KISAH KASIH merupakan siri artikel khusus untuk ibu, ayah dan guru-guru dalam kerangka pendidikan, hidup dan perkembangan anak-anak.
FOKUS KEPADA PENYELESAIAN
Ada banyak cabaran yang perl dihadapi oleh ibu, ayah dan guru-guru dalam usaha mendidik anak-anak. Pada masa yang sama, kita mahu anak-anak terus berkembang dengan baik.
Perkembangan anak-anak hari ini, sudah tentu berbeza dengan zaman kita seagai guru dan ibu bapa dibesarkan satu masa dahulu. Perkembangan anak-anak memerlukan lebih daripada subjek dan matapelajaran.
Apakah yang boleh kita lakukan dalam hal dan situasi yang sering menjadikan kita sebagai ibu bapa dan guru kurang tertekan? Pada masa yang sama kita juga mahu anak-anak seronok dan gembira.
Antara salah satu yang penting ialah FOKUS. Bagi memastikan setiap situasi dapat dilalui dengan baik, memberikan fokus kepada penyelesaian ialah salah satu daripada yang mesti dilakukan.
Fokuskan kepada cara membantu anak untuk melalui dan menangani situasi yang dialami.
Sudah tentu ini mengambil masa dan memerlukan kita berlatih. Memahirkan diri sebagai ibu bapa dan guru yang boleh fokus boleh dilakukan.
Bagi situasi khusus untuk membantu anak-anak melalui situasi pembelajaran yang adakalanya menekan, mengetahui cara dan gaya anak belajar ialah satu cara yang baik.

Ada anak-anak yang boleh belajar dalam apa juga situasi. Tetapi, ada anak-anak yang perlukan situasi khusus untuk belajar dengan baik.
Ada anak-anak yang visual. Mereka perlukan sokongan imej, gambar atau foto untuk belajar dengan baik.
Ada anak-anak yang kinestetik. Mereka sukar duduk diam. Apabila bergerak, mereka akan belajar dengan lebih cepat.
Ini hanya sebahagian sahaja.
Ada sesetengah situasi, kita sibuk dan fokus kepada usaha untuk mengelaskan anak-anak. Kita bimbang untuk mengetahui apakah anak kita disleksia? Apakah anak kita ada ciri-ciri autisme? Apakah anak-anak kita ada ciri-ciri asperger?
Mengetahui jenis, nama dan terma serta simptom kepada sesuatu ‘learning style’ dan ‘learning disabilities’ tidak sepatutnya membuatkan kita lupa tentang pelan tindakan untuk membantu anak-anak.
Mengetahui simptom dan ciri-ciri belajar anak-anak adalah penting.
Menjalankan aktiviti dan pelan tindakan untuk membantu anak itu jauh lebih utama.
Paling utama, tiada isu ‘salah siapa’ dalam hal ini.

‘It takes a village to raise a child’. – anonymous.
Teks oleh: Noraminah Omar