KISAH ORANG BISNES : Kemahuan dan kemampuan.
Dalam hidup seharian, kita membuat keputusan hampir setiap minit dan saat. Kita membuat keputusan untuk berhenti melakukan apa yang sedang dikerjakan untuk berehat atau tidur.
Adakalanya, mekanisme ringkas dalam badan seperti ini, yang kita lihat umpama perkara biasa, rutin dan tidak memerlukan banyak kuasa serta tenaga untuk dilakukan berlaku dengan sendirinya tanpa kita perlu berbuat apa-apa.
Jauh sekali kita mahu memikirkan bagaimana dan apa yang membuatkan kita membuat keputusan dan tindakan yang seumpama ‘auto pilot’ itu.
Adakalanya, terfikir juga tentang bagaimana kita memenuhi kemahuan yang di bidang kuasa kemampuan. Apabila mengutarakan topik seumpama ini, banyak yang mengaitkan hanya dengan kuasa membeli, sama ada punya wang atau tidak.
Bagi wanita pula, isu yang berkisar tentang soal kemahuan dan kemampuan dalat dilihat jelas dalam topic perbincangan yang agak sensitive dalam kerangka institusi kekeluargaan iaitu ‘poligami’. Mahu dan mampu.
Barangkali,tulisan kali ini lebih mudah untuk dikongsikan dan dapat diinterpretasikan dengan lebih lancar. Bagi situasi bisnes, ada juga perkara yang sama berlaku. Komuniti orang bisnes juga ada gosip dan kisahnya sendiri. Malah, saya dikhabarkan, gosip orang bisnes lebih ‘hebat’ berbanding kisah rumah tangga artis atau ustaz selebriti.
Kelompok dan kumpulan orang bisnes ada juga kepelbagaiannya. Ada yang mahu fokus kepada pembangunan ‘social enterprise’ manakala ada yang mempunyai objektif khusus membuat duit dan mengembangkannya.
Apa pun situasinya, antara kemahuan dan kemampuan, ianya sukar untuk melengkapi antara satu sama lain tanpa ada kumpulan sumber yang ‘kaya’. Kekayaan sumber ini tidak bermaksud limpahan wang dan adanya sekumpulan jutawan bersekongkol dalam satu usaha membuat duit.
Ia lebih dilihat sebagai kewujudan sumber-sumber utama yang diperlukan untuk menggerakkan sesebuah bisnes dan syarikat bisnes. Sumber sumber ini termasuklah kemahiran, kepakaran, aset-aset yang berkaitan dengan perjalanan bisnes, individu-individu dengan nama baik dan kebolehan tertentu dan banyak lagi.
Jelas di sini bahawa, kemahuan untuk berbisnes juga memerlukan kemampuan tertentu yang melangkaui isu wang ringgit semata-mata.
Ada yang mahu berbisnes, mampu dengan sumber kewangan yang ada, tetapi tidak mampu menguruskan bisnes secara bersyarikat. Ada pula yang bekerja dalam syarikat bisnes, mahu bekerja dan mahu menjadi rakan kongsi, tetapi tidak mampu memahami budaya bisnes dalam syarikat serta budaya kerja menjadi rakan kongsi dalam sebuah syarikat.
Pedihnya, ada juga individu yang berada dalam sebuah syarikat, yang mahu menjana bisnes sendiri, tetapi masih terkial-kial menyediakan bajet dan mengutip bayaran daripada pelanggan. Bertambah parah, apabila situasi ini masih berlaku dalam kumpulan yang cukup lengkap dan sarat dengan sumber.
Nah, apakah lagi yang hendak dikatakan tentang kemahuan yang tingi itu?
Apa lagilah yang ada dengan daya percaya diri, kiranya hanya kemahuan sahaja yang ada?
Banyak juga situasi dan senario bisnes menemukan kita dengan situasi mereka yang tidak mampu, tetapi mempunyai kemahuan yang tinggi.
Mereka sedaya upaya belajar, berubah dan sanggup mengosongkan gelas yang sudah penuh untuk diisikan dengan jus yang berwarna lebih cantik dengan rasa yang lebih enak.
Meskipun, mengosongkan gelas itu sukar pada peringkat permulaan, malah tumpahan air dari gelas itu merembes dan membasahkan hampir keseluruhan pelapik meja makan, namun gelas yang sudah terisi dengan jus yang berwarna oren itu sedan sekali kelihatannya, malah rasanya juga!
Justeru, kemahuan dan kemampuan itu, kombinasaninya perlu ada dengan nisbah yang betul. Apakah nisbah yang betul?
Ia umpama mencari titik keseimbangan pada fulcrum yang tidak kelihatan. Nisabah untuk bahagian kanan dan bahagian kiri berasa pada paras yang sama, memerlukan kedua-dua bahagian diletakkan dengan pemberat yang sama beratnya. Malah, kedudukan fulcrum yang ‘invisible’ itu menjadikan nisbah bagi pemberat untuk individu A berbeza dengan pemberat bagi individu B.
Maka, siapakah yang benar-benar berkuasa dan punya hak mutlak untuk menggerakkan dan mancapai keseimbangan nisbah dengan “invisible fulcrum” ini?
Mereka yang mahu akan berjaya apabila mereka mampu mengawal dan menguruskan diri. Diri mereka sendiri.
Diri yang mana? Emosi dan kehendak.
Mahu atau tidak, kemahiran itu boleh dipelajari dan dikuasi serta diasah dengan aplikasi. Buat, betulkan.
Rugi, kecewa, marah, berhenti sebentar sahaja. Jalan terus!
Noraminah Omar
Oktober 2015
Gombak.