Self esteem atau daya percaya diri adalah antara elemen penting dalam diri setiap manusia. Dengan adanya self esteem, ia membolehkan kita menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa.
Self esteem ada kaitannya dengan kebolehan kita percaya dengan diri sendiri dan yakin dengan kekuatan diri. Ia banyak kaitannya dengan keyakinan kita dalam menjalani kehidupan.
Self esteem mendorong kita mencuba perkara baru, mempelajari kemahiran baru, berkenalan dan membina jaringan rakan baru dan banyak lagi.
Pada masa yang sama, ia juga memerlukan kita mengakui dan menerima kelemahan diri. Kekangan atau ‘limitation’ juga merupakan kategori kelemahan yang mesti kita terima.
Dalam banyak hal, ramai menyangka bahawa self esteem adalah tentang bagaimana kita yakin dengan kekuatan dan kebolehan diri. Sebenarnya, ramai yang kehilangan self esteem-nya akibat daripada tidak dapat menerima kelemahan dan kekurangan diri.
Ambil contoh situasi di mana seorang individu yang bekerja sebagai seorang Eksekutif Pengurusan di sebuah syarikat. Beliau tahu akan kekuatan dirinya. Beliau merupakan seorang yang bijak mengurus masa, boleh melakukan banyak tugas dalam satu masa, mempunyai cara kerja berstruktur dan paling penting pandai bekerja dalam kumpulan.
Namun, beliau mempunyai satu kekurangan. Beliau tidak mempunyai kemahiran untuk bercakap dengan organisasi atau pihak lain untuk mendapatkan dana atau tajaan untuk acara. Dalam hal ini, beliau mesti boleh menerima bahawa dia tidak mempunyai kemahiran itu.
Self esteem mudah terdorong untuk jatuh atau hilang sama sekali apabila seseorang tidak dapat melakukan atau gagal dalam sesuatu hal yang mahu dicapainya.
Antara ciri individu yang mempunyai self esteem yang rendah termasuklah takut dan tidak yakin untuk mencuba perkara baru atau masuk ke dalam situasi baru.
Seorang anak mudah jatuh self esteemnya apabila sering dimarahi dihadapan kelas. Sebab dimarahi ini ada banyak. Adakalanya, perkara yang berbentuk teknikal atau perkara yang sedang anak itu pelajari dan belum mahir juga menjadi sebab mereka dimarahi oleh guru.
Dalam konteks pendidikan, membina dan mengukuhkan self esteem anak-anak menjadi satu keutamaan. Namun, dalam konteks pengurusan atau kerjaya, menerima kelemahan dan limitations adalah satu perkara yang lebih menonjol.
Secara umumnya, self esteem bukan hanya melihat kepada pembinaan keyakinan dan penerimaan diri, malah menerima kelemahan dan kekangan yang ada dalam diri.
.