Siri RANIA mengisahkan tentang perasaan dan emosi rakan kongsi dalam syarikat.
Saya terdiam. Agak sukar jika saya mahu meletakkan diri saya dalam keadaan orang lain. Malah, saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang Puan Ju mahu dengar dari saya.
Adakalanya, mereka yang bertanya ini sudah ada keputusan dalam tangan. Cuma mahu kepastian sahaja. Maka, ia bukanlah satu sesi yang bagus.
Memandang wajah Puan Ju, saya berkata, “Apa yang Puan fikir Puan mahu lakukan?”
“Entahlah, Puan…” Puan Ju tunduk.
Saya tidak mahu memberikan apa-apa pandangan peribadi dalam hal yang melibatkan emosi begini. Meskipun ada masanya saya ‘terlepas cakap’ dan ‘beri nasihat tanpa diminta’, sebolehnya saya mahu elakkan.
Perlahan Puan Ju mengangkat muka. Dia berkata, “Kalau ikutkan, saya mahu biarkan saja Puan. Perkara macam ini tak perlu dilayan.”
Puan Ju meraup wajahnya dengan kedua-dua belah tangan. Saya angguk-angguk. Puan Ju menyambung perlahan, “Kadang-kadang, saya menyampah betul. Kalau diikutkan hati, saya mahu saja menjawab setiap kali dia buat begitu.”
Puan Ju membetulkan tempat duduk. Beberapa staf yang sudah masuk tadi, mula duduk di meja kerja masing-masing. Puan Ju dengan sendiri berkata, “Terima kasih, Puan. Saya bukan apa, saya perlu bercakap sahaja.”
Puan Ju senyum. Saya ketawa kecil dan berkata, “Saya sudah agak…”
“Apa yang Puan agak?”
“Yalah, Puan sudah ada keputusan. Sebenarnya, Puan sudah tahu apa mahu buat dengan partner yang begitu.”
“Itulah…agaknya perempuan ini memang emosi ya Puan?”
“Perempuan itu memang dianugerahkan begitu. Allah maha tahu. Yang penting, kita buat dan jadi saja yang terbaik dalam versi kita.” Puan Ju angguk.
Melihatnya senyum, saya menyambung, “Kita pegang sahajalah dengan objektif dan nilai kita. Apa-apa yang diperkatakan oleh orang sekeliling yang tidak penting, abaikan saja. Mana-mana yang penting, kita ambil.”
“Ok lah Puan. Saya sambung kerja.”
Puan Ju berlalu. Saya menarik nafas. Senyum dengan berbaur rasa.
Benarkah perempuan ini banyak emosi?
Setahu saya, lelaki juga ada emosi. Bezanya, kemahiran cara kita mengendalikan saja.
Malam itu, semasa saya di rumah, saya berkata kepada anak lelaki saya nan seorang.
“Ishaq, anak lelaki. Ishaq tak boleh usik perempuan. Ishaq tolong Abah jaga Mak, kakak dan adik-adik.” Anak saya yang berumur 7 tahun itu memandang saya sambil terus mengunyah biskut oreo.
.