10 MITOS DAN KEBENARAN BISNES PENDIDIKAN

Terdapat beberapa perkara menarik yang saya temui sepanjang penglibatan saya dalam industri pendidikan kanak-kanak. Rupanya, ada banyak ‘sangkaan’ yang dipercayai oleh mereka yang berada di luar industri.

 

Tidak ramai yang mahu menceritakan kisah sebenar pahitnya sesuatu perkara. Apa yang ditunjukkan ialah kejayaan. Cerita kejayaan mendapat perhatian dan itulah yang mahu didengar orang.

 

Manakala cerita pahit dan kerugian pula jarang diceritakan terutama apabila ia melibatkan nama baik dan maruah. Mempunyai jaringan bisnes yang kuat serta ilmu melalui pembacaan, kita berpeluang mendapat maklumat yang seimbang. Mari kita lihat 10 perkara biasa yang sebenarnya tidak seperti yang disangka.

 

Pertama, ramai yang menyangka menjalankan bisnes tadika memberikan kebebasan masa. Ini banyak diperkatakan oleh wanita bekerja yang mahu berhenti dan menjalankan bisnes sendiri. Malah, ramai juga suami atau ibu bapa yang menyokong keputusan ahli keluarga mereka untuk menjalankan bisnes tadika dengan fahaman yang sama.

 

Ini menjadikan tujunan mereka menjalankan bisnes terpesong sama sekali.

 

Kebenarannya, semua jenis bisnes hanya akan memberikan kebebasan masa kepada pengusaha untuk melakukan apa yang beliau mahu lakukan dengan pengurusan bisnes yang terancang dengan menggunakan polisi dan sistem yang betul.

 

Apabila menceburi bisnes pendidikan kanak-kanak, masa untuk keluarga akan menjadi lebih berkurangan sehinggalah kita menemui formula pengurusan terbaik dan dapat mengambil pekerja yang betul.

 

Ketika ini, sudah ada sistem asas dan SOP untuk menjalankan dan menguruskan bisnes kita dengan lancar.

 

Apabila menjalankan bisnes sendiri, kita juga amat cenderung bekerja di luar waktu pejabat dan hujung minggu. Malah, kita terdorong untuk membawa banyak kerja untuk disiapkan di rumah.

 

Mempunyai bisnes, terutama yang baru sahaja dimulakan, memerlukan satu sistem pengurusan yang baru. Ini juga mengambil masa. Banyak aktiviti berkala dalam peringkat awal bisnes, yang memerlukan kehadiran fizikal pengusaha.

MITOS 1

Bisnes tadika memberikan kebebasan masa.

KEBENARANNYA

Semua jenis bisnes hanya akan memberikan kebebasan masa kepada pengusaha untuk melakukan apa yang beliau mahu lakukan dengan pengurusan bisnes yang terancang dengan menggunakan polisi dan sistem yang betul.

 

 

Kedua, ramai yang menyangka kejayaan bisnes adalah dengan memasang niat dan tujuan yang betul. Berbisnes mestilah dengan niat ikhlas.

 

Hakikatnya, ikhlas diperlukan dalam semua perkara, bukan sahaja bisnes. Malah, niat yang dibuat secara khusus secara individu juga ada yang boleh dilakukan dan dicapai tanpa menjalankan bisnes.

 

Sebagai contoh, sekiranya kita tidak menjalankan bisnes sekalipun, kita mesti menunaikan tanggungjawab wajib dan yang rukun sebagai orang Islam. Tidak perlu memjalankan bisnes untuk semua itu. Bekerja juga boleh. Duduk di rumah juga boleh.

 

Bisnes yang berjaya ialah bisnes yang berstrategi dan mempunyai taktik yang terancang. Antara objektif bisnes dan niat kita sebagai individu itu memang berbeza.

 

MITOS 2

Kejayaan bisnes adalah dengan niat dan tujuan yang ikhlas.

 

KEBENARANNYA

Bisnes yang berjaya adalah bisnes yang berstrategi dengan taktik yang terancang.

