“Apabila kita sibuk memikirkan tentang susun atur perabot yang terbaik untuk pejabat kita, kita lupa tentang keperluan sebenar orang-orang yang bekerja di dalam pejabat kita.”
Apabila memulakan dan menjalankan bisnes, kita perlu meluangkan masa untuk melihat dan menilai bakat-bakat yang ada. Perkara ini bukan sesuatu yang boleh terus dilakukan dan siap dalam satu atau 3 hari. Adakalanya, ia mengambil masa berbulan dan bertahun.
Apabila menguruskan bisnes, kita juga tidak dapat lari daripada kerja-kerja menyusun gerak kerja syarikat. Ini termasuklah mengurus dan menyusun kerja orang-orang yang berbakat dalam tim. Keperluan mengetahui dan mempunyai maklumat tentang sumber dan cara menyusunnya juga menjadi penting.
Ya, memahami dan mengetahui ciri, personaliti dan kekuatan setiap ahli tim dan staf di syarikat kita juga penting. Namun, kita tidak boleh menumpukan banyak tenaga dan masa hanya untuk kerja-kerja mengenalpasti bakat.
Berdasarkan pemerhatian dan maklumbalas beberapa pengusaha bisnes yang berpengalaman, rata-rata menyatakan bahawa mereka memang menghadapi kesukaran untuk membawa masuk bakat yang betul ke dalam tim mereka.
Biasanya, mereka juga tidak mempunyai banyak masa untuk melihat kepada bakat yang kurang menyerlah apabila mereka perlu fokus kepada survival syarikat. Perkara ini biasanya berlaku sekitar tahun pertama dan kedua syarikat yang baru beroperasi. Malah, ada juga yang menjangkau kepada tiga tahun dan lebih.
Pada masa ini, ramai pendiri bisnes mengambil staf yang ada. Mereka juga memilih individu yang sanggup melakukan banyak kerja. Sama ada mereka punya kemahiran atau bakat, pada peringkat ini, ianya tidak dapat diberikan perhatian yang khusus.
Boleh dikira bahawa situasi ini adalah yang biasa untuk semua syarikat yang baru bermula. Pada peringkat permulaan, semua tenaga dan sumber yang ada perlu memberikan fokus kepada ‘survival’. Ini termasuklah memastikan syarikat mempunyai ‘cashflow’ yang selesa dan ‘revenue’ yang mencukupi.
Bahkan, pada fasa permulaan bisnes ia dilihat sebagai tidak produktif dan bagi sebuah syarikat untuk sibuk mengklasifikasikan bakat staf. Proses melalui fasa ‘survival’ ini, biasanya membolehkan bakat-bakat baru ditemui.
Ini hanya berlaku apabila pendiri syarikat mempunyai sistem pengurusan yang ‘agile’. Malah, pengusaha bisnes yang menjadikan inovasi sebagai budaya kerja dapat mempercepatkan proses mengenalpasti bakat. Proses ini juga berjalan dengan lebih cepat.
Ada beberapa situasi yang menjurus kepada keperluan syarikat membolehkan bakat yang dominan ditemui. Contohnya, seorang staf yang disangka dapat melakukan aktiviti pemasaran, rupanya lebih sesuai membuat aktiviti jualan. Staf yang disangka dapat melakukan kerja-kerja pengurusan pejabat, rupa-rupanya lebih produktif apabila menguruskan hal-hal jualan.
Antara pemasaran dan jualan juga, ada bezanya. Meskipun staf dilihat mempunyai bakat membuat kerja-kerja pemasaran, tidak semestinya dia boleh menjalankan kerja-kerja jualan.
Dalam proses ini, kombinasi bakat akan ditemui dan bakat yang lebih dominan dapat diketengahkan dengan peluang kerja-kerja yang pelbagai. Kerja yang pelbagai ini berlaku apabila ramai staf dan pengusaha bisnes perlu ‘multi tasking’. Mereka melakukan banyak kerja dalam masa yang sama.
Maka, menguruskan bisnes dalam fasa berbeza memerlukan penumpuan dan fokus yang betul. Apabila kita sibuk mahu mengenalpasti bakat staf kita, realiti bisnes perlu dikekalkan. Bisnes itu sendiri perlu melalui satu proses untuk berjaya.
Pembangunan dan pengurusan bakat akan berjalan dengan betul apabila syarikat diurus dengan betul. Tiada satu jalan dan satu jawapan yang betul untuk menguruskan bisnes.
Jenis bisnes dan hala tuju bisnes yang dijalankan, ditentukan oleh pendiri bisnes itu. Ini merupakan faktor penentu yang dikategorikan sebagai faktor penting dalam kelangsungan mana-mana bisnes.
Kuncinya, berikan fokus kepada perkara yang betul pada masa yang betul.
Noraminah Omar
Kajang, 2016.