KISAH ORANG BISNES : Akaun bank mana yang betul?
Ramai yang bercerita tentang pentingnya wang dalam bisnes. Maklumlah, mahu memulakannya juga perlukan wang. Menguruskannya, sudah tentu memerlukan lebih banyak wang.
Bisnes sudah tentulah melibatkan transaksi wang. Apabila ada produk atau servis yang diberikan, sudah tentu ada bayarannya, bukan?
Logiknya, begitu. Bisnes itu wang. Wang pula, banyak dikaitkan dengan bank. Pernah ada seorang rakan bisnes yang menjalankan bisnes secara online ditanya.
“Benarkah boleh buat duit secara online?”
Rakan saya ini menjawab, “Aku tak buat duit online. Aku buat duit kat bank.”
Jawapannya kedengaran kelakar dan sedikit sarkastik. Saya juga tersenyum saat mendengar perbualan mereka. Ya. Hakikatnya, orang bisnes itu berkait langsung dengan wang. Duit.
Maka, mahu tidak mahu, bank adalah satu ejensi yang terlibat. Apa sahaja namanya bermula A hingga Z, semuanya berkenaan membuka akaun dan menjadi platform kemasukan wang dari pelanggan. Ia juga, menjadi platform mengeluarkan wang untuk perbelanjaan.
Bank. Ini satu pilihan wajib. Maka, ada apa dengan membuka akaun bank yang betul?
Orang bisnes ada banyak akaun. Bannyak jenis akaun. Ini hakikatnya. Mereka akan bercakap tentang akaun semasa dan akaun persendirian. Ada SATU lagi AKAUN istimewa yang jarang dibincangkan secara terbuka oleh banyak orang bisnes.
Orang bisnes ada satu jenis akaun yang besar. Lebih besar daripada akaun mana-mana bank di dunia. Ia digelar akaun “Bank Sosial”.
Akaun yang dibuka dalam “Bank Sosial” ada banyak jenis. Antara akaun yang popular ialah “Akaun Penyelesaian”. Akaun ini, merupakan pelaburan jangka masa pendek. Modalnya rendah. Lagi banyak keluar dan masuk depositnya, lagi banyak dividen yang diperolehi. Tambahan pula, lebih kerap pembayarannya dibuat.
Ada satu lagi akaun yang lebih popular. Akaun ini dkenali sebagai, “Akaun Emosi”. Ia merupakan pelaburan jangka masa panjang. Walaupun sedikit, hasilnya akan berlarutan dan berkembang. Modalnya juga besar. Penat dan menyakitkan mengumpulkan modalnya.
Orang bisnes terkenal dengan mereka yang berhati-hati. Mereka mengurus risiko. Mereka tidak kedekut, tetapi sentiasa mengoptimumkan perbelanjaan. Mereka berhati-hati dengan apa yang didepositkan.
Apabila membuka “Akaun Penyelesaian”, mereka menjadikannya sebagai portfolio utama. Ia boleh dipecah-pecahkan lagi. Akaun ini akan memberi manfaat yang besar dengan keaktifan dan kekerapan transaksi. Ia tidak bergantung kepada nilai depositnya semata-mata.
Apabila membuka “Akaun Emosi”, ia umpama “disbursement account” sahaja. Dimasukkan apabila ada keperluan untuk mengeluarkannya. Maka, ia tidak ada pelaburan khusus dan komitmen yang besar. Namun, ia perlu ada.
Banyak situasi berlaku yang menyebabkan kita mengambil keputusan dalam sesuatu perkara. Kita akan mencari maklumat dan bercakap dengan orang yang kita ‘suka’ dan ‘percaya’.
Orang bisnes katanya, sering menekankan kepada angka. Mereka objektif dan fokus kepada perkara yang mereka mahukan. Ada yang fokus kepada produk, ada yang fokus kepada pelanggan.
Orang bisnes menyusunkan fokus mengikut keperluan dan susunan tugas dalam syarikat bisnes. Itu khabarnya.
Orang bisnes juga mempunyai tugas untuk menambahkan deposit dalam akaun “Bank Sosial” mereka. Katanya, dengan ber’networking’. Mereka perlu menambah kenalan dalam jaringan bisnes.
Orang bisnes juga dikhabarkan berbelanja besar untuk menguruskan dan mengembangkan ‘jaringan bisnes’ ini. Katanya, ia menjadi deposit mereka yang besar dalam “Bank Sosial” ini.
Lalu mereka berjumpa dengan ramai orang bisnes lain. Orang bisnes juga diceritakan sering dan akan terus melakukan 3 perkara di bawah:
1] Bercakap-cakap dengan orang bisnes yang lain. Kemudian mereka bertanya kepad diri sendiri, “Selepas bercakap, apakah masalah bertambah?”
2] Berbincang dengan orang bisnes yang lain. Kemudian mereka bertanya kepada diri sendiri, “Setelah berbincang, apakah masih tidak bertemu jalan penyelesaian?”
3] Berjumpa, bercakap dan berbincang. Kemudian mereka bertanya kepada diri sendiri, “ Apakah kita masih tidak ada ‘actionable plan’?”
Apabila orang bisnes memberi jawapan YA kepada 3 perkara di atas, bermakna mereka tahu bahawa mereka perlu berhenti. Mereka hanya membuang masa membuka dan membuat simpanan di akaun bank yang salah!
Buka akaun di ‘Penyelesaian’, dan bukan akaun ‘Emosi’. Bank Sosial akan menerima semua pembukaan akaun secara terbuka. Tiada soal siasat. Semua boleh.
Kali ini, saya melihat agenda membina jaringan bisnes sebagai satu deposit yang baik dan bagus. Ia boleh memberikan pulangan apabila disimpan dan disusun dengan baik. “Bank Sosial” yang mempunyai akaun utama orang bisnes, dijaga dengan harga etika dan integriti.
Apabila orang bisnes tidak menjaganya, dengan sendirinya nilai deposit yang disimpan dalam “Bank Sosial” akan menurun nilainya. Ada banyak khabar dan cerita orang bisnes yang dikisahkan.
Perihal menghabiskan wang untuk deposit masuk kedalam “Bank Sosial” adalah antara kisah yang disimpan. Ia umpama kisah air jernaih dalam bekas yang berdebu. senyap. Ia kisah cinta luka, yang ditanam dalam lubuk yang paling dalam.
Dalam dunia sebenar orang bisnes,“Bank Sosial” ada banyak nama. Kelab, persatuan, dan pertubuhan sebahagian dariapdanya. Ia punya kosnya tersendiri. Ia ada manfaat masing-masing.
Yuran dan manfaat keahlian berbeza daripada satu dengan yang lain.
Yang nyata, saya melihat orang bisnes ini adalah antara mereka yang perlukan integriti dan etika yang tinggi. Mereka punya perjuangan dalam diri. Mereka selaraskan dengan perjuangan kumpulan manusia yang disertai.
Mereka memilih untuk memasukkan deposit ke dalam bank yang betul dengan membuka akaun yang tepat!
Noraminah Omar
10.12 malam
November
Kajang.