 

 

Ketiga, ramai yang menyangka bahawa memasuki bidang bisnes pendidikan kanak-kanak ini ialah satu perkara yang mulia. Maklumlah, mendidik anak-anak kecil yang bersih dari dosa. Ilmu yang bermanfaat itu disampaikan seawal usia anak-anak yang berumur 4 tahun. Bukankah pahala daripada ilmu yang disampaikan dan diamalkan itu nanti akan lebih berpanjangan?

 

Hakikat ‘mulia’ ini sebenarnya ada dalam semua jenis bisnes. Asalkan ianya dijalankan dengan cara yang baik, berlandaskan syariah tanpa ada unsur penindasan kepada mana-mana pihak, pastilah ianya mulia dan memuliakan mereka yang terlibat.

 

Lumrah kehidupan sudah menunjukkan kepada kita dengan jelas. Apa yang ada di dunia ini pasti ada lawannya. Hidup lawannya mati. Kaya lawannya miskin. Maka, mulia lawannya hina. Ini hukum alam.

 

Maka, sudah tentulah apa juga yang kita lakukan termasuk bisnes pendidikan kanak-kanak, bukan sahaja boleh menjadikan kita mulia, malah boleh menjadikan kita hina.

 

MITOS 3

Bisnes pendidikan kanak-kanak adalah bisnes yang mulia.

KEBENARANNYA

Semua bisnes yang berlandaskan syariah adalah mulia.

 

Keempat, ramai yang menyangka bahawa bisnes pendidikan kanak-kanak ini menguntungkan. Memandangkan kepada logik akal yang mengatakan bahawa mengajar a, b dan c kepada kanak-kanak tidaklah sesusah mengajar fizik untuk tingkatan empat. Ianya jauh lebih mudah.

 

Malahan ramai yang menyangka bahawa anak-anak akan lebih mendengar kata dan mudah diurus.

 

Bisnes yang menguntungkan ialah bisnes yang memberikan penyelesaian kepada masalah dan menambah nilai dalam hidup pelanggan melalui produk atau servis yang diberikan.

 

Selagi produk atau servis yang ditawarkan oleh bisnes itu memberi manfaat kepada pelanggan, sudah tentu ia menguntungkan.

 

MITOS 4

Bisnes pendidikan kanak-kanak adalah sangat menguntungkan.

KEBENARANNYA

Bisnes yang memberikan penyelesaian kepada masalah dan menambah nilai hidup pelanggan melalui produk atau servis yang diberikan adalah bisnes yang menguntungkan.

 

 

Kelima, ramai yang menyangka semua orang boleh menceburi bisnes pendidikan terutamanya bisnes tadika. Dengan adanya pelbagai model bisnes dan sistem pengurusan yang terkini, seseorang itu tidak perlu mahir dalam semua bidang yang berkaitan dengan bisnes dan pendidikan kanak-kanak.

 

Ya, semua orang boleh menceburi bidang bisnes pendidikan.

 

Tetapi, hanya mereka yang mempunyai ilmu bisnes yang betul akan berjaya dalam bisnes yang sesuai dengan kemahiran yang dimiliki oleh orang-rang didalam kumpulan bisnesnya itu.

 

Penyusunan pengurusan syarikat dan pemilihan model bisnes yang betul, masih memerlukan kebijaksanaan yang tertentu daripada mereka yang terlibat.

 

Bak kata pepatah, ”Usah diletak Sang Itik di padang pasir. Ia dijadikan untuk hidup berdekatan air.”

 

MITOS 5

Sesiapa pun boleh menceburi bisnes tadika.

KEBENARANNYA

Sesiapa pun boleh menceburi bisnes. Tetapi, hanya mereka dengan DNA bisnes yang betul akan berjaya dalam bisnes yang sesuai dengan DNAnya itu.

 

Keenam, ramai yang menyangka, asalkan ada cukup wang sebagai modal, bisnes akan berjalan dengan baik.

