KISAH KASIH merupakan siri artikel khusus untuk ibu, ayah dan guru-guru dalam kerangka pendidikan, hidup dan perkembangan anak-anak.
TINGKAHLAKU, BUDAYA DAN SUASANA
Apabila disemak, ramai ibu bapa yang sedar bahawa ada anak-anak yang mempunyai perbezaan dari segi kelakukan dan tingkahlaku. Malah, ada anak-anak yang tingkahlakunya di rumah tidak sama dengan di sekolah,
Tingkah laku di rumah adakalanya tidak boleh diterima apabila berada bersama masyarakat luar.
Tingkah laku di rumah ada yang tidak diterima di tadika.
Izinkan saya berkongsi beberapa contoh yang biasa.
Tanpa sedar, adakalanya anak kita menyuruh-nyuruh ‘bibik’ di rumah. Dengan erti kata lain, anak kita sering meminta bantuan dalam banyak hal dan perkara.
Di tadika, tingkah laku menyuruh-nyuruh orang dewasa adalah tidak sopan. Malah, menjadi satu budaya di tadika untuk mendorong anak-anak berdikari dan yakin diri dalam menguruskan keperluan diri.
Pun begitu, apabila anak-anak sudah didedahkan dengan cara sopan untuk memminta pertolongan dan bantuan orang yang dewasa, situasi ini tidak timbul.

Satu lagi contoh ialah tingkahlaku anak yang suka menendang mainan atau bermain dengan kasar.
Di tadika, tingkah laku menendang, membaling atau menyepak boleh membahayakan anak-anak lain. Meskipun permainan itu selamat, sekiranya cara bermain tidak sesuai, ia akan memberi kesan kepada anak-anak yang lain.
Usaha untuk mendedahkan, memupuk dan mengamalkan tingkahlaku yang diterima di khalayak lebih sesuai dimulakan di rumah. Anak-anak yang sudah biasa dan faham dengan perbezaan budaya di rumah dan komuniti luar membolehkan mereka mudah diterima.
Anak-anak perlu didedahkan dengan ‘acceptable behaviour’ supaya dapat bergaul baik dalam suasana pembelajaran.

Teks oleh: Noraminah Omar
.