Seorang staf yang bekerja bersama dalam sebuah projek pendek pernah berkata, “Puan, kenapa Puan tak ceritakan saja pengalaman Puan?”
Mendengar kata-katanya, saya menjawab, “Ada. Ada saya ceritakan. Banyak yang sudah saya kongsikan.”
Seolah tidak puas hati, staf saya itu berkata lagi, “Eh…tidak juga. Seingat saya, pengalaman Puan memulakan bisnes, menambah cawangan bisnes dan akhirnya menjual semua cawangan bisnes tidak diceritakan. Kemudian, hal-hal yang berkaitan tentang banyak urusan pun, Puan belum ceritakan.”
Saya terdiam. Saya sentiasa ingat akan pesanan guru bisnes. Guru bisnes pun ada banyak jenis. Ada yang menyatakan pentingnya perkongsian pengalaman. Ada juga yang menyatakan, usah dikongsikan yang buruk-buruk itu. Beritahu maklumat dan cara penyelesaian sahaja.
Ada banyak mazhab yang dibawa oleh guru bisnes berbeza. Mengenangkan itu, saya menyambung. “Ada banyak perkara yang perlu dinilai sebelum dikongsikan. Ada juga perkara yang hanya boleh dikongsikan apabila ada yang bertanya. Sesetengah perkara, lebih baik mereka lalui dahulu daripada kita memberitahu lebih awal. Semua ini, memerlukan kebijaksanaan.”
Staf saya yang masih setia mendengar, bertanya lagi. “Saya kurang faham. Bukankah pengajaran itu perlu disampaikan? Ini penting supaya mereka yang akan datang dapat bersedia.”
Nampaknya staf saya benar-benar mahu tahu. “Ya, betul. Namun, pengalaman peribadi tidak semestinya sama dengan apa yang bakal dilalui oleh orang lain. Begini. Katakan saya ceritakan tentang pengalaman memulakan bisnes secara khusus menjurus kepada kisah peribadi.
Situasi peribadi saya tidak sama dengan situasi peribadi orang yang mendengar. Ambil saja contoh saya sendiri. Semasa saya memulakan bisnes, saya sudah berkahwin. Suami pula orang yang ada latar belakang korporat dan bisnes. Jadi tiada isu tentang sokongan suami.
Tetapi, tidak bagi yang mendenngarnya. Mereka mungkin lelaki. Mereka mungkin perempuan bujang. Mereka juga mungkin berkahwin tetapi tidak mendapat sokongan suami. Bermakna, penaglaman peribadi saya, tidak akan dapat membantu orang yang mendengar apa yang saya sampaikan.”
Staf saya menganggukkan kepala. Kemudian dia menyambung, “Habis, apa yang Puan kongsikan itu caranya tidak samalah dengan perkongsian pengalaman?”
Saya menarik bafas. “Cikpuan sudah tiga bulan bekerja dengan saya di sini. Saya yakin, Cikpuan lihat cara dan gaya saya bercakap berbeza mengikut dengan siapa saya bercakap. Apabila bercakap dengan Bos lain, bercakap dalam kelas lain, bercakap dalam mesyuarat lain. Malah bercakap dengan Cikpuan juga tidak sama.
Halnya begini. Sebenarnya, perkara yang dikongsikan itu sama. Cuma, saya tidak menceritakannya dalam konteks pengalaman peribadi. Ayat dan susunan maklumat diberikan dalam bentuk situasi dan langkah yang harus diambil.
Pun begitu, ia mesti mengikut kesesuaian juga. Bahagian pengalaman sendiri, saya biasanya kongsikan dalam kelas khusus melalui pertanyaan peserta sahaja. Bermakna, ia bukanlah satu info yang disumbatkan kepada pendengar atau pembaca. Ia dalah apa yang mereka sedia dengar dan baca.”
Staf saya memandang saya dan berkata, “Maknanya, ada banyaklah lagi yang belum dikongsikan?”
Sambil menganggukkan kepala saya menyambung. “Betul. Ada yang sesuai dikongsikan apabila masanya sesuai. Sebagai contoh, ambil sahaja orang baru memulakan bisnes. Dengan menceritakan kes-kes saman, pecah amanah, rompakan dan kes mahkamah, ia mungkin akan membantutkan usaha dan fokus mereka memulakan bisnes.
Pada tahap dan fasa ini, lebihs esuai ditekankan tentang SOP, sistem, rekod, dokumentasi dan pematuhan kepada undang-undang. Ini semua akan membantu mereka mengelakkan daripada situasi kes-kes yang buruk tadi.
Tetapi, setelah melakukan semua itu, dan ada berlaku kes dan situasi, barulah kita tekankan dan buat semakan akan ‘compliance’ itu. Saya nampak ianya lebih berkesan begitu. Cikpuan masik ingat akan kisah seorang usahawan yang dikenakan denda LHDN tempoh hari? “
Cuba mengingat semula, staf saya lalu menjawab, “Ya, Puan ada ceritakan. Tetapi saya lupa.”
“Itu kisah benar. Setelah sudah melalui setahun tempoh berbisnes dan beliau enggan mengikut tatacara yang kita nasihatkan, barulah beliau datang semula dan mengambil berat tentang perkara penting. Ini termasuklah tentang penghantaran laporan kewangan seperti yang sudah ditetapkan.
Dalam tempoh 12 bulan pertama, peringatan yang 12 kali itu tidak diendahkannya. Maklumlah, belum berlaku. Jadi beliau tidak faham. Selepas itu, semuanya OK.
Laporan kewangan dan rekod dalam simpanan sentiasa dikemaskini. Itulah maksud saya. Selepas mengalaminya baru mereka faham. Selagi kita hanya memberitahu, bercakap dan memaklumkan, ia sukar untuk mereka hadam.”
Sambil meletakkan semula susunan fail di dalam rak besi didinding, staf saya berkata, “Puan, fail-fail ini pun semuanya sudah siap saya susun. Sambil menyusun fail pun sempat berkongsi dengan saya. Terima kasih ya, Puan.”
Saya senyum. Sambil ketawa kecil saya mengucapkan terima kasih. “Terima kasih juga kepada Cikpuan. Sebab pertanyaan ini, saya dapat idea menulis satu artikel baru.”
Noraminah Omar
7.1.2016
5.30 pagi