KISAH ORANG BISNES : Bercakap, membaca dan hidup bernyawa.
Antara bercakap dan membaca, ramai yang memilih untuk bercakap. Rata-rata, bercakap merupakan satu keperluan yang melebihi daripada membaca.
Sudah tentulah. Mahu makan, mesti juga bercakap kepada penggerai untuk order makanan. Paling tidak, mesti bercakap dengan orang kedai apabila membeli bahan untuk memasak.
Nah, bukankah bercakap itu menjadi satu keperluan lebih daripada membaca?
Bagi orang bisnes pula, keperluan bercakap sahaja tidak terhenti dalam konteks untuk memenuhi keperluan diri. Ia melibatkan keperluan menyampaikan maklumat yang betul, fakta, pandangan yang jelas dan pencerahan kepada isu dan situasi tertentu.
Orang bisnes memerlukan persediaan tertentu apabila mahu bercakap. Ia ada tatacara umum dan yang mengkhusus kepada industri dan model bisnes.
Apabila mereka perlu ‘pitch’ idea bisnes, percakapan mereka susunan ayat, nada dan kandungannya mesti berbeza dengan cara mereka bercakap harian.
Bagi kebanyakan orang bisnes yang muda dan masih baru, mereka banyak bercakap-cakap untuk mendapatkan maklumat dan berkongsi pengalaman dengan mereka yang sudah lama berbisnes.
Mereka banyak bercakap-cakap dengan mereka yang berjaya melakukan sesuatu perkara yang mereka juga mahu, bakal atau sedang melakukannya.
Bercakap seperti ini, maklumat, idea dan pandangan berbeza dapat dijadikan satu koleksi panduan. Ia tidak menjamin kejayaan. Tetapi, boleh mengurangkan risiko kerugian.
Malah, konten percakapan pula, banyak yang menjurus kepada perkara-perkara yang positif dan memberikan inspirasi. Tidak semua orang mahu berkongsi ‘cerita hitam’ yang pernah dilalui.
Bahkan, apa juga kerugian atau kelemahan serta perkara yang tidak menggembirakan, sebolehnya mahu sahaja disimpan dalam peti besi dan ditanam di bawah tujuh petala bumi.
‘There is always the dark side of a good story.’
Biasanya, bercakap dengan mereka yang mahu membimbing, yang banyak digelar mentor, membolehkan orang bisnes mendapat maklumat dan sisi pandang yang jelas.
Peluang dan risiko sesuatu perkara sama-sama dihidangkan dan pilihan dibuat dengan adanya pengetahuan dan maklumat yang betul.
Maka, keperluan membaca menjadi salah satu perkara yang menjadi intipati kepada kejayaan orang bisnes yang sudah lama bertapak.
Ini menyebabkan mereka (orang bisnes) boleh menghasilkan konten yang boleh dijadikan buku meskipun mereka mengambil khidmat ‘ghost writer’ untuk menyiapkan manuskrip.
Bercakap dengan konten dan maklumat yang memberi manfaat kepada orang sekeliling hanya boleh berlaku apabila seseorang itu mempunyai suapan ilmu datri bahan bacaan.
Sama ada bacaan berbentuk bercetak atau digital, selagi mana sumber dan kandungannya adalah berbentuk ilmiah dan membina. Ia sudah tentu akan memberikan keunikan dan membolehkan konten yang dibawa oleh individu itu menjadi satu bahan yang autentik.
Konten yang unik dan disebut sebagai autentik ini datang dengan situasi dan aplikasi, hands-on experience serta melibatkan kajian kes lapangan yang dilalui sendiri oleh orang bisnes itu.
Siapa yang menulisnya, tidak menjadi isu. Pada kebanyakan masa, orang bisnes yang sibuk akan bercakap dan percakapannya itulah yang dirakamkan dan ditukarkan kepada teks dan manuskrip yang sesuai untuk tujuan bacaan.