 

Kita juga selalu mendengar banyak rungutan menyatakan bahawa situasi tidak mempunyai modal wang yang cukup untuk memulakan dan mengembangkan bisnes menjadi punca kegagalan dalam bisnes.

 

Hakikatnya, bisnes boleh berjalan dengan baik apabila sistem yang baik digunakan. Sistem dalam bisnes banyak kaitannya dengan kemahiran bisnes. Hanya mereka yang mempunyai kemahiran yang betul sahaja yang mampu menyusun dan menguruskan bisnes dengan lebih sistematik.

 

Modal? Ya, sudah tentu penting. Namun, kita juga mendengar berapa banyak bisnes yang mempunyai modal dan biaya besar yang mengalami kerugian. Banyak juga bisnes yang tutup meskipun mempunyai modal wang yang mencukupi.

 

Dengan model bisnes dan sistem yang betul, wang modal boleh dijana dengan pelbagai cara.

 

 

MITOS 6

Asalkan ada modal yang cukup, bisnes akan berjalan baik.

KEBENARANNYA

Bisnes akan berjalan dengan baik apabila sistem yang baik digunapakai.

 

Ketujuh, ramai yang menyangka bahawa bisnes pendidikan terutamanya tadika, boleh dimulakan denngan mudah. Antara tafsiran ‘mudah’ ialah kos permulaan yang rendah.

 

Semua jenis bisnes mempunyai mempunyai cabaran. Sama ada mudah atau sukar, cabaran ini sangat subjektif untuk dinilai. Secara amnya, cabaran dalam sebuah bisnes itu boleh dilihat melalui bisnes model. Analisa ini boleh dilakukan dengan adanya kemahiran menganalisa bisnes model.

Apabila kita faham dengan jelas akan bisnes modelnya, maka mudah untuk kita menguruskannya. Apabila menghadapi kesukaran, kita akan dapat mencari jalan penyelesaian.

 

Tidak ada bisnes yang mudah.

 

 

MITOS 7

Bisnes tadika adalah bisnes model yang mudah.

KEBENARANNYA

Bisnes model hanyalah satu pelan bisnes yang telah dibuktikan berkesan dan berjaya. Tidak ada bisnes yang mudah.

 

 

 

Kelapan, ramai yang menyangka bahawa wanita dapat menguruskan bisnes tadika dengan lebih baik. Ciri-ciri dan naluri wanita yang keibuan dan dekat dengan anak-anak, sering dikaitkan dengan kejayaan mereka dalam bisnes pendidikan kanak-kanak dan tadika.

 

Individu yang berjaya dalam bisnes pendidikan terutamanya tadika ialah mereka yang mempunyai mempunyai karisma kepimpinan serta mempunyai ilmu bisnes, akan dapat mengurus dengan baik.

 

Wanita yang menguruskan seperti menguruskan dapur mereka dirumah mempunyai risiko yang tinggi.

 

Kejayaan juga adalah subjektif. Sebahagian besar daripada kita melihat kejayaan berdasarkan jumlah wang dalam syarikat yang dikutip secara bulanan. Ada juga yang mentafsirkan kejayaan dengan adanya jumlah tadika yang berjaya dibuka.

 

Apa juga bentuk kejayaan, jantina sebagai wanita bukanlah satu faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan itu.

 

MITOS 8

Wanita dapat menguruskan bisnes tadika dengan lebih baik.

KEBENARANNYA

Mereka yang mempunyai mempunyai karisma kepimpinan yang tahu bisnes akan dapat mengurus bisnes dengan baik.

Kesembilan, ramai yang menyangka bahawa cabaran utama dalam bisnes tadika ialah isu pertukaran guru yang kerap. Ini memang terjadi dalam industri bisnes pendidikan, terutamanya tadika.

 

Semua bisnes ada cabarannya yang tersendiri. Isu dan situasi yang melibatkan sumber manusia merupakan situasi normal yang dihadapai oleh semua jenis bisnes.

