HASIL YANG OPTIMUM
Selesaikan situasi tegang dengan memberikan cabaran baru.
Menguruskan tim bisnes yang baru bermula biasanya dilihat seperti satu tugas mudah. Maklumlah, tugas masih belum banyak dan ahli tim masih kecil. Hanya perlu menyusun kerja untuk tim yang 3orang sahaja. Tentu mudah!
Apabila menguruskan sekumpulan individu untuk mencapai sasaran yang sama dengan kepelbagaian tugas, ia juga memerlukan kemahiran tertentu untuk menguruskannya.
Biasanya, ramai usahawan baru akan mula memasuki fasa ini pada tahun kedua atau ketiga selepas memulakan bisnes. Menguruskan pasukan ini biasanya dikendalikan dengan baik melalui penubuhan entiti syarikat yang berdaftar dan mengikut semua peraturan yang berkaitan.
Pernah satu ketika, seorang rakan saya menceritakan bagaimana bekas staf beliau mengadakan kempen ‘boikot’ ke atas syarikatnya yang menyebabkan hambir 40% pekerja sedia ada bertindak untuk meletakkan jawatan serentak.
Ada pula seorang rakan yang menjalankan bisnes servis, menceritakan perihal ketua cawangan yang berhenti untuk membuka bisnes sendiri. Bisnes yang sama dan membawa bersama semua pekerja beliau.

Apa juga situasi yang berlaku, kita sering melihatnya dari sudut kesan akhir dalam rentetan peristiwa itu. Mari kita semak semula perkara biasa yang bermula dengan konflik kecil yang menjadi besar.
Berikut adalah situasi yang menyebabkan beberapa konflik kecil timbul:
- Adanya ahli tim berhenti dan berpindah kerja ke tempat lain dengan gaji yang lebih tinggi atau atas hal lain.
- Adanya ahli tim yang banyak diberikan kelonggaran dari segi pematuhan.
- Wujudnya gossip yang negatif di kalangan ahli tim.
- Berlakunya perubahan situasi ekonomi seperti kenaikan harga barang.
- Pertambahan kerja meskipun bersifat sementara.
Apakah yang boleh berlaku?
- Turunnya moral kerja ahli tim yang lain.
- Hilangnya fokus tim kepada sasaran kerja yang asal.
- Berlaku perasaan tidak puas hati secara senyap.
- Keresahan emosi ahli tim yang mengganggu pretasi kerja.
- Kadar produktiviti yang menurun.
Apakah yang boleh dilakukan untuk membantu ahli tim yang ada untuk mengatasi kesan di atas?
.
Kuncinya ialah, berikan situasi dan cabaran baru agar ahli tim dapat memberikan fokus kepada perkara yang betul. Berikut adalah contoh mudah yang boleh diadaptasikan:
- Mengaturkan aktiviti berkumpulan dengan tugasan tertentu yang tidak berkaitan langsung dengan kerja dalam tempoh yang singkat.
Contoh: Menyusun program perkelahan keluarga.
- Menyusun projek berbentuk ad-hoc yang melibatkan semua orang daripada semua bahagian.
Contoh : Mengadakan aktiviti membersihkan taman tasik perdana oleh semua staf.
- Menganjurkan aktiviti luar melalui kelab pekerja atau persatuan.
Contoh: Mengadakan perlawanan permainan persahabatan seperti bowling atau futsal.
- Memberikan situasi yang perlu diselesaikan kepada kumpulan tim berkenaan.
Contoh : Sasaran mengurangkan kadar ‘defect’ di bahagian pembuatan.
Apa juga situasi bisnes yang sedang kita lalui, ia mempunyai penyelesaiannya. Dalam konteks khusus untuk memaksimakan sumber manusia yang ada, antara cara yang boleh disusun ialah dengan mengurus situasi tegang.
Ini dapat dilakukan dengan mengalihkan fokus daripada isu tegang kepada baru.
.
Teks oleh : Noraminah Omar