Bekerja dalam sebuah syarikat sudah tentu melibatkan komunikasi dan organisasi. Ada yang perlu melapor kepada seorang Bos ada yang perlu melapor kepada lebih daripada seorang Bos.
Suasana ini berbeza dari satu syarikat dengan yang lain. Rata-rata, ramai yang bercerita tentang pengalaman pahit dengan Bos. Tidak kurang yang menyatakan bahawa Bos adalah punca ramainya orang berhenti kerja.
Dalam tulisan ini, kita mahu melihat satu sudut sisi pandang yang berbeza. Hakikatnya, sukar sekali kita mendapat peluang untuk memilih Bos. Mahu tidak mahu, kita perlu membina pengalaman di peringkat awal untuk membina kerjaya di masa hadapan.
Meskipun cita-cita kita mahu berbisnes, adalah baik jika kita punya pengalaman bekerja yang mencukupi. Ini menjadi lebih penting apabila kita mendapat peluang bekerja dalam bidang dan industri yang bisnesnya kita mahu ceburi.
Ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk memastikan kita dapat menyusun diri dan kerja dengan Bos. Tujuan dan asas hubungan kita dengan Bos ialah kerja. Kerja yang perlu dilakukan untuk tujuan dan dengan hasil tertentu yang mahu dicapai.
- Pastikan bidang kerja yang jelas diberikan.
Sudah menjadi tugas Bos untuk memberikan penerangan kepada kita tentang tugas-tugas yang penting. Namun, tugas kitalah untuk memastikan semua maklumat adalah lengkap dan kita faham dengan betul.
Adakalanya, kita perlu bertanya agak kerap untuk memastikan kita faham akan sasaran dan keperluan kerja kita itu. Rata-rata, Bos mempunyai ‘expectation’ tertentu apabila mereka bersetuju menerima kita sebagai pekerjanya.
- Sentiasa ‘update’ Bos
Setiap Bos mahu melihat hasil daripada kerja yang kita lakukan. Bos juga sering mempunyai banyak kerja dan bidang tugas yang mungkin kita sendiri tidak jelas.
Kesibukan ini membuatkan ramai Bos tidak mempunyai masa yang khusus untuk bertanya dan membuat ‘follow up’ kepada stafnya, termasuklah kita. Adakalanya, Bos sebagai manusia juga, lupa.
Menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk sentiasa mengemaskini dan memberikan maklumat terkini kepada Bos. Ini lebih penting apabila tugas kita itu memerlukan masa yang singkat untuk diselesaikan. Tugas yang melibatkan skala kerja yang besar juga menjadi penting.
- Dapatkan nasihat dan panduan dari Bos
Sesibuk mana sekalipun Bos, mereka sebenarnya orang-orang yang sentiasa bersedia dan suka memberikan input kepada ahli tim yang ada. Sebaiknya, semak masa dan ruang perbincangan yang sesuai dengan Bos.
Dapatkan maklumat dan nasihats erta panduan daripada Bos sendiri. Secara tidak langsung, kita dapat menguruskan risiko kecuaian dan kerugian dalam usaha menjalankan kerja kita.
- Kenalpasti gaya dan cara kerja Bos
Adalah menjadi kelebihan kepada kita kepada Bos apabila kita bijak mengenalpasti gaya kerja Bos. Apabila seorang Bos itu seorang yang serius dalam kerja, elakkan membuat lawak semasa bekerja.
Ada juga Bos yang menguruskan jadual kerjanya secara terancang. Bos seperti ini, biasanya tidak suka dengan situasi ‘last minute’. Bersedialah awal apabila bekerja dengan Bos seperti ini. Rancangkan kerja kita agar selari dengan jadual kerja Bos kita itu.
Adakalanya, Bos dalam bidang kerja tertentu lebih suka berkomunikasi melalui emel dan SMS. Kita mestilah faham dan gunakan medium komunikasi yang kita lihat Bos lebih selesa menggunakannnya.
- Berikan sokongan dan kesetiaan kepada Bos
Semua organisasi dan syarikat menjanjikan kerja dan tugas tertentu kepada Bos. Malah, Bos kita juga mempunyai Bos yang lain. Mereka juga perlu melapor dan menjalankan tugas tertentu.
Oleh itu, Bos memerlukan sokongan daripada kita dalam hal-hal menyelesaikan tugas dan kerja. Apabila timbul situasi tertentu yang melibatkan masa melebihi waktu kerja, berilah sokongan untuk menyelesaikan kerja bersama.
Elakkan daripada menrungut-rungut tentang kerja. Bos yang baik akan sentiasa memerlukan sokongan dan kesetiaan kita. Mereka juga menghargai dan tahu menilai.
- Jujur dan berani berkata tidak kepada Bos
Hakikatnya, seorang Bo situ juga manusia seperti kita. Kita juga perlu jujur dan berani berkata tidak kepada Bos. Ada banyak situasi dimana kita sering cuba untuk menjaga hati Bos.
Tugas kita ialah untuk memastikan kerja dan hal-ehwalpencapaian kerja dijaga dengan baik. Apabila diberikan tugasan yang bersifat peribadi manfaatnya, kita mesti berani keta tidak.
Apabila kita menerima tugas yang terlampau berat dan akan mengganggu tugas utama, kita mesti bersedia menyatakan kebenaran. Berikan cadangan dan katakana tidak kepada perkara yang merugikan pekerjaan dan syarikat.
Satu perkara yang kita mesti yakin ialah, Bos yang bijak akan memahami situasi pekerja dan pekerjaannya.
- Apabila berhenti kerja keluar dengan baik
Sudah tentu kita tidak mahu mengalami sebarang konflik dengan Bos. Namun, sekiranya ia masih terjadi, ambillah langkah yang positif. Sekiranya perlu berhenti, semak tatacara dan prosedurnya.
Ikuti setiap langkah dengan baik. Hubungan antara kita dan Bos tidak harus diputuskan.
Usah dibakar jambatan yang sudah kita lalui. Kelak, kita mungkin perlu menyeberang dengan jambatan yang sama.
Ramai yang berhenti kerja kerana Bos. Tetapi, lihat sahaja sekeliling. Sebenarnya, lebih ramai yang berjaya membina kerjaya atas rekomendasi Bos dan bekas Bos. Sama ada dalam kerjaya dan bisnes, kenalan dan rekomendasi Bos menjadi antara faktor terjalinnya ‘network’ yang besar.
Lebih mudah saya katakana, Bos itu umpama FACEBOOK. Ramai yang menggunakannya. Apabila digunakan dengan betul, banyaklah manfaatnya. Apabila salah penggunaannya, bencanalah yang menunggu kita.
Noraminah Omar
5.20 pagi
Kajang