 

Meskipun ia agak jelas kelihatan dalam bisnes pendidikan terutama tadika berbanding dengan bisnes lain, isu pekerja kerap berhenti dan bertukar ialah isu sejagat yang bersifat ‘evergreen’.

 

MITOS 9

Cabaran utama dalam bisnes tadika adalah isu pertukaran guru yang kerap.

KEBENARANNYA

Cabaran dalam bisnes ialah bisnes itu sendiri.

 

Kesepuluh, ramai yang menyangka bahawa tadika adalah keperluan asas pelanggan yang membolehkan bisnes ini melalui sebarang keadaan ekonomi. Melihat kepada situasi semasa, semua ibu bapa mahu menghantar anak mereka ke pusat pendidikan formal seawal 3 tahun lagi.

 

Ya, ‘pendidikan’ ialah keperluan asas. Namun, pendidikan yang betul-betul memenuhi keperluan pelanggan sahaja yang akan berjaya melalui sebarang keadaan ekonomi dengan baik.

 

Baik. Mari kita lihat di sekitar kawasan perumahan terdekat. Berapa buahkah tadika dan pusat pendidikan kanak-kanak yang ada?

 

Bilangan tadika dan pusat pembelajaran tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Bermakna, ibu bapa mempunyai banyak pilihan. Pelbagai program dan aktiviti menarik ditawarkan dengan pakej harga yang berbeza.

 

Ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa mempunyai kuasa memilih meskipun menghantar anak ke tadika merupakan keperluan asas mereka.

 

Maka, pendidikan yang benar-benar memenuhi keperluan ibu bapa dan masyarakat merupakan institusi yang menjadi pilihan mereka.

 

Kejayaan bisnes pendidikan terutama tadika banyak bergantung kepada bagaimana mereka berubah dan memenuhi keperluan pembangunan insan untuk masa hadapan.

 

 

MITOS 10

Tadika adalah keperluan asas yang membolehkan bisnes ini melalui sebarang keadaan ekonomi tanpa masalah..

KEBENARANNYA

‘Pendidikan’ ialah keperluan asas. Pendidikan yang memenuhi keperluan asas pelanggan akan melalui sebarang keadaan ekonomi dengan baik.

 

 

Kepelbagaian persepsi masyarakat sekitar telah membentuk bagaimana bisnes pendidikan kanak-kanak ini dijalankan. Perkembangan semasa melihat pertumbuhan yang baik. Banyak institusi pendidikan tinggi mula memenuhi keperluan industri dengan menawarkan program latihan professional.

 

Kelangsungan bisnes pendidikan kanak-kanak banyak bergantung kepada faktor luaran yang tidak dalam kawalan pengusaha itu sendiri. Penggunaan strategi terkini dapat membantu pengusaha meneruskan legasi bisnes secara terancang.

 

Teks oleh Noraminah Omar

Sebahagian daripada kandungan eBook : Membuat Keputusan Bisnes.

.

 

Share On Social Media

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on telegram
Share on whatsapp

More Posts

Book Your 30-Minute Discovery on Personal and Business Potential Consultation NOW

Book Your 30-Minute Free Consultation

Anda Mempunyai masalah dalam perniagaan? Takut untuk membuat keputusan yang tepat?

Jangan risau! Kami akan berkongsi cara bagaimana maklumat sedia ada dalam syarikat/bisnes digunakan untuk merancang penambahbaikan dalam bisnes secara keseluruhan.

Dapatkan satu sesi konsultasi melalui telefon PERCUMA.

Download Free EBook

Download Free EBook

PENGURUSAN HR

Dapatkan 12 kandungan hal pengurusan bisnes pusat pendidikan dalam ebook ini. 

Ebook ini merupakan satu refleksi kepada kita sebagai seorang pengurus atau ‘owner’ pusat pendidikan. Dapatkan perspektif yang berbeza.

Tawaran ini sah sehingga 30.12.2020.
Download sekarang!

Buy EBook

Buy Our EBook Now!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.