Manis dan pahit berbisnes sendiri.

KISAH ORANG BISNES : Manis dan pahit berbisnes sendiri.

 

Pengalaman hidup yang sedikit, dikumpulkan menjadi banyak. Umur yang bermula dari hari pertama persenyawaan dalam rahim ibu, ditunggu, masa dikumpulkan, maka lahirlah seorang manusia. Kita ini, sekadar seorang insan yang mengumpul nombor dan angka yang kita namakan usia.

 

Ada sisa yang masih berbaki bagi mereka yang sudah lama mengumpul. Malah, kesempatan mengumpul umur yang banyak bukanlah satu anugerah kepada semua orang. Hidup dan mati, adalah pasangan yang memang sudah ada sejak azali untuk seorang yang bernama manusia.

 

“Saya sebenarnya dah penat.” Keluh seorang rakan yang berhijrah dari utara ke Kuala Lumpur mengikut suaminya.

 

“Penat berpindah?” Saya sendiri merupakan antara orang yang banyak berpindah. Dalam tempoh 12 tahun berkahwin sudah 5 kali saya berpindah rumah meskipun lokasinya hanya di sekitar Lembah Klang.

 

“Berpindah itu penat biasa. Ni…mengurus bisnes ni. Penat rasanya. Tapi, kalau berhenti, tak tau pula nak buat apa.”

 

Sudah banyak cerita dan kisah yang saya dengar tentang orang bisnes yang membuat keputsan dalam hidupnya dengan banyak perubahan. Daripada berbisnes kepada tidak, satu perubahan besar.

Daripada mempunyai staf dan pelanggan kepada tidak ada staf dan pelanggan, satu perubahan besar. Daripada jumlah RM10 ribu sebulan, kepada RM100 sebulan, sudah tentu banyak perbezaan!

 

“Saya dah lama berpindah ke KL. Tapi, masa di utara dulu memang dah lama buat bisnes ni. Ingatkan, bila pindah KL, udara baru, suasana baru, tak lah rasa penat. Rupanya, masih penat juga.” Kali ini saya sudah tidak tahan. Asyik mengeluh saja, apa sebenarnya rancangan rakan saya ini.

 

“Habis, apa sebenarnya yang menyebabkan Puan penat?”

 

“Entahlah. Semua perkara saya kena buat. Dari operasi harian, pemasaran dan ususkan pelanggan, masih saya juga yang kena turun. Harapkan, staf…entahlah…”

 

“Puan mahu quit?”

Tak. Saya masih mahu buat, cuma saya penat.”

 

“Oh… Saya faham.”

“Puan Min ada cadangan?”

“Cadangan? Boleh. Saya boleh cadangkan. Cuma, Puan sajalah yang perlu tentukan apa yang Puan mahu lakukan.”

Saya sudah banyak berjumpa ramai usahawan dan orang bisnes yang lebih suka berbisnes sendirian. Semua perkara di bawah kuasanya seorang. Banyak perkara mesti datang dengan arahan. Staf dan pelanggan semuanya menerima maklumat dari satu sumber yang sama.

 

“Puan bersedia bekerjasama dengan pihak lain?”

“Maksudnya?”

“Jika berbisnes sendiri macam sekarang, memang penat. Antara penyelesaiannya ialah, buka syarikat. Ada rakan kongsi. Sediakan SOP. Bekerja ikut sistem. Sediakan laporan kewangan yang betul.”

“Alah…bisnes ni kecik aje pun. Untuk sikit aje. Buat apa nak buat semua tu.”

 

Saya senyum. Saya sudah jangka jawapan yang akan saya terima. Rata-rata memang mengaku mereka menjalankan bisnes kecil, untung kecil. Tetapi, seperti biasa, saya hanya percaya kepada angka. Cakap-cakap bisnes begini, susah mahu percaya.

 

“Itu sebabnya saya tak mahu beri cadangan lain. Saya tahu Puan memang suka berbisnes macam sekarang. Jadi, kenalah terima penat tu. Tapi, Puan penat dan seronok bukan?” Wajahnya berubah tiba-tiba.

 

“Dulu, masa tahun pertama memang seronok. Masuk tahun keempat ni, saya rasa macam dah tak seronok. Dulu, untung bisnes boleh bayar gaji lebih. Sekarang, bisnes rugi, saya pulak yang kena bayar untuk buat bisnes.”

 

“Eh? Tidak untung atau belum untung?”

“Masuk tahun ketiga, bisnes dah stagnant. Tak seronok macam dulu. Pelanggan berkurang. Competitor banyak.”

 

Adat berbisnes, memang ada untung ruginya. Apabila berbisnes bersendirian, banyak perkara melekat pada diri kita. Ramai yang pernah berkata bahawa mereka juga semakin tepu memikirkan semua perkara sendirian. Jika ada penasihat pun hanyalah ahli keluarga yang terdekat. Yang paling mudah, sudah tentulah pasangan mereka sendiri.

 

“Puan rasa macam mana? Boleh tak saya buat yang macam Puan cadangkan?” tanya kembali kepada saya.

 

“Apa yang Puan sudah rancangkan?” saya bertanya semula.

 

Bukan apa, memang kebiasaannya begitu. Ramai yang datang bertanya dan meminta khidmat nasihat, bukan untuk mendapatkan khidmat nasihat. Tetapi ianya hanyalah untuk mendapat sokongan atas keputusan yang sudah dibuat.

