Siri MUSTIKA mengisahkan tentang media sosial dan orang bisnes.
Minggu itu, jadual tugas melawat beberapa premis bisnes memang penuh. Bermula Isnin hingga Khamis, hanya Jumaat sahaja yang dikosongkan untuk tujuan kerja-kerja di pejabat.
Memang kebiasaan kita bekerja begitu. Apabila perlu menjalankan tugasan di luar, sudah tentu banyak laporan yang perlu disediakan. Laporan bertulis untuk hasil lawatan dan laporan perbelanjaan perjalanan. Semuanya mesti disiapkan.
Dalam tempoh 4 hari ‘berkelana’ itu, ada banyak input dan maklum balas serta perkongsian daripada pengusaha bisnes yang ditemui. Dalam salah satu perbincangan, ada beberapa situasi yang memang perlu ditangani.
Semuanya perlu saya letakkan dalam satu laporan supaya boleh dirujuk. Buku nota yang tidak tebal itu sudah penuh dengan catatan dan contengan. Semuanya perlu ditranskripkan semula.
Petang itu, semasa saya masih menaip laporan yang panjang, Cikpuan Zuna mengetuk pintu pejabat. “Puan, boleh saya minta tandatangan?”
Melihat Cikpuan Zuna menjengukkan kepala, saya terus berkata, “Oh, masuklah! Boleh saja.”
Sambil menghulur 2 ‘stack’ dokumen A4 dilipat dua, Cikpuan Zuna berkata, “Puan, yang ini sign PV. Yang ini sign cek.”
Saya menolak laptop yang sedang saya hadap ke tepi. Sambil melihat saya menyemak semuanya satu-persatu, Cikpuan Zuna bertanya, “Puan, seronok banyak berjalan?”
Saya senyum. Mata saya masih memandang kepada PV-PV yang ada. Saya menjawab spontan, “Mana ada. Biasalah kerja. Ada yang seronok. Penat tu memang pasti.”
PV yang ada memang disediakan untuk perbelanjaan tetap syarikat. Jadi saya tidak ada banyak isu. Laju saja saya menandatangani semuanya.
“Puan tak update FB pun?”
“Oh…adakalanya kawasan tu tiada internet. Saya pun tak ada ambil pakej data roaming. Jadi, apabila ada di hotel, baru saya update. Kebanyakannya, tak sempat.”
“Puan kan orang popular. Kenalah update selalu.”
Saya senyum. Saya pandang wajah Cikpuan Zuna yang ikhlas itu. “Apa kaitan popular dengan update FB?”
Cikpuan Zuna sengih. “Yalah, Puan. Macam selebriti. Mestilah update. Lagipun, kalau Puan tak ambil gambar dan letak posting macam tu, mana orang tahu Puan buat apa?”
Saya angguk-angguk. Melihat Cikpuan Zuna masih tersengih-sengih, saya menyambung,” Cikpuan rasa, memang patut ya kerja perlu dilaporkan di FB?”
“Yalah, Puan. Saya tengok semua orang macam tu.”
“Kalau macam tu, panggil Tuan Remi masuk. Suruhlah ambil gambar kita sekarang. Kita sedang buat kerja kan?”
“Eh, bukan macam tu Puan! Tak payahlah ambil gambar saya.”
“Habis, tadi kata mahu tunjukkan kita buat kerja?”
Cikpuan Zuna ketawa. “Bukan macam tu Puan…”
Sengaja saya mahu megusik Cikpuan itu, saya bertanya, “Habis, macam mana?”
Cikpuan Zuna masih tersengih.
….bersambung.