KISAH ORANG BISNES : Ayat berani…
Pernah pada satu malam, saya tidak dapat tidur lena. Teringatkan kisah dan cerita, hasil pertemuan dengan seorang rakan bisnes yang bersemangat waja. Bertemu dengan beliau bukanlah satu kebetulan, malah memang dirancang.
Begitupun, Tuan yang berwajah baik itu, benar-benar memberikan kesan kepada apa yang saya fikirkan.
Rakan bisnes ini bukanlah orang muda. Sudah berumur juga. Malah, umurnya jauh beza jika dibandingkan dengan saya. Namun, beliau juga menganggap saya sebagai rakan sebaya. Katanya, mahu rasa muda, macam kami semua.
Saya mengenali Tuan Rahim tidaklah lama. Tetapi, cukup lama untuk beliau menceritakan kisah pengalaman jatuh bangun bisnesnya itu.
Rupa-rupanya, Tuan Rahim sudah beberapa kali membuka dan menutup bisnes. Katanya, masih belum berjumpa dengan bisnes yang sesuai.
“Puan, tak mahu ambil saya jadi partner kah?”
Pernah beliau bertanya dengan gaya berseloroh. Pun begitu, bagi saya, ini satu soalan berani. Macam berani mati.
Dipendekkan cerita, Tuan Rahim saya kenali beberapa tahun lalu. Saya pernah menyewa premis bisnes daripada beliau.
“Itulah, pandai betul Puan berunding! Minta sambung ‘tenancy’ sampai 3 tahun, tanpa naik harga. Saya pun, sign saja perjanjian yang PA saya bagi tu.” Katanya sambil ketawa kecil.
Saya senyum-senyum. “Tak mengapa, Tuan memang orang yang baik hati.”
Memang pada masa itu, perjanjian sewa yang hanya 2 tahun, saya minta untuk dilanjutkan tempoh sewaan. Tanpa ada tambahan sewa, dengan tempoh sambungan 3 tahun, merupakan satu perkara yang tidak mudah diperolehi dari mana-mana landlord.
“Ya lah, Puan pun bayar sewa on time. Bisnes pun saya tengok bagus.”
Saya diam. Senyum sahaja, kali ini saya duduk tanpa banyak mengangguk.
“Ha, ada apa Puan mahu berjumpa ni?”
“Oh, sebenarnya saya mahu maklumkan. Tahun hadapan, saya akan serahkan pengurusan bisnes kepada syarikat lain.”
Saya berhenti menelan air liur. Agak berat untuk saya teruskan. “Jadi, saya minta jasa baik Tuan, untuk benarkan syarikat yang baru ini, ambil alih saja tenancy agreement kita dengan mengekalkan terma yang ada.”
Tuan Rahim melihat saya dengan serius.
“Eh, kenapa pula? Puan dah tak buat bisnes ni lagi ke?” katanya sambil meletakkan semula garfu dan sudu yang sedari tadi laju saja digunakan untuk menyuap makanan ke mulutnya.
Saya diam. Kali ini, saya pula yang senyum. Kelakar juga melihat riak wajah Tuan Rahim yang berubah tiba-tiba.
“Itulah, Tuan. Begitulah. Syarikat baru ini nanti akan beli bisnes sekarang daripada saya.”
“Habis, Puan buat apa?”
“Cadangnya, saya ada venture baru. Ada bidang baru nak diceburi.”
“Tapi, bisnes kan bagus. Kenapa nak jual?”
“Biasalah Tuan. Ada banyak sebab. Antaranya, macam biasa. Kena cabar diri dengan pencapaian baru.”
“Ha.. itulah. Saya ni pun, banyak benda saya cuba. Ni, bisnes sekarang, tahun lepas partner saya decide beli semua saham saya dalam syarikat. Itu yang saya keluar berpecah dan buat syarikat baru.”
Oh, ini cerita baru, Tidak pernah Tuan Rahim menceritakan situasinya. Memang sebelum ini, saya sendiri maklum bahawa beliau ber’partner’ dengan seorang lagi dalam syarikat yang sama.