Pembaca pula, sudah tentu bijak memilih kandungan berdasarkan kecenderungan mereka memilih topik-topik yang berkenaan.
Mari kita berbalik kepada topik bercakap dan membaca dikalangan orang bisnes. Ada ramai orang bisnes yang saya temui terutama dikalangan syarikat start-up dan bersifat pengurusan gaya sendiri, tidak mempunyai rutin membaca.
Dalam konteks ini, membaca bermakna membaca bahan yang berkaitan dan menyumbang kepada kelangsungan bisnes, penjanaan minda, pengembangan budaya dan falsafah sebagai orang yang berbisnes.
Membaca sebagai hobi bukanlah satu perkara yang sesuai dibincangkan dalam kerangka membaca untuk orang bisnes.
Membaca sebagai hobi melibatkan bahan bacaan yang bersifat tidak berkaitan secara langsung kepada kelangsungan bisnes, penjanaan minda, pengembangan budaya dan falsafah sebagai orang yang berbisnes.
Bahan-bahan ini termasuklah novel cinta remaja, majalah humor dan hiburan, majalah berbentuk libur dan hobi seperti dekor dan tanaman pokok herba.
Bacaan seumpama ini masih boleh dibaca untuk tujuan lain. Membaca ini ada banyak kategori, jenis dan tujuan.
Sekali lagi, berbalik kepada kumpulan orang bisnes, sudah tentu mereka perlu mengadakan dan menyediakan masa dan ruang untuk membaca bahan bacaan yang mesti memberikan input untuk mencambah idea, pengetahuan dan sisi pandang demi untuk kelangsungan bisnes, penjanaan minda serta pengembangan budaya dan falsafah sebagai orang yang berbisnes.
Sama ada mereka menulis atau tidak, ia perkara kedua. Apabila orang bisnes ini membaca, percakapan dan pertuturan mereka berbeza, Cara mereka berfikir, mengatur dan memimpun juga unik dan dapat dilihat jelas daripada sikap dan gaya mereka menerima pandangan dan idea baru.
Ia juga dapat dilihat dalam konteks gaya hidup dan budaya bergaul sesama orang bisnes yang lain khususnya dan masayarakat secara amnya.
Orang bisnes yang banyak membaca mampu memberikan fokus kepada perkara pokok dalam perbincangan. Mereka yang banyak membaca bijak mengasingkan perkara emosi dengan fakta. Mereka tahu masa yang sesuai untuk menjawab dan bertanya serta masa untuk mendiamkan diri.
Ramai orang bisnes yang banyak membaca, mempunyai daya percaya diri yang tinggi. Pun begitu, cukupkah dengan membaca?
Membaca dan bercakap datang seiring. Apabila apa yang dibaca dibincangkan, dikongsikan dan menjadi satu perkara yang dipersetujui untuk digunakan atau diamalkan, ia menjadi satu lagi tambahan konten yang berbentuk autentik untuk dipanjangkan dalam komuniti bisnes sedia ada. Malah, dalam pengurusan sebuah syarikat juga, pembacaan yang dibawa dalam sesi bercakap yang betul akan membolehkan entiti itu banyak berinovasi.
Maka, sudah tiba masanya orang bisnes berjalan seiring dalam hal membaca dan bercakap. Meskipun menulis bukanlah aktiviti yang dibincangkan dalam tulisan kali ini, sesungguhnya tiga kemahiran yang sudah dibangunkan sejak dari awal kejadian kelahiran tidak boleh dihentikan selagi ada kehidupan.
Mendengar, membaca dan menulis adalah kemahiran yang diasah di institusi pendidikan. Bercakap, membaca dan menulis konten yang autentik merupakan satu aplikasi dalam sebuah kehidupan.
Hidup yang hanya dengannya, boleh disebut sebagai ‘bernyawa’.
Mungkinkah masih adakah orang bisnes yang hidup tanpa nyawa?
Noraminah Omar
2.22 petang
Kajang
Oktober.