 

“Sebenarnya, saya memang penat. Hajatnya, saya nak biarkan bisnes berjalan tanpa saya ada. Tapi, saya tak naklah berkongsi dengan orang luar selain saya dan suami dalam bisnes ni.” Perlahan sahaja jawapan yang diberikan.

 

“Anak-anak saya pulak, dah sibuk rancang apa yang mereka nak tahun hadapan. Dari bisnes inilah saya dapat tunaikan permintaan mereka.”

 

“Permintaan apa maksud Puan?”

Ya lah. Yang sulung tahun hadapan mahu masuk universiti. Perlu belikan kereta. Kemudian, yang nombor dua mahu masuk kolej. Mahu motor pula.”

 

Saya terdiam. Bermakna, menguruskan bisnes ini, merupakan satu keperluan untuk beliau memenuhi tuntutan keluarga. Maka, tidak moleklah jika saya mencadangkan untuk beliau menguruskan bisnes secara bersyarikat.

 

Apatah lagi untuk menyediakan laporan kewangan dan seumpamanya, sudah tentu sukar. Lesen enterprise yang beliau ada sekarang, memang membolehkan bisnes diuruskan secara persendirian begitu.

“Jika Puan sudah berniat begitu. Puan teruskan saja dengan perancangan Puan. Tiada apa yang saya boleh lakukan untuk Puan kecuali Puan sendiri bersedia untuk mengubah cara pengurusan.”

 

“Tapi, saya masih mahu agar bisnes ini berjalan tanpa saya. Memang saya penat.”

 

“Kelak, apabila Puan bersedia, Puan susunkanlah perancangan bisnes baru. Mungkin dengan membuka cawangan bisnes yang lain.

Jadi, bisnes yang baru ini nanti, Puan uruskanlah secara bersyarikat yang membolehkan Puan belajar dan akhirnya bersedia menguruskan bisnes. Dengan itu Puan tidak perlu melekat pada bisnes itu lagi.”

 

Beliau angguk-angguk. Raut wajahnya nampak sedih. Namun jelas matanya bercahaya. Saya yakin. Adakalanya, dengan sedikit perkongsian kita memberikan sinar harapan baru.

 

“Buat masa ini, Puan mintalah pekerja yang ada, membuat dokumentasi yang betul. Susun semua fail rekod dan maklumat pelanggan. Sediakan senarai tugas, rutin kerja dan proses menjalankan sesuatu perkara. Semua yang rutin direkodkan.

Nanti, ia boleh dijadikan sebagai sebahagian daripada SOP bisnes Puan.”

 

Beliau angguk-angguk lagi.

 

“Selepas ni, kalau saya minta bantuan Puan boleh?” beliau bertanya semula. Saya senyum, Ini soalan perangkap. Perangkap yang ramai orang bisnes terjerat apabila bercakap-cakap dengan rakan bisnes yang lain.

 

“Boleh. Biasanya 10 emel pertama saya akan jawab saja. Selepas itu, Puan perlu ambil khidmat konsultan berbayar.” Beliau ketawa. Meskipun saya tahu beliau faham maksud saya, ia tidaklah menjadikan ianya satu beban baru kepada beliau.

 

Apa yang utama, apabila pendiri bisnes bersedia untuk ‘tidak berbisnes sendirian’, mereka pasti akan berjumpa jalan penyelesaian.

 

Saya tidak mahu menyentuh tentang peritnya seorang wanita yang berbisnes atas dasar suka, dan kemudian terjerumus dalam perangkap ‘terpaksa menanggung perbelanjaan keluarga’.

Ia bukan fokus yang mahu diketengahkan dalam tulisan kali ini.

 

Sejujurnya, banyak ‘the ugly side of many stories’ yang tidak dikongsikan. Pahit manisnya berbisnes sendirian. Madu dan racun berbisnes dengan pasangan. Cerah dan gelapnya berbisnes bersama adik-beradik kesayangan.

Biarlah ianya menjadi satu perkara yang bersifat eksklusif. Hanya didengarkan kepada orang tertentu sahaja.

 

Orang-orang yang mahu mencari maklumat yang betul untuk membuat keputusan.

Orang-orang yang berani mencabar diri.

Orang-orang yang sanggup menanggung kesan keputusannya sendiri.

Orang-orang yang bersedia mahu berubah!

 

Ya, eksklusifnya, begitu sekali.

 

Noraminah Omar

7.15 pagi

Oktober

Kajang.

 

 

 

 

 

 

Share On Social Media

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on telegram
Share on whatsapp

More Posts

Book Your 30-Minute Discovery on Personal and Business Potential Consultation NOW

Book Your 30-Minute Free Consultation

Anda Mempunyai masalah dalam perniagaan? Takut untuk membuat keputusan yang tepat?

Jangan risau! Kami akan berkongsi cara bagaimana maklumat sedia ada dalam syarikat/bisnes digunakan untuk merancang penambahbaikan dalam bisnes secara keseluruhan.

Dapatkan satu sesi konsultasi melalui telefon PERCUMA.

Download Free EBook

Download Free EBook

PENGURUSAN HR

Dapatkan 12 kandungan hal pengurusan bisnes pusat pendidikan dalam ebook ini. 

Ebook ini merupakan satu refleksi kepada kita sebagai seorang pengurus atau ‘owner’ pusat pendidikan. Dapatkan perspektif yang berbeza.

Tawaran ini sah sehingga 30.12.2020.
Download sekarang!

Buy EBook

Buy Our EBook Now!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.