Kemudian, beliau berpindah pejabat, selang 5 blok sahaja dari pejabat sekarang. Sangka saya, hanya adanya perubahan penyusunan syarikat. Patutlah.
“Itulah. Apabila offer yang diberi tu bagus, saya ambillah. Lagipun, bisnes ni memang macam itu. Semua boleh jual. Saya terima sajalah.” Ada sedikit nada kecewa pada suara Tuan Rahim.
Namun, saya tidaklah pula mahu bertanya lanjut. Tak manis kita mengorek-ngorek rahsia orang, bukan?
“Saya dan isteri pernah buka kedai makan.” Tuan Rahim menyambung apabila dilihatnya saya diam sahaja.
“Pun tak bagus juga. Isteri saya jadi asyik sibuk memasak saja. Rumah tangga tak sempat urus. Huh, tak baguslah macam itu! Saya sangkakan, bila buka kedai makan senang sikit. Lagipun, isteri saya memang pandai masak. Last-last, dia yang jadi tukang masak.”
Kali ini Tuan Rahim tersenyum walaupun nada kecewa masih berat kedengaran dalam setiap tutur katanya.
“Sekarang, masih ada kedai makan tu?”
“Ada. Tapi, saya suruh isteri saya ambil tukang masak. Kena lah ajar tukang masak tu buat kerja. Ini, asyik tak puas hati saja. Kemudian, dia sendiri pula sibuk masak.”
Saya angguk-anguk. Ya, betul. Memasak juga kerja seni. Ramai yang tidak boleh dan sukar menurunkan kuasa kepada tukang masak yang lain. Bab SOP memasak, lagilah jauh panggang dari api.
“Satu lagi, saya pun ada buka bisnes dengan anak saya. Alah.., yang saya cakap hari tu.”
Saya memang pernah diberitahu tentang anaknya yang menggunakan ruang ‘basement’ di premis bisnes saya itu sebagai pejabat tambahan yang digunakan oleh anak beliau.
Seingat saya, tidak pernah pula saya diperkenalkan dan kenal anaknya itu.
“Berpuluh ribu habis, bisnes rugi saja. Inilah, anak muda.”
“Yang itu bisnes apa pula Tuan?” saya berminat pula mahu tahu.
“Bisnes servis. Anak saya tu graduan ‘architecture’. Jadi bab-bab design ni memang pandai. Jadi ambil job lah, servis klien yang ada. Kecil-kecilan saja. Projek biasa.
Masa nak mula dulu, minta modal nak set up fasiliti pejabat dan keperluan kerja. Dia ajak kawan dia masuk bisnes sama. Saya bagi modal saja. Lepas 6 bulan, kawan dia cabut.
Tak tahulah anak muda zaman sekarang. Susah!”
Dalam hati, saya agak kurang setuju dengan ‘generalisation’ kepada golongan muda ini. Saya juga pernah ada pengalaman pahit bekerja dengan orang muda. Tetapi, seingat saya, ada cara tertentu untuk bekerja dengan orang muda ini.
Antaranya sistem dan SOP. Walaupun bisnes kecil dan baru bermula, kita sebagai yang lebih tua dan berpengalaman, mesti pastikan semuanya in order. Rekod dan dokumen berkaitan mesti ada. Jika tidak, memang risikonya tinggi.
“Tapi, tak apalah. Nampaknya, anak saya pun tak lah give up. Dia nak teruskan. Jadi, saya kata, buat dulu seorang. Kalau perlu ambil staf. Tak payah ambil partner baru.”
Yang ini saya setuju. Memanglah dalam fasa bermula, banyak perkara perlu dipertimbangkan.
Dalam kes Tuan Rahim yang memberikan modal kepada anaknya sendiri, sudah tentu beliau mahu memastikan anaknya juga dapat meneruskan apa yang sudah dimulakan.
