KISAH ORANG BISNES : Orang lama yang baru, orang baru yang lama.
Cara , gaya dan amalan dalam setiap yang kita lakukan banyak dikaitkan dengan budaya. Malah, budaya hari ini sudah dilihat dengan lebih meluas. Ia bukan sekadar mengimbau tradisi lama, lagu, tarian dan masakan semata-mata.
Budaya kini banyak dibincangkan dalam perspektif membangunkan hidup bermasyarakat, kepimpinan dan hubungan kemanusiaan. Tidak hairanlah kini, di atas pelbagai platform termasuklah wacana penulis, orang bisnes dan orang seni, kemanusiaan menjadi antara topik pilihan.
Bagaimana bisnes dikaitkan dengan budaya?
Apakah yang dikatakan kaitan antara bisnes dan kemanusiaan?
Semua orang tahu. Dalam pengurusan mana-mana syarikat bisnes, manusia menjadi sumber utama. Hatta mempunyai wang berjuta, tanpa ada manusia yang menggerakkannya, tidak ke mana juga.
Malah, ramai juga yang mencanangkan bahawa, orang-orang yang ada dalam syarikat adalah aset kepada syarikat.
Dalam perspektif masing-masing, dilihat ada banyak sudut pandang. Organisasi syarikat dilihat dengan kacamata yang berbeza dari satu kumpulan dengan kumpulan yang lain.
Kumpulan manusia ini pula masing-masing mempunyai tujuan individu dan objektif kumpulan. Secara amnya, semua bekerja untuk mendapatkan habuan dan imbuhan masing-masing.
Manakala, kumpulan pengurusan pula, mahu mendapat hasil daripada perkembangan dan pergerakan secara berkumpulan.
Yang nyata, kedua-duanya mahukan habuan dan imbuhan masing-masing.
Orang lama dalam syarikat, yang biasanya mempunyai satu ‘kuasa’ yang tidak dapat dilihat, meupakan antara orang-orang yang dilihat ‘significant’ terutama dalam memberikan pandangan, idea dan saranan.
Orang baru pula, memainkan peranan yang dilihat sebagai satu elemen menyeimbangkan dan menyuntik nafas baru kepada kumpulan pengurusan syarikat.
Bagi ramai orang bisnes, adanya orang lama dan orang baru dalam satu kumpulan menjadi satu kelebihan dan kekurangan. Pun begitu, ia masih bergantung bagaimana budaya dan cara bekerja diamalkan dalam organisasi , iaitu syarikat bisnes.
Orang lama dan orang baru pula mempunyai ‘pre conceived ideas’ dalam banyak hal dan perkara. Lama juga masa yang diperlukan untuk kedua-duanya dapat menerima gelombang perubahan.
Apa yang kita lihat sekarang, tidak akan sama dengan apa yang bakal berlaku 2 tahun akan datang. Generasi muda hari ini, mempunyai banyak idea dan gaya bekerja yang keluar jauh dari kerangka pengalaman yang dilalui oleh orang lama.
Hakikatnya, orang lama, mempunyai banyak kelebihannya sendiri. Mereka yang lebih muda, mempunyai kekuataannya sendiri.
Dalam konteks mengurus, kedua-dua kumpulan manusia ini, mempunyai fasa perkembangannya sendiri. Sama ada mereka terus dapat melangsungkan apa yang direncanakan atau tidak, ia melibatkan banyak faktor dalaman dan luaran.
Ada faktor boleh kawal dan ada yang tidak.
Bagi orang bisnes, apabila mereka menguruskannya, keputusan yang mereka ambil mesti memberikan kesan kepada hasil. Dalam bisnes, hasil yang dilihat ialah angka-angka.
Dengan erti kata yang lain, orang lama dihormati, orang baru disantuni.
Pernahkah dua kumpulan ini bertelingkah?
Budaya Melayu yang indah dan tinggi nilai bahasanya yang dapat dilihat jelas dalam bahan-bahan rujukan dan bacaan menunjukkan bagaimana orang lama, menitikberatkan tentang rasa hormat dan sopan-santun.
Malah, dalam konteks penulisan kali ini, penulis melihatnya sebagai satu cabaran untuk mengetengahkan situasi sebenar dan bersifat ‘evergreen’ tentang adanya konflik antara mereka yang ‘lama’ dan ‘baru’.
Meskipun orang bisnes tahu akan keperluan kepada fokus yang betul, hal ehwal pengurusan manusia tidak dapat dielakkan. Keperluan kedua-dua kumpulan manusia ini mesti diambil tahu dengan betul.
Istilah ‘lama’ dan ‘baru’ tidak menjurus kepada umur, tetapi tempoh mereka berada dalam industri dan dunia bisnes.
Perkataan ‘lama’ dan ‘baru’ bukan menunjukkan usia mereka hidup, tetapi lebih merujuk kepada tahap ilmu pengetahuan yang ada.
‘Lama’ dan ‘baru’ bukan tentang tua atau muda, tetapi lebih fokus kepada cara berfikir dan budaya kerja. Nah, meskipun ada yang berusia 60 tahun, mereka boleh masuk dalam deskripsi ‘lama’ dan ‘baru’!
Kebolehan setiap orang tanpa mengira umur dan pengalaman peribadi beradaptasi, mempelajari perkara baru, sentiasa berinovasi menjadikan setiap mereka perlu dihormati sebagai orang lama dan disantuni sebagai orang baru.
Dalam bisnes, belajar, aplikasi, mengajar dan mempelajari merupakan satu proses berulang. Ia berlaku kepada semua bahagian dan kepada semua golongan. Apabila ia tidak berlaku kepada mana-mana individu, ia menyebabkan kesan ‘perbezaan’ dan ‘tidak persefahaman’ timbul dalam kumpulan tersebut.
Dalam zaman maklumat bergerak dengan cepat dan tersebar dengan luas, budaya kerja dalam syarikat dan perjuangan setiap pendiri syarikat itu banyak memberi kesan langsung kepada pengurusan kumpulan manusia di dalamnya.
Apabila yang lama dan baru masih mahu terus dengan kedudukan sedia ada, maka apa yang tidak tahu, tidak mahu dipelajari.
Apa yang tidak diketahui, tidak mahu diambil tahu.
Apa yang disukai menjadi pilihan utama daripada apa yang perlu dilakukan.
Apa yang boleh dilakukan lebih utama daripada mencabar diri dan membuat inovasi dan merancang perubahan.
Apa yang senang dan mudah, itulah yang jadi rebutan.
Dengan erti kata lain, kejayaan lama, pengalaman lalu, menjadi satu dinding halimunan tanpa sedar. Penghalang dalam diam.
Lalu, di mana kita?
Sedangkan belakang parang diasah boleh menjadi tajam.
Sedangkan, air yang berterusan menitik mampu melekukkan batu.
Lalu, di mana kita?
Di mana kita berdiri dan duduk dalam kumpulan orang bisnes itu?
Apakah kita masih bersama dalam kumpulan orang lama yang perlu dihormati atau orang baru yang hanya disantuni?
Noraminah Omar
31 Oktober 2015
3.30 pagi
Kajang.