KISAH KASIH merupakan siri artikel khusus untuk ibu, ayah dan guru-guru dalam kerangka pendidikan, hidup dan perkembangan anak-anak.
BERLAPANG DADA SECARA PROFESIONAL
Apabila kita menerima maklumbalas daripada guru tadika anak kita, adakalanya kita menerimanya dengan mendengar penyampaian yang kurang enak.
Contoh :
+ Kak, anak Akak dalam kelas nakal.
+ Anak Akak ini Disleksia eh?
+ Anak Akak ini tak boleh duduk diam dalam kelas.
Apabila ini berlaku, biasakan diri kita dengan mendapatkan penjelasan dan kekal menghormati guru itu.
+ Oh, Cikpuan maksudkan nakal yang bagaimana ya?
+ Saya tidak pasti pula. Apa yang menyebabkan Puan bertanya begitu?
+ Anak saya memang petah bercakap. Dalam kelas Cikpuan, memang perlu sentiasa diam ya?
Ada juga situasi di mana guru tadika yang mengendalikan kelas dan kumpulan anak kita belum mempunyai pengalaman yang cukup. Ada juga yang sudah berpengalaman, tetapi sesekali ada juga kekeliruan.
Sebagai ibu bapa, kita elakkan menjadi punca kepada kecelaruan yang lebih rumit. Berlapang dada ini memerlukan banyak kesabaran. Pada masa yang sama, pihak pengurusan tadika dan sekolah yang baik sudah tentu akan cba memperbaiki situasi yang ada.
Selagi anak-anak kita selesa dan boleh menyesuaikan diri di tadika, sebaiknya kita perlu bertoleransi dengan guru dan mengenepikan emosi kita untuk perbincangan lanjut. Dengan ini, situasi anak-anak akan lebih mudah difahami dan dibantu.
Adakalanya, anak-anak kita juga mempunyai perubahan tingkah laku yang kita tidak jangka. Di rumah mereka agak pendiam, tetapi di sekolah petan berbicara. Ada juga yang di rumah takut-takut tetapi di sekolah menjadi anak yang pandai membawa diri. Begitu jugalah sebaliknya.
Berlapang dada ini perlu antara ibu bapa dan guru. Ia jua mencabar tatkala kita berhadapan dengan situasi sukar.
- Berbincang tentang perkara berkenaan apabila sudah tenang.
- Fokuskan kepada objektif penyelesaian.
KIta sama-sama sematkan bahawa semua pihak mahukan yang baik buat anak-anak dan persekitaran.
.