“Tapi, saya sukalah tengok Puan punya cara uruskan bisnes.”
Saya tersentak sebentar.
“Ya lah, saya tengok Puan sungguh-sungguh buat promosi. Penuh saja ‘tadika’ Puan.”
Saya senyum. Senyum kelat.
“Oh… itu memang sudah kerja saya. Kenalah buat. Lagipun, yang ini bisnes ada jenama. Banyak juga kena bayar ‘sewa jenama’ ni.”
“Eh, Puan tak nak ajak saya jadi partner ke? Seronok pulak saya tengok bisnes Puan.”
Saya hampir mahu ketawa. Memang begitulah. Apa yang nampak pada mata biasa, seronok itu ialah apabila pelanggan bisnes kita ramai. Pendapatan (revenue) kasar, senang saja, boleh dicongak.
Persepsi yang biasa juga memberikan logik bahawa dengan pendapatan yang besar, orang bisnes dapat bermain dengan margin pendapatan. Terutama untuk bisnes servis. Asalkan kos operasi dapat dikawal, margin keuntungan boleh dinaikkan. Ini logik biasa.
Pada masa itu, saya masih memikirkan apa ayat terbaik untuk saya jawab persoalan Tuan Rahim itu.
“Saya pun berminat juga nak berpartner dengan Tuan. Tapi, untuk bisnes ni saya tak boleh.”
“Eh, kenapa pulak?”
“Yang ini, bisnes francais. Lagipun, syarikat bisnes saya sekarang ada sign perjanjian yang agak ketat. Tak boleh bawa masuk partner sebarangan.”
Tidak ramai yang tahu bahawa sesetengah syarikat ada menandatangan perjanjian-perjanjian yang mengikat bisnes. Selain daripada perjanjian francais, perjanjian debenture dengan funder juga adakalanya perlu ditandatangan bersama dalam pakej ‘memulakan bisnes’.
Tuan Rahim angguk-angguk saja. Saya yakin beliau faham. Apabila menguruskan syarikat Sdn Bhd, ia tidak mudah untuk mengeluarkan dan memasukkan partner baru.
“Hah, ceritalah apa yang Puan akan venture selepas ini.” Tiba-tiba Tuan Rahim menyambung.
Selepas perbualan ringkas itu, saya tidak punya banyak fokus untuk berbual. Saya masih terngiang-ngiang lagi akan pertanyaan-pertanyaan beliau yang menyebabkan saya berfikir panjang.
“Saya berminat nak berpartner dengan Puan.” Ayat berani sekali lagi.
Ini yang membuatkan saya berfikir panjang.
Ayat yang tidak menjanjikan apa-apa yang indah.
Sepanjang malam saya mempersoalkan diri, dengan ayat berani:
“Andai, lelaki yang jauh lebih tua, lama berbisnes, lebih banyak pengalaman bersyarikat, berani mahu berpartner dengan orang yang tiada pertalian dan bukan sahabat baik, yang baru saja melepasi 3 tahun berbisnes, mengapa kita tidak yakin untuk mengambil peluang dan cuba untuk berpartner dengan orang lain?”
Soalan yang hanya memberikan sinar dan harapan untuk sebuah hari yang bernama ‘esok’.
.
Noraminah Omar
2.34 petang
Kajang.
1 thought on “Ayat berani…”
Salam Puan,
Good sharing puan. Cuma sya wonder so what happen next, puan ambik dia jadi partner ke atau source for another pontential partner.
Sya pun tgh confuse ni, saya potential partner ni dan dia agree to become my partner..tpi sya tak tahu dlm pembahgiaan share sbab sya ada vision sendiri yg lagi jauh dan idea dtg dari sya, tapi dia ada jugak teknikal skill..dan dia nak 50-50 dlm ownership. Bagi saya kalau kapal 2 kapten, susah pulak nanti..so saya nak cadangkan 57 share saya punya, tpi takut dia tersinggung pulak. Sekarang tgh pening la ni..kapal tak gerak2 lagi.