MONOLOG HIDUP TANPA MAKE-UP
Sentiasa hijau. Bermula dengan ringkas dan kecil.
Saya bukanlah orang yang anti-sosial. Saya juga suka berkawan, berkenalan dan mengumpulkan gosip-gosip. Macam biasa. Sama seperti mana-mana orang perempuan yang lain. Cuma, saya memilih cara untuk berkongsi dapatan itu.
Terjun dalam dunia bisnes juga menjadikan saya perlu cepat belajar mencari kawan. Meskipun adakalanya kekok, keyakinan diri sedikit demi sedikit mesti ditingkatkan. Setiap orang juga ada kelebihan. Itulah yang digunakan.
Apa yang sentiasa hijau? Sejujurnya, saya terus ambil daripada perkataan ‘evergreen’.
Ia mengingatkan saya tentang konsep, sentiasa diterima. Sepanjang zaman. Macam baju kurung. Meskipun ada banyak inovasi, ia kekal ‘kurung’.
Itu antara intipatinya.
Maka, apa yang saya tulis di wall FACEBOOK, dan juga dalam blog ini, ia sebenarnya perkara yang berbentuk ‘sentiasa hijau’.
Kita sering beremosi. Kita sering bermonolog. Kita sering rasa kecewa. Adakalanya kita tertekan. Semua itu biasa. Yang menjadikan luar biasa, ialah bagaimana kita menghadapinya. Itu saja.
Catatan tentang emosi dan pengurusan perkara berulang (SOP) adalah antara perkara yang saya kategorikan sebagai ‘sentiasa hijau’. Manusia sentiasa beremosi. Perkara dalam hidup ini, banyak yang berulang.
Begitulah…
.
Bagaimana kita cuba menjadikan tema emosi dan perkara berulang sebagai idea penulisan?
Ia banyak membuatkan saya berfikir. Adakalanya, catatan begini, bukanlah disukai oleh ramai orang. Malah, gaya penceritaan tertentu juga, tidak diterima oleh semua orang. Maka, idea itu hanya akan menjadi panduan, untuk kita meneruskan catatan.
Bermula sahaja dengan perkara yang ringkas dan kecil.
.
Noraminah Omar
Julia 2016
Kajang.