KISAH ORANG BISNES : Rahsia dan Kejayaan.
Banyaknya rahsia, ada disimpan oleh sejuta manusia. Hilangnya rahsia, banyak mati bersama hati dan jiwa.
Apa yang menjadi rahsia, ada perkara yang lebih baik dan bermanfaat berlaku apa bila dirahsiakan. Orang bisnes juga macam manusia biasa. Ada kekuatan dan kelemahan, pernah rugi dan juga untung.
Menang bukan bermaksud kejayaan. Indahnya kata-kata lama, “Menang sorak, tanah tergadai”. Biasa didengar bukan?
Banyak kegagalan dikaitkan dengan kerugian. Rugi adalah rugi. Rugi bukan bermakna gagal. Rugi, boleh ditebus dengan keuntungan lain. Orang bisnes melihat kerugian sebagai satu perkara biasa.
Namun, rugi yang sengaja diambil itu, umpama menempah maut. Ada banyak rahsia yang tidak dikongsikan. Lalu, ramailah yang berkata, bisnes memanglah kena rugi, baru untung.
Ada juga yangmula merasionalkan perkara yang mereka tahu tidak betul. Umpama mengatakan bahawa mengambil risiko besar untuk mendapat keuntungan besar. Kisah kegagalan disembunyikan kerana ia banyak dikaitkan dengan maruah dan perkara buruk yang perlu disimpan.
Ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk memastikan bahawa perkara dan cerita buruk dan kegagalan dapat dijadikan panduan kepada orang lain. Bagaimana?
Berikan maklumat yang betul. Ini kuncinya.
Maklumat yang betul tidak akan membuka mana-mana rahsia. Maklumat yang betul adalah maklumat.
Ambil sahaja contoh, apabila ada yang berkata bahawa memulakan bisnes mesti membuat pinjaman bank. Berikan sahaja maklumat. Tidak. Ada bisnes yang boleh dimulakan tanpa pinjaman bank. Modal kecil.
Contoh lain yang boleh diambil ialah, apabila ada yang berkata bahawa orang bisnes mesti membeli kereta mewah. Tidak. Ada orang bisnes yang memilih untuk hidup sederhana. Berikan maklumatnya.
Semua ini boleh dilakukan tanpa kita membuka cerita buruk dan pahit kepada orang. Sama ada, ia digunapakai atau tidak, ia bergantung kepada banyak faktor lain pula.
Meskipun begitu, penulis kali ini mahu memfokuskan tentang bagaimana rahsia orang yang berjaya itu bukanlah semata-mata atas dasar kemenangan.
Mereka pernah menang atas sebuah kegagalan. Namun, lebih ramai yang berjaya tanpa perlu memang. Ini maklumatnya. Kita boleh berjaya tanpa perlu menang.
Dalam hal ini, penulis melihat ada banyak ‘unfair advantage’ kepada mereka yang berjaya. Ini adalah perkara yang hanya ada pada orang itu yang tiada pada kita dan menyebabkan kita tidak boleh melakukan dan mencipta kejayaam yang sama eperti dia.
Sebagai contoh, ada orang yang berjaya kerana pada awal bisnesnya beliau didokong oleh suaminya yang bergaji besar dan stabil. Maka, kesukaran awal bisnesnya berbeza.
Ada pula orang yang berjaya kerana mempunyai rakan kongsi yang merupakan pemodal yang profesional. Maka tiada isu dan situasi perkelahian antara rakan kongsi pada masa melalui fasa-fasa bisnes.
Ada banyak contoh yang boleh dilihat sebagai ‘unfair advantage’ ini. Namun, intipatinya ialah untuk mencipta sendiri atau mencari sendiri apakah ‘unfair advantage’ yang ada pada kita. Faktor peribadi, kewangan, ahli keluarga, masyarakat dan apa sahaja situasi boleh menjadi ‘unfair advantage’ kepada kita.
Inilah sebenarnya ‘rahsia’ orang bisnes yang jarang diceritakan oleh mereka tentang kejayaan yang dicapai hari ini.
Meskipun ada yang menceritakannya, masih ramai yang tidak menyedari bawaha formula kejayaan mereka yang berjaya itu tidak boleh dijadikan jaminan untuk menjadi formula kejayaan kita.
Ia umpama resepi sahaja. Lalu, perubahan bahan dan sukatan menjadikan hasilnya unik. Berbeza dan langsung tidak sama!
Ramai juga yang dilihat amat teruja apabila mahu berkongsi dan mendengar kisah kejayaan orang-orang yang berjaya. Kisah sahaja, tanpa ada teknik dan jalan serta cara melakukannya adalah seumpama membawa kisah Cinderalla yang mejadi pujaan dan ikutan tetapi tidak pula boleh dijadikan kenyataan.
Pendekatan ini penlis lihat banyak berlaku. Ramai mereka yang bertanya kepada orang yang berjaya tetang kisah kejayaan. Kisah ini umpama hikayat yang hanya tinggal sebagai ingatan.
Sama ada ianya untuk memberikan motivasi dan inspirasi, ia jarang menunjukkan jalan dan cara bagaimana pendengar dapat melangkah dan membina kejayaan mereka pula.
Kisah yang diceritakan sebagai pengukuhan kepada maklumat lebih dilihat ampuh dan dapat memberikan input yang betul kepada pendengar. Penulis melihatnya secara objektif.
Dalam konteks ini, berkongsi kisah kejayaan tidak menjadi satu isu. Menunjukkan dan memberikan maklumat dengan menjadikan cerita dan kisah kejayaan sebagai ‘reinforcement’ lebih membantu. Itu intipatinya.
Kisah kejayaan yang diceritakan sekalipun, tidaklah seharusnya menjadi platform untuk membuka pekung di dada atau menjadikan ruang privasi diri dan keluarga dengan mudah diceroboh oleh orang awam.
Barangkali, menjadi terkenal dan dikenali serta ternama tidak lagi memerlukan kita berkongsi kisah peribadi, tetapi cukup dengan memberikan maklumat yang betul yang bukan lagi rahsia untuk dilakukan oleh mereka yang mendengarnya.
Sudah tiba masanya, perkongsian hari ini bukan sekadar hikayat, tetapi membina insan dengan maklumat, dikuatkan dengan cerita dan kajian kes yang berlaku dan dapat dilihat.
Noraminah Omar
8.11 pagi
31 Oktober
Kajang.