan sudah banyak berpindah kepada platform lain yang lebih mobile dan user-friendly seperti whatsapp dan telegram.

 

Bagi sesetengah orang bisnes pula, mereka memilih membuka page di facebook. Mereka menyusun konten yang boleh dijadualkan dan mempromosikan page mereka secara berbayar.

 

Agak mengecewakan apabila beberapa page individu, yang memaparkan gambar individu berkenaan yang dikawal selia oleh admin sepenuhnya. Ada yang tidak berasa selesa, da nada pembaca yang lebih memerlukan nilai terus daripada tuan punya page.

 

Bagi orang bisnes, mereka menguruskan mengikut keperluan. Adakalanya, tidak menjadi isu pun sekiranya page yang menggunakan gambar beliau memang berfungsi untuk bisnes tanpa ada sebarang konten yang autentik. Dengan erti kata lain, kontennya hanya untuk share perkara yang berkaitan sahaja.

 

Maka, muncullah fenomena, kerjaya ‘Pengurus Konten Media Sosial’ yang banyak ditawarkan kepada orang muda yang facebook savvy, katanya. Orang muda punya banyak kelebihan. Mereka lebih lincah, juga licik.

 

Sekejap dahulu, ada beberapa cerita gempar tentang adanya banyak budaya copy-paste yang dilihat sebagai melanggar amalan dan tatacara yang betul dalam berkongsi dan menulis konten di facebook.

 

Bahan bertulis secara bercetak bukan satu-satunya hak yang dipelihara ciptaannya. Malah, apa juga yang bersifat original dan autentik, mempunyai hakcipta sendiri kepada penghasilnya. Termasuklah tulisan ini.

 

Secara peribadi, ada banyak artikel saya sendiri yang saya berikan hak penggunaannya kepada beberapa pihak lain untuk tujuan pemasaran. Tiada caj pun. Namun, ianya dilakukan dengan rela. Bermakna kedua-dua pihak yang menulis dan menggunakan hasil tulisan bersetuju.

 

Benar. Ia bukanlah perkara yang ‘besar’ untuk di’perkecil-kecilkan’. Ia juga bukanlah satu perkara biasa yang kita dengan sewenang-wenangnya berkata, “Alah, benda baik nak kongsi pun bising.”

 

Berkongsi ada etikanya. Memberikan kredit dan menyebut nama penulis atau penghasil asal adalah salah satu daripadanya. Apatah lagi sekiranya perkongsian atau penggunaan itu berbentuk komersial, iaitu menjana wang atau menjadu funnel untuk menjana wang.

 

Mudahnya dunia copy-paste, tidak semudah itu untuk tidak mengendahkan hak penghasil konten.

Seronoknya di medan facebook, bukan bermakna “wall aku hak aku” semata-mata.

Efektifnya komunikasi melalui media sosial, ada hadnya.

 

Sudah tentu akan tiba masanya, untuk semua perkara keluar dari kerangka facebook semata-mata.

 

 

Noraminah Omar

5.50 pagi

Oktober

Kajang.

 

 

 

 

 

Share On Social Media

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on telegram
Share on whatsapp

More Posts

Book Your 30-Minute Discovery on Personal and Business Potential Consultation NOW

Book Your 30-Minute Free Consultation

Anda Mempunyai masalah dalam perniagaan? Takut untuk membuat keputusan yang tepat?

Jangan risau! Kami akan berkongsi cara bagaimana maklumat sedia ada dalam syarikat/bisnes digunakan untuk merancang penambahbaikan dalam bisnes secara keseluruhan.

Dapatkan satu sesi konsultasi melalui telefon PERCUMA.

Download Free EBook

Download Free EBook

PENGURUSAN HR

Dapatkan 12 kandungan hal pengurusan bisnes pusat pendidikan dalam ebook ini. 

Ebook ini merupakan satu refleksi kepada kita sebagai seorang pengurus atau ‘owner’ pusat pendidikan. Dapatkan perspektif yang berbeza.

Tawaran ini sah sehingga 30.12.2020.
Download sekarang!

Buy EBook

Buy Our EBook Now!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.