Setiap organisasai bisnes ada cara dan gayanya yang tersendiri. Budaya dan cara kerja juga berbeza dari satu institusi dengan yang lain. Samalah juga perihalnya dengan syarikat bisnes.
Ramai yang maklum bahawa syarikat yang menjalankan bisnes yang sama sekalipun, mungkin mempunyai cara dan gaya bekerja berbeza. Beberapa situasi yang biasa kita lihat muncul apabila perlunya penyusunan tugas.
Dalam penyusunan tugas ada keperluan untuk setiap individu fokus menjalankan tugas yang bakatnya lebih dominan dan memberikan output yang optimum kepada syarikat. Tugas ini pula, adakalanya meletakkan individu itu sebagai orang kedua. Malah, ada yang perlu menjadi orang ketiga, keempat dan seterusnya.
Tidak semua individu yang berada dalam kumpulan pendiri bisnes (yang lebih dikenali sebagai founding team), faham dan bersedia menerima situasi ini. Malah, ada individu yang terus dilihat tidak sesuai dan cocok dalam syarikat bisnes itu!
Penyusunan ini juga sering membawa konflik dan perlu dilakukan dan ditangani dengan baik.
Tulisan saya kali ini mahu menyentuh khusus tentang keperluan kita dikenali melalui autoriti, BUKAN dengan kedudukan dan pangkat semata-mata. Pangkat dan jawatan merupakan salah satu cara autoriti itu diperolehi. Namun, ia bukanlah satu-satunya cara untuk membina autoriti.
Saya sendiri pernah melihat seorang staf yang tidak memegang jawatan dalam urusan pembangunan modul dan kurikulum sebuah sekolah, tetapi beliau akan dipanggil dan diminta masuk ke dalam semua mesyuarat dan perbincangan tentang hal-ehwal modul dan kurikulum. Ini satu contoh autoriti yang saya maksudkan.
Ada beberapa individu yang menyangka bahawa mereka hanya berautoriti apabila mereka boleh menulis dan menghasilkan buku sehingga terbit. Benar. Tetapi, ia bukanlah satu-satunya cara untuk menjadikan kita orang yang berautoriti.
Saya pernah berkenalan dengan seorang CEO sebuah syarikat yang tidak punya bakat menulis. Apatah lagi bercakap di khalayak. Saya sendiri, pernah menyediakan teks ucapan beliau berdasarkan intipati yang beliau berikan.
Namun, beliau membina autoriti dan pengikutnya yang tersendiri dengan cara yang berbeza. Bagaimana?
Memandangkan beliau jelas akan kelemahan diri, beliau juga jelas dengan kekuatan diri. Maka, beliau banyak menjalankan kelas dan sesi-sesi berbentuk coaching dalam kumpulan kecil.
Melalui aktiviti itu, beliau mula membina kepercayaan orang-orang bisnes yang lain. Sedikit demi sedikit, beliau mula diterima dan ‘mendapat autoriti’nya sebagai seorang yang pakar dalam pengurusan syarikat berstrategi.
Tanpa pandai bercakap di khalayak dan tanpa perlu mahir menulis, beliau masih mempunyai autoriti dalam bidang.
Saya tidaklah mengatakan bahawa kita tidak perlu memegang jawatan atau mempelajari kemahiran menulis atau mempelajari kemahiran bercakap di khalayak.
Intipati yang saya mahu bawa ialah, ada banyak cara untuk kita membina autoriti.
Apakah kepentingan berautoriti?
Salah satu yang jelas ialah keperluan membina tribe atau pengikut. Pengikut yang dimaksudkan ialah sekumpulan individu yang dapat memberikan sokongan dengan membeli idea dan mengaplikasikan idea-idea baru yang kita bawa.
Tribe dan pengikut ini juga adalam sekumpulan individu yang dapat diberikan penyelesaian masalah dan sanggup membayar untuk penyelesaian yang kita tawarkan. Ini adalah asas bisnes yang paling asas.
Sekali lagi, saya mahu membawa semua pembaca kepada intipati tulisan kali ini. Ada banyak cara untuk membina autoriti. Bermula dengan apa yang ada. Bina kemahiran baru untuk meningkatkan autoriti. Sekiranya perlu, dapatkan bantuan pihak ketiga apabila sampai masanya untuk berbuat demikian.
Bercakap dikhalayak, menulis dan memegang jawatan hanyalah sebahagian daripada banyak cara lain untuk membina autoriti.
Noraminah Omar
Januari 2016
